Pages

Wednesday, 1 August 2012

Bagaimanakah Cara Menzahirkan Kasih Sayang Anda Kepada Ulama



“Ustaz, nak berapa?”. Seorang penceramah agama yang baru berjinak-jinak dengan aktiviti ceramah akan terkejut dengan soalan ini. Namun, itulah hakikatnya yang berlaku di kota-kota. Sudah menjadi kebiasaan bagi sebahagian penceramah ternama akan meletakkan ‘tanda harga’ bagi ceramah mereka. Harga seseorang berdasarkan popularitinya. Malah ada yang sudah diketahui ‘harganya’ berdasarkan pengalaman-pengalaman sebelumnya. Walaupun harganya mungkin terlalu tinggi, namun penganjur masih ada peluang mendapatkan harga yang  lebih rendah menerusi amalan tawar-menawar, sama ada terus dengan penceramah atau melalui pembantu peribadinya. Bunyinya macam janggal, tetapi itulah realitinya.

Menyorot kembali hukum mengambil upah (ujrah) untuk mengajar ilmu agama, para ulama mutakhir kebanyakan mazhab membenarkannya. Keharusan ini berdasarkan keperluan pada zaman itu kerana ia merupakan sumber kehidupan bagi para ilmuan. Pada zaman-zaman sebelumnya mereka kebiasaannya dibayar oleh Baitul Mal, maka kebanyakan ulama tidak membenarkan upah utk mereka ketika itu. Pada zaman ini kita mengguna pakai pandangan yang membenarkannya berdasarkan keperluan dan situasi semasa dengan merujuk pandangan ulama mutakhir kebanyakan mazhab.

Namun sejak akhir-akhir ini, terdapat sebahagian penceramah agama yang tidak segan silu menentukan harga untuk ceramahnya. Mungkin ia dianggap sebagai satu keperluan kerana jika tidak menentukannya mungkin penganjur akan memberikannya sagu hati yang terlalu sedikit. “Kos minyak kereta pun mungkin tak lepas”, kata seorang penceramah agama menggambarkan ketidak prihatinan sebahagian penganjur.
Akhirnya wujud satu budaya yang kurang sihat dalam aktiviti dakwah semasa. Sebahagian penceramah menggunakan pembantu peribadinya untuk meletakkan harga yang mahal. Surau-surau yang memiliki sumber kewangan yang terhad tak mungkin berpeluang mendapatkan penceramah yang hebat-hebat untuk aktiviti mereka. Amalan mengenakan bayaran yang terlalu tinggi sebenarnya bercanggah dengan konsep asal ujrah kepada guru-guru agama yang dibenarkan oleh ulama-ulama dahulu. Mereka membenarkannya hanya atas dasar keperluan. Tetapi sekarang ia sudah dijadikan satu mata pencarian dan sumber untuk menghimpun kekayaan. Walau pun hukumnya tidak haram, tetapi ia bercanggah dengan amalan orang-orang soleh. Ibarat seperti solat seorang lelaki tanpa berbaju. Sah menurut hukum fekah, asalkan menutup antara pusat dan lutut serta kedua-duanya. Tetapi tidaklah wajar seseorang itu bersolat dalam keadaan begitu.

Bagi masyarakat awam pula, mereka hendaklah bersederhana. Sikap murah hati adalah sangat mulia, tetapi mestilah sesuai pada tempatnya. Jika anda sayangi seseorang kerana ilmunya, bukan dengan cara memberikannya wang yang banyak kepadanya. Berilah bayaran yang secukup dengan keperluannya dan buktikan kasih sayang anda dengan mengamalkan apa yang disampaikan olehnya. Ingatlah setiap apa yang anda lakukan atas tunjuk ajar seseorang, dia turut mendapat pahala. Jika anda terlalu sayang dan meminatinya ajaklah lebih ramai orang untuk mendengar ceramah, kuliah atau forumnya. Jika mereka melakukan apa yang disampaikannya, dia turut mendapat pahala seumpama mereka.
Jangan membiasakannya dengan pemberian yang banyak, kelak dibimbangi ia akan menjadi ketagihannya. Tidak semua orang yang bergelar ustaz ‘kebal’ dengan hambatan dan pesona dunia. Berilah secukupnya dengan mengambil kira segenap aspek dan keperluannya.

Perlu diingatkan, masih ramai lagi ilmuan agama yang ikhlas dalam menyampaikan dakwah mereka. Individu yang meletakkan bayaran yang tinggi ini bukanlah mewakili bilangan majoriti mereka. Namun jika dibiarkan, amalan ini akan merebak luas dan akan menjadi fenomena biasa yang sukar dibendung suatu masa nanti. 

Saturday, 28 July 2012

Memahami Keutamaan Dalam Beramal



Pada suatu hati, seorang lelaki meminta nasihat Basyar bin al-Harith (seorang ulama) sebelum bertolak ke Mekah untuk menunaikan haji (untuk kali kedua).

Basyar bertanya: “Berapakah belanja yang kamu sediakan”.

Lelaki tersebut menjawab: “Dua ribu dirham”.

Basyar bertanya: “Kamu menunaikan haji ini kerana mencari keredhaan Allah atau kerana rindu kepada Baitullah?”.

Lelaki tersebut menjawab: “Kerana mencari keredhaan Allah”.

Basyar berkata: “Mahukan kamu mendapat keredhaan Allah hanya dengan berada di rumahmu serta menginfaqkan dua ribu dirham itu?”.

Lelaki tersebut berkata: “Ya, saya akan lakukannya”.

Basyar berkata: “Pergi, berikan wang itu kepada pemiutang untuk melunaskan hutangnya, si miskin untuk menguruskan dirinya, si suami untuk menyara keluarganya, si penjaga untuk menggembirakan anak yatim jagaannya… Sesungguhnya dengan memasukkan kegembiraan ke dalam hati orang muslim, membantu orang yang memerlukan dan menolong orang yang kesempitan adalah lebih baik (afdal) daripada seratus kali haji sunat”.

Lelaki tersebut berkata: “Tuan, hatiku tetap meruntunku supaya pergi ke Mekah”.

Basyar tersenyum mendengar kata-kata lelaki tersebut. 

Basyar bin al-Harith pun berkata kepada lelaki tersebut: “Jika seseorang itu menghimpun harta daripada perniagaan yang tidak suci dan syubhat, nescaya habis hartanya dek kerana nafsu keinginannya..”

Kisah ini dinukilkan oleh Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi dalam kitabnya “Fi Fiqh al-Awlawiyyat” bertujuan menempelak amalan sebahagian masyarakat muslim Arab yang suka berbelanja untuk melakukan haji atau umrah sunat berkali-kali. Beliau berpandangan wang yang dilaburkan itu lebih utama disedekahkan kepada orang-orang Islam yang lebih memerlukan. Semoga kisah ini memberi pengajaran yang berguna kepada masyarakat muslim di Malaysia juga. Hari ini ramai dalam kalangan umat Islam sanggup berbelanja puluhan ribu untuk berpuasa di tanah suci atau menunaikan umrah hampir setiap tahun. Malah ada yang menunaikan haji berkali-kali… Alangkah baiknya jika wang sebanyak itu didermakan kepada saudara-saudara kita yang lebih memerlukan … khususnya pada hari ini kepada masyarakat Ronghiya di Burma, Syria, Palestin dan lain-lain lagi…

Sunday, 18 March 2012

Manusia dan Angan-angan



Daripada Abdullah (Ibnu Mas’ud) R.’A katanya: Rasulullah SAW membuat satu garisan berbentuk segi empat. Kemudian baginda menggariskan satu garisan dari tengah sehingga keluar dari rajah segi empat tersebut. Kemudian Baginda membuat garisan kecil dari garisan tengah tersebut.

Baginda bersabda; "Ini adalah (gambaran) manusia. Garisan segi empat ini ialah ajal maut yang melingkungi manusia. Garisan yang terkeluar itu ialah angan-angannya. Garis-garis kecil pula adalah musibah dan ranjau kehidupannya. Jika terlepas dari yang ini, yang lain pula menggigitnya, jika terlepas dari yang ini, yang lain pula menggigitnya. (Hadith Riwayat al-Bukhari)

Begitulah gambaran manusia dan angan-angannya yang selalunya panjang dan tiada kesudahan. Nasihat yang digambarkan oleh Rasulullah SAW ini sangat penting untuk kita menyedari hakikat kematian. Walaupun seseorang itu sering tidak terlepas dengan musibah dan ranjau kehidupan, tetapi angan-angannya sentiasa panjang. Malah angan-angannya sering terkeluar daripada batasan kehidupannya. Hinggakan apabila manusia mencapai usia yang sangat tua tetapi angan-angannya tetap panjang. Jika manusia membiarkan angan-angan menguasai dirinya dia akan terus leka dan tidak membuat persediaan untuk kehidupan abadi selepas kematian. Inilah hakikat angan-angan manusia. Oleh itu, tidak hairanlah jika kita sering melihat orang yang sudah tua kerepot pun masih jauh daripada masjid, kurang ibadat tetapi lebih berminat menghimpunkan harta. Maaf walau pun contoh yang dipilih di sini ialah 'si tua kerepot' tetapi tidak bermakna kita yang belum lagi 'kerepot' masih lagi boleh berangan-angan panjang....

Batasi angan-angan kita dengan sering mengingati mati. 

Thursday, 26 January 2012

Hamba Allah Full Time

Lumrahnya sebagai insan biasa, apabila celik sahaja mata kita daripada tidur, kita akan bertindak mengikut matlamat yang kita gariskan. Matlamat-matlamat itu ada yang paling utama dan ada yang sampingan. Cuba kita fikirkan, apakah matlamat utama kita?

Hari ini ramai orang yang menjadikan matlamat utamanya adalah kerjaya. Apa sahaja yang berada di luar lingkungan kerjayanya adalah matlamat sampingan. “Tiada kerja, tiada wang..tiada wang macam mana nak hidup? Anak isteri nak makan apa? Rumah, kereta dan bil-bil siapa nak tanggung?...”. Pendek kata kerjayalah yang paling penting. Tiada yang lebih penting daripada itu. Apa-apa sahaja yang menjejaskan kerjaya mesti dielakkan. Kerjaya mesti menjadi keutamaan. Kalau boleh graf prestasi kerjaya biar sentiasa menegak seperti jarum jam pukul 12.

Itulah mindset kebanyakan kita. Kita diajar dengan kerjaya semenjak dari kecil. Mula-mula kita ditanam dengan membayangkan cita-cita yang melangit. Kemudian kita disuruh belajar untuk membina masa hadapan. Kalau tak pandai belajar kononnya susah dapat kerja. Belajar dianggap sama erti dengan kerjaya.

Tidak salah memasang cita-cita pada usia muda. Tidak salah mengidamkan kerjaya yang baik. Tetapi janganlah tersasar daripada matlamat asal kita. Bukankah kita telah berjanji dengan Allah SWT suatu masa dahulu? Kita telah berikrar bahawa Allah Tuhan kita yang satu-satunya. Kita adalah hamba Allah. Matlamat hidup kita adalah memperhambakan diri kepada-Nya. Firman Allah SWT yang bermaksud:

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (Adh-Dhariyat: 56)

Sedarlah! Kita adalah hamba Allah sepenuh masa (full time). Tugas hakiki kita ialah menjadikan seluruh kehidupan kita sebagai ibadah. Kerja kita ibadah, makan minum kita ibadah, memberi nafkah ibadah dan segala-galanya adalah ibadah. Jika kita menjadikannya sebagai matlamat hidup kita akan hidup dengan penuh keselesaan. Pastinya kita tidak akan terlibat dengan najis rasuah, amalan membodek, mengampu, mengejar pangkat, curi tulang, menipu dan sebagainya. Mungkin sebelum ini kita banyak melakukan kesalahan. Itu lumrah insan biasa. Namun jika matlamat hidup kita jelas, kita akan berusaha memperbaiki diri kita. Meningkatkan KPI amalan kita seiring dengan bertambahnya usia kita sehari demi sehari.

Mari kita memaling ke belakang! Banyakkah amalan kita sebelum ini? Atau banyakkah juga dosa dan keterlanjuran kita sebelum ini? Adakah usia kita yang sudah berlalu 30 atau 40 tahun yang lalu boleh menjadi bekal selesa kita untuk bertemu Maha Pencipta Yang Maha Berkuasa lagi Maha Detail Hisabnya? Solat, puasa, zakat, haji yang kita lakukan adakah sempurna atau banyak cacat celanya? Banyakkah harta yang kita sumbangkan untuk kebaikan, atau lebih banyak kita gunakan untuk kemewahan kita? Berapa titiskah air mata yang kita curahkan untuk meratapi dosa yang kita lakukan di hadapan Allah SWT?...

Mari kita melihat pula ke hadapan! Berapa tahun lagi kita akan hidup? Siapa yang dapat menjamin kita akan hidup 10 atau 20 tahun lagi? Bukankah ramai rakan sebaya kita yang terlebih dahulu pergi bertemu Allah SWT (Semoga Allah merahmati mereka). Jika kita menyedari hakikat ini marilah sama-sama kita memperbaiki diri dengan menjadikan seluruh kehidupan kita sebagai ibadat.

Persoalannya, bagaimana hendak menjadikan seluruh kehidupan kita sebagai ibadat? Bagaimana hendak melaksanakan tugas kita sebagai hamba Allah full time, apakah manualnya?...

Manualnya tidak terdapat di kedai atau pasaraya tetapi banyak didapati di pusat-pusat pengajian atau lebih mudah di masjid dan surau. Biasanya percuma tidak dikenakan bayaran. Oleh itu, bermula saat ini kunjungilah masjid dan surau. Kita akan dapat manual itu dengan percuma melalui kuliah, ceramah dan tazkirah. Jika kita jarang menjejakkan kaki ke tempat-tempat tersebut mulakan dari sekarang. Setiap langkah kita akan diangkat satu darjat dan dihapuskan dosa-dosa kecil. Lumrahnya di masjid dan surau kita akan bertemu dengan insan-insan yang baik. Mungkin ada seorang dua yang kurang baik peri lakunya tetapi yakinlah di luar sana lebih ramai lagi insan yang lebih jauh jahat dan buruk akhlaknya.

Mari sama-sama kita fikir dan amalkan!