Pages

Friday, 8 February 2013

Haramkah Menyambut Mawlid?


Saya terpanggil untuk membincangkan tajuk mawlid secara separa ilmiyyah memandangkan wujud polemik yang ketara dalam masyarakat terutama menjelang bulan Rabi’ul Awwal setiap tahun. Satu golongan mengharuskan dan satu golongan pula mengharamkannya bahkan sebahagian daripada mereka menyesatkannya.

                Hujah mereka yang menolaknya: Rasulullah SAW tidak melakukannya, kenapa kita pula melakukannya? Bukankah dasar hukum dalam Islam ialah al-Quran dan al-Sunnah? Hujah yang simple. siapa sahaja mungkin ‘terpesona’ dengannya. Sifirnya ringkas. Tak perlu belajar kaedah pengeluaran hukum (usul al-fiqh) secara mendalam. Mungkin dalam beberapa minit sahaja orang awam pun boleh faham sifir seumpama itu.

                Haram! Bid’ah Dalalah! Sesat! Itulah kesimpulan hukum terhasil….

                Sungguh keras dan menakutkan hukum melakukan mawlid nabawi kalau berdasarkan pandangan ini.
Sufyan al-Thawri pernah berkata:
 Terjemahannya: Bukanlah agama itu dengan kekerasan, siapapun mahir melakukannya, sebaliknya agama itu adalah kelonggaran yang diambil dari orang yang dipercayai.

                Saya tidak berhajat untuk berhujah secara ilmiah kerana mungkin ia mengambil masa saya sangat terbatas akhir-akhir ini. Saya hanya ingin membuka minda terutama mereka yang terlalu keras sehingga menghukum sesat dalam isu ini.

Sedarkah anda dengan menghukum begitu, anda mungkin akan menghukum orang yang jauh lebih berilmu daripada anda? Malah sebahagian mereka yang terangkum dalam hukuman keras anda itu adalah tokoh-tokoh utama dalam bidang hadith. Berikut disenaraikan sebahagian kecil daripada ulama-ulama yang membenarkan mawlid nabawi asalkan ia tidak mengandungi perkara-perkara yang haram dan bertentangan dengan syarak. Antara mereka ialah:
  • al-Imam al-Hafiz Abu al-Khattab ibn Dihyah (wafat 633H).
  • al-Imam al-Hafiz Abu Syamah (wafat 665H) – Guru al-Imam al-Nawawi
  • al-Imam al-Hafiz Ibn al-Jawzi (wafat 597H)
  • al-‘Allamah Sadr al-Din Mawhub al-Jazari al-Syafii (wafat 665H)
  • al-Hafiz Nasr al-Din al-Dimasyqi (wafat 842H)
  • al-Imam al-Hafiz al-Nawawi (wafat 676H)
  • al-Hafiz Ibn Kathir (wafat 774H) - Murid Ibn Taymiyyah.
  • al-Imam Siraj al-Din al-Bulqini (wafat 805H)
  • al-Hafiz al-‘Iraqi (wafat 808H) – Guru al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani.
  • Syaikh al-Islam al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani (wafat 825H). Digelar sebagai “Amir al-Mu’minin fi al-Hadith” dan “Muhaddith al-Dunya”. Terkenal dengan karyanya Fath al-Bari ulasan kepada kitab Sahih al-Bukhari.
  • al-Imam al-Hafiz al-Sakhawi (wafat 831H)
  • al-Hafiz Ibn Hajar al-Haytami (wafat 975H)
                Cukup sekadar menyatakan contoh. Wajarkah tokoh seperti ini dihukum sesat? Kenapa mereka berpandangan begitu?

Inilah persoalan yang perlu ditekuni.

Tak patut sangat Ibnu Hajar tak jumpa hadith berikut  yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari sedangkan beliaulah pengulas tersohor kepada kitab Sahih al-Bukhari?
Terjemahannya: Barangsiapa yang melakukan perkara baharu dalam urusan kami (agama) yang bukan berasal darinya, ia adalah tertolak.

Siapa tidak kenal al-Hafiz al-‘Iraqi yang mentakhrijkan hadith-hadith dalam kitab Ihya’ Ulum al-Din dengan begitu kritis. Siapakah dalam kalangan ahli hadith yang mampu menafikan ketokohan mereka?

Saya tidak mengatakan semua pandangan mereka betul kerana mereka bukan nabi dan rasul. Namun pandangan mereka banyak yang lebih betul daripada pandangan kita dan perlu dikaji. Bagaimana mereka memahami hadith tersebut, juga perlu dikaji…

Pasti ada penjelasan lain yang difikirkan oleh tokoh sealim Ibn Hajar, al-‘Iraqi, Ibn Kathir dan lain-lain….
Oleh itu, jangan terlalu mudah menghukum. Kaji pandangan mereka ini terlebih dahulu.

 Baiklah, kalau anda tiada masa atau tidak berkemampuan untuk mengkaji semua ini, kita masih ada jalan penyelesaian mudah untuk sementara waktu. Penjelasannya seperti berikut:

Keharusan mengadakan mawlid nabi tidak disepakati oleh semua ulama mujtahid. Pengharamannya juga tidak disepakati oleh semua ulama mujtahid. Justeru, ia bukanlah hukum yang di’ijma’kan. Ijma’ bermaksud persepakatan umat ini selepas Nabi SAW terhadap sesuatu hukum Syarak (Ibn ‘Uthaimin, al-Usul Min Ilm al-Usul. Hlm . 50)

Oleh kerana itu hukum mawlid nabawi bukanlah perkara yang diijma’kan.

Kategori hukum yang tidak ijma’ ini samalah kedudukan dengan hukum menyentuh mushaf, had membasuh kepala dalam wuduk, had tutupan aurat bagi lelaki dan perempuan serta banyak lagi.

Kategori hukum jenis ini tidak dianggap qatie sebaliknya zanni. Ia terbuka untuk dilakukan ijtihad. Oleh kerana para ulama mempunyai kepelbagaian metode dalam menentukan hukum isu-isu yang bersifat zanni ini, hukum yang terhasil juga berbeza-beza.

Bagaimana cara berinteraksi dengan hukum seumpama ini?

Ulama telah membuat satu formula sebagai panduan kepada kita untuk menghadapinya. Formula ini dinyatakan oleh Ibn Qayyim al-Jawziyyah (murid Ibn Taymiyyah) dalam karyanya I’lam al-Muwaqqi’in sebagai:
Terjemahannya: Jika dalam suatu isu itu tiada sunnah (hadith) atau pun ijma’ dan dibenarkan ijtihad padanya, maka tidak diingkari orang yang melakukannya sama ada dia mujtahid atau muqallid (bukan mujtahid).

Sebahagian ulama seperti al-Suyuti pula mempermudahkan formula ini dalam kaedah yang masyhur:
Terjemahannya: Tidak diingkari dalam perkara khilaf hanya diingkari dalam perkara yang diijma’kan (pengharamannya).

Oleh itu, sesiapa yang mengingkari perkara khilaf seumpama mawlid nabi ini perlu menilai semula tindakan mereka. Mereka boleh sahaja berpegang dengan pandangan mereka kerana metode pengeluaran hukum mereka memang begitu (ini pun satu isu, tapi saya tidak berhajat membincangkannya di sini). Tetapi janganlah mencerca golongan yang berpegang dengan pandangan sebaliknya.

Mungkin cara pengisian mawlid itu ada cacat dan celanya. Umpamanya berarak dengan bercampur lelaki dan perempuan, berhibur secara keterlaluan dengan alasan nasyid, mencampur adukkan dengan perbuatan khurafat dan sebagainya…

Ini adalah isu yang berbeza. Jangan kerana marahkan seekor nyamuk sebuah kelambu habis dibakar.

Daripada menghukum sesat sesuatu yang khilaf lebih baik dicadangkan pengisian-pengisian terbaik untuk program mawlid. Umpamanya mengadakan majlis pengajian hadith dan sirah sebagaimana yang dilakukan di masjid al-Azhar, Mesir. Kebiasaannya mereka akan mentalaqqi kitab-kitab sirah. Saya pernah melihat di dalam youtube majlis talaqqi kitab al-Mawrid al-Haniy fi al-Mawlid al-Saniy karangan al-Hafiz al-‘Iraqi sempena mawlid.  Kitab ini dibacakan dihadapan para  Syeikh al-Hadith terkenal khususnya di Mesir. Alangkah indahnya program seumpama ini ? Justeru, wajarkah ia dikatakan haram apatah lagi sesat?

Fahamilah persoalan khilaf ini sebagai satu khilaf. Janganlah memaksa pandangan anda ke atas orang lain kerana kebenaran dalam masalah furu’ tidak semestinya satu. Hal ini sudah dikupas lumat dalam kitab-kitab usul al-fiqh.

 Wallahu A’lam.

# Saya merujuk takrif ijma’ kepada kitab Ibn ‘Uthaimin bukan kepada kitab-kitab usul al-fiqh yang jauh lebih muktabar kerana beliau adalah ulama yang terkenal dengan manhaj salafi era ini. Ini adalah manhaj dalam mujadalah.