Pages

Thursday, 15 September 2011

SENTUHAN KALBU

Sebahagian daripada kita mungkin sedang berfikir: tengahari ini nak makan di restoran mana? Masakan restoran mana paling sedap?
Menu apa menarik?.. Masakan Thai? Utara? Selatan? Padang? Arab? Mamak?...
Isteri di rumah pula mungkin sedang memikirkan, “Nak masak apa untuk suami dan anak-anak malam ni?”…
“Apa lagi resepi dalam buku masakan yang belum dicuba?”….
Suami pula sedang merancang, “Hujung minggu ni banyak sungguh undangan rumah terbuka. Mana satu nak kensel (cancel)?”…
Mungkin itulah yang difikirkan oleh kebanyakan daripada kita.


Nun di sana lain pula…
“Makanan sudah berkurangan. Cukupkah untuk hari ini?”…
“Kalaulah ada segelas air kosong, boleh dibasahkan teguk yang sangat kering ini”.
“Ya Allah! Berilah kepada anak-anak ku walau sebuku roti…Aku sudah tidak tahan melihat mereka yang sedang merintih kelaparan”.
Inilah rintihan rakan-rakan kita di kem-kem pelarian Somalia saat ini. Kebuluran telah mencengkam hidup mereka. Peperangan pula telah meruntun keamanan daripada mereka.
“Ibu! perutku terlalu sakit”
“Ibu! Lapar”
“Ibu dahaga”
Itulah rintihan biasa anak-anak Somalia ketika ini. Hanya linangan air mata sahaja yang dapat menjawab rintihan-rintihan itu. Tiada daya lagi bagi si ibu untuk memenuhi permintaan anak-anaknya yang sangat berat itu. Kematian akibat kebuluran sudah menjadi biasa bagi mereka.
Seorang ibu yang sarat mengandung telah meninggalkan kampung halamannya. Keluar mencari bantuan makanan dan perubatan. Setelah 10 hari berjalan berbekalkan sedikit makanan kudrat si ibu semakin lemah. Si ibu mendirikan khemah daripada ranting-ranting dan bahan buangan yang layak dipanggil sampah. Apakan daya itulah kemampuan si ibu yang terlalu daif itu. Dia melahirkan anaknya di situ dengan bantuan mereka yang senasib dengannya. Keesokan harinya barulah dia mendapat bantuan perubatan daripada salah satu NGO dari Malaysia! Situasi yang sangat memilukan bagi si ibu dan si bayi yang baru dilahirkan ini. Bukan itu yang diharapkan oleh si ibu untuk cahaya matanya itu. Tilam yang empuk, losyen, bedak, lampin pakai buang dan pakaian bayi berjenama…mungkin itu yang menyambut kebanyakan bayi kita di Malaysia.
                Namun, siapakah yang dapat memahami penderitaan yang dialami mereka? Siapakah yang mempedulikan mereka?...
                Pepatah Melayu pernah mengungkapkan ‘berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul”. Memang tepat sekali pepatah ini. Mereka yang pernah mengalami penderitaan sahaja yang lebih menyelami erti penderitaan. Rupa-rupanya sebelum sampai bantuan dari NGO-NGO Malaysia, bantuan rakyat Palestin sebanyak USD 2 juta terlebih dahulu sampai. Malah dalam satu siri serangan regim Israel terhadap rakyat Palestin baru-bari ini, seorang kanak-kanak lelaki terbunuh. Di dalam saku-sakunya penuh dengan wang siling.  Apabila diselidiki rakannya yang selamat daripada serangan tersebut, dia menceritakan bahawa wang itu dikumpul olehnya sekian lama untuk didermakan kepada umat Islam di Somalia. Allahu Akbar!  Terasa kerdilnya kita. Seorang kanak yang miskin, hidup dalam dunia peperangan, tidak memiliki apa-apa tapi memiliki jiwa yang sangat besar dan mulia…
Di manakah kita?
                 

Tuesday, 13 September 2011

TEPATKAH PENGGUNAAN ISTILAH 'MAKANAN SUNNAH'?

Perbuatan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dibahagikan kepada beberapa bahagian. Antaranya ialah perbuatan yang dikenali sebagai ‘al-jibilliyyah’ iaitu perbuatan yang dilakukan atas dasar sebagai manusia dan berdasarkan amalan atau budaya sekeliling. Contohnya ialah cara Rasulullah SAW berjalan, tidur, makan dan minum kecuali yang dinyatakannya sebagai suatu yang wajib atau sunat seperti bersugi dengan kayu ‘araak’ dan memakan dengan tangan kanan. Melakukan apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dalam kategori ini tidak dinamakan sunnah. Majoriti  ahli usul al-fiqh seperti yang dinyatakan oleh al-Amidi dan al-Syawkani menganggap ia termasuk dalam kategori harus (ibahah) sahaja.
Namun jika seseorang itu melakukannya atas dasar kecintaan kepada Rasulullah SAW sehingga mahu melakukan apa sahaja yang dilakukan baginda dia akan mendapat ganjaran pahala. Pahala itu diperolehi atas dasar  at-ta’assi (التأسي)  bukannya sunnah. Hal seumpama ini pernah dilakukan oleh sebahagian sahabat seperti Ibnu ‘Umar Radhiyallahu’anhuma. Nafi’ menceritakan bahawa Ibnu ‘Umar Radhiyallahu’anhuma mengikut segala perbuatan Rasulullah SAW. Beliau bersolat di mana tempat baginda bersolat. Beliau akan berhenti di bawah pohon tempat Rasulullah SAW berteduh, malah beliau sering menyirami pohon tersebut supaya ia tidak kering. Beliau juga melalui jalan-jalan yang dilalui Rasulullah SAW serta berhati-hati mengatur langkah untuk mengikut jejak langkahan unta tunggangan baginda.
Hal seumpama ini juga menjadi amalan para sahabat yang lain. Umpamanya al-Tirmizi meriwayatkan bahawa Abu Talut menceritakan pada suatu hari beliau memasuki rumah Anas bin Malik Radiyallahu’anhu. Ketika itu Anas sedang memakan labu. Anas berkata, “Wahai labu! Aku tidak suka memakanmu melainkan kerana Rasulullah SAW memakanmu”.
Begitulah kecintaan mereka kepada Rasulullah SAW yang tidak terhingga menyebabkan mereka mahu mengikut baginda dalam segenap aspek. Pastinya mereka akan memperolehi pahala atas dasar kecintaan yang mendalam seumpama itu.
Namun untuk mengatakan perbuatan itu sunnah ia adalah satu tindakan yang  tidak tepat. Lebih-lebih lagi dalam perkara yang tidak dipastikan ia dilakukan oleh Rasulullah SAW.
Umpamanya pada hari ini, heboh di sana sini pengeluar-pengeluar makanan tambahan mendakwa produk mereka adalah makanan sunnah. Lalu dicampurlah pelbagai makanan yang dimakan oleh Rasulullah dengan pelbagai kandungan dan didakwa sebagai makanan sunnah. Antara campuran tersebut ialah kismis, kurma madu, kurma ajwah, madu, buah tin, minyak zaitun, za’faran, habbatus sauda’ dan pelbagai lagi. Malah ada juga yang dicampurkannya dalam satu produk. Memang diakui semua itu ada sandarannya dan memiliki khasiat-khasiat tertentu sebagaimana yang terdapat dalam ilmu perubatan Islam. Tetapi tahukah berapa kali ia dimakan oleh Rasulullah SAW? Adakah semua itu dimakan sekaligus? Berapa kuantitinya? Semua ini perlu dihalusi jika ingin dikaitkan dengan Rasulullah SAW. Malah makanan-makanan tambahan ini sebahagiannya dijual dengan harga yang mahal-mahal. Adakah menjadi sunnah makan makanan yang mahal?
Penulis tidak menolak kebaikan makanan-makanan tersebut, malah sesiapa yang memakannya kerana cintakan Rasulullah SAW sebagaimana yang dilakukan oleh Ibn ‘Umar dan Anas bin Malik Radiyallahu’anhum, insyaAllah dia akan memperolehi ganjaran pahala. Selain itu, makanan-makanan tersebut juga mempunyai khasiat-khasiat dari sudut perubatan yang tidak boleh disangkan lagi jika ia diambil dalam kuantiti yang bersesuaian. Namun tindakan sebahagian pengeluar makanan kesihatan yang mendakwa ia sebagai ‘makanan sunnah’ adalah tidak tepat dan lebih berbentuk komersial. Lebih-lebih lagi ia dihasilkan dalam bentuk-bentuk yang tidak lagi menggambarkan keaslian makanan Rasulullah SAW sama ada dalam bentuk campuran atau ekstrak pelbagai kandungan. Wallahu a’lam.

Monday, 12 September 2011

PENTINGKAH ILMU TASAWWUF?

Orang berilmu terbahagi kepada tiga kumpulan:
1. al-‘Alim Bi Amrillah (Berilmu Tentang Perintah Allah)
2. al-‘Alim BilLah (Berilmu Tentang Allah)
3. al-‘Alim Bi Amrillah wa  BilLah (Berilmu Tentang Perintah Allah dan Allah)

Al-‘Alim Bi Amrillah memahami tentang perintah Allah. Sebagai contoh dia memahami Allah SWT memerintahkan kepadanya solat, memahami perintah tersebut dengan detail dari segi dalil dan perinciannya secara zahir. Tetapi apabila bersolat dia tidak khusyuk di dalam solat justeru tidak memahami maqasid-maqasid (hikmah solat) dan kenapa dia perlu bersolat. Tidak memahami unsur-unsur kerohanian di dalam solat yang meliputi pengabdian dan ketundukan sebagai hamba kepada Allah. Lantas dia selesai melakukan solat tanpa memberi kesan-kesan apa pada dirinya. Hubungannya dengan Allah dan manusia masih di tahap yang sama. Kebiasaannya golongan ini keras hatinya dan terlalu merasakan pandangannya benar dan suka bertelagah. Mereka suka menyerang pandangan orang lain dan merendah-rendahkan orang lain.
                Al-‘Alim Billah pula hanya duduk berzikir tanpa mendalami ilmu agama sehingga menyebabkan mereka terus berada dalam keadaan jahil.
                al-‘Alim Bi Amrillah wa BilLah pula bersolat dalam keadaan memahami pendetailan tentang hukum hakam solat serta menjiwai solatnya, mengetahui hikmah-hikmah difardhukan solat dan menyelami unsur-unsur kerohanian di dalam solat, lantas dia akan khusyuk di dalam solat. Hatinya sentiasa mengingati Allah dalam segala urusan kehidupannya. Inilah orang alim yang sebenarnya yang kita dambakan kewujudannya dalam masyarakat.
                Oleh sebab itu, Imam al-Ghazali telah menghasilkan kitab Ihya’ ‘Ulumiddin yang bermaksud menghidupkan ilmu-ilmu agama. Beliau berpandangan manusia pada masa itu hanya memahami ilmu agama secara zahir sehingga menyebabkan seolah-olah ilmu agama itu mati. Lantas beliau cuba meniupkan roh ke dalam ilmu agama terutamanya fiqh (fekah) di dalam karyanya Ihya’ ‘Ulumiddin. Justeru, kita dapati beliau menulis tajuk-tajuk ilmu fiqh beliau seperti Bab fi Asrar as-Solah (Bab Tentang Rahsia-rahsia solat), Bab fi Asrar as-Sawm (Bab tentang Rahsia-rahsia Puasa)…dsb.
                Di sinilah pentingnya ilmu akhlak atau pun tasawwuf dalam kehidupan. Tanpa mempelajari ilmu tersebut, jiwa kita akan menjadi kosong walau pun bersolat, berpuasa dan berzakat dsb. Oleh sebab itu kita dapati ulama fiqh silam kebiasaannya tidak meninggalkan unsur ketasawwufan dalam karya mereka. Sebagai contoh walaupun mereka membincangkan bab solat, mereka juga memasukkan unsur pahala, khusyuk dan sebagainya dalam karya mereka. Berbeza dengan karyawan fiqh zaman ini yang kelihatan membincangkan sesuatu hukum secara ilmiah tetapi kering-kontang. Sedangkan jika kita melihat Imam al-Nawawi sebagai contoh, beliau adalah seorang faqih menghasilkan kitab-kitab utama dalam mazhab Syafie seperti Minhaj al-Talibin dan al-Majmu’, namun beliau juga menghasilkan kitab Riyadhussolihin, al-Azkar dll.
                Untuk melihat dengan lebih mudah lagi perbezaan orang yang mengetahui fiqh semata-mata tanpa memahami tasawwuf ialah solat. Seorang yang bersolat tanpa memakai baju tetap dihukum sah di dalam fiqh kerana menutup aurat. Namun wajarkah kita bersolat di hadapan Malik al-Muluk (Raja Segala Raja) dalam keadaan tidak berbaju? Adakah Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad bin Hanbal yang mengatakan sah solat tanpa berbaju juga bersolat tanpa baju? … Begitulah pentingnya akhlak dan tasawwuf dalam ibadah dan kehidupan.
(Sebahagian besar daripada artikel ini adalah ringkasan kepada kuliah pengajian Riyadussolihin oleh Syeikh Dr Usamah Sayyid. Selebihnya adalah huraian hamba sendiri. Wallahu’alam)