Pages

Tazkirah


Tiga Wasiat Iskandar Zulkarnain

Dalam perjalanan pulang dari salah satu medan perang, Iskandar Zulkarnain jatuh sakit. Baginda terlantar berbulan-bulan. Sebelum baginda menghembuskan nafas terakhirnnya baginda meninggalkan wasiat yang sangat bermakna. Baginda memanggil ketua turus angkatan tentera untuk menyampaikan wasiat terakhirnya.
                Baginda berkata: “Wasiat pertamaku, hanya tabib-tabibku yang boleh mengusung kerandaku. Tiada siapa selain mereka”.
                “Wasiat keduaku, hendaklah ditabur emas dan permata yang telah aku himpun sepanjang hayatku bermula dari tempat kematianku sehingga ke kuburku”.
                “Wasiat ketiga, ketika mengangkatku daripada kerandaku keluarkan kedua belah tanganku daripada kain kafan dan biarkan kedua-duanya tidak berkafan”.
                Setelah selesai mendengar wasiat tersebut, ketua turus angkatan tentera pun mencium tangan baginda dan meletakkannya ke dada baginda. Kemudian beliau berkata, “Hamba akan pastikan wasiat tuanku dilaksanakan tanpa sebarang kecacatan. Namun, sudi kiranya tuanku memberitahu hamba apakah rahsia di sebalik tiga wasiat ini?”.
                Baginda pun menghela nafas sedalam-dalamnya seraya menjawab, “Aku mahu mengajar dunia ini satu pengajaran yang baru aku fahami saat ini. Wasiat pertamaku adalah supaya manusia menyedari bahawa apabila maut datang maka tiada siapa yang dapat menghalangnya sekalipun para tabib yang sering kita ketemui apabila ditimpa sakit. Sesungguhnya kesihatan adalah harta yang tidak dapat diberikan oleh sesiapapun dalam kalangan manusia.”
                “Wasiat kedua supaya manusia tahu bahawa setiap detik yang kita gunakan untuk menghimpunkan harta hanyalah umpama debu-debu yang berterbangan. Kita tidak akan membawanya bersama kita walau pun ketul-ketul emas yang kecil”
                “Wasiat ketiga supaya manusia tahu bahawa kita datang ke dunia ini dalam keadaan tangan yang kosong dan akan meninggalkan dunia juga dengan tangan yang kosong”.


Jadilah Seumpama Bintang Jangan Jadi Seumpama Asap



تواضع تكن كالنجم لاح لناظر **** على صفحات الماء وهو رفيع
ولا تك كالدخان يعلو بنفسـه ****
  إلى طبقات الجو وهو وضيـع
Rendahlah diri nescaya kamu akan jadi seumpama bintang
yang menampakkan dirinya di atas permukaan air sedangkan ia tinggi
Jangan jadi seumpama asap yang meninggi diri
ke atas ruang udara sedangkan ia adalah hina.

Penjelasan:
Bintang adalah lambang ketinggian. Oleh itu, seorang yang disanjungi digelar bintang. Begitu juga pingat dan kebesaran dinamakan bintang. Walau pun bintang itu tinggi namun ia memperlihatkan dirinya di tempat yang rendah seperti di permukaan air. Sementara itu, asap daripada bahan bakar itu akan sentiasa bergerak ke atas, tetapi hakikatnya ia hina dan tidak disukai.
Walau pangkat dan kedudukan anda setinggi mana jika anda merendah diri, anda akan dekat di hati manusia. Janganlah sombong dan meninggi diri, kelak anda akan menjadi seumpama asap. Asap dihindari oleh manusia kerana ia mencemarkan udara yang bersih. Asap sentiasa bergerak ke atas sehingga hilang dari penglihatan manusia.

Renung Bersama

Empat perkara yang baik tetapi empat perkara lagi lebih baik;
Malu bagi lelaki adalah baik tetapi bagi wanita lebih baik
Keadilan bagi semua manusia adalah baik tetapi bagi pemerintah lagi baik
Taubat bagi seorang tua adalah baik tetapi bagi orang muda lagi baik
Pemurah bagi orang kaya adalah baik tetapi bagi orang miskin lagi baik


Hanya hari ini milik kita.
Hasan al-Basri pernah berkata,
"Dunia hanya tiga hari. Semalam, hari ini dan esok.
Semalam telah berlalu, kita tidak dapat mengembalikannya..
Esok belum dapat kita pastikan lagi adakah untuk kita ?
Hanya hari ini milik kita, maka lakukanlah amalan sebanyak terdaya".
Oleh itu, anggaplah ujian yang kita hadapi ini hanya untuk seketika, Semalam sudah meninggalkan kita . . .
Esok belum pasti . . .
Penawar Bagi Hati Yang Keras

Pada suatu hari seorang lelaki mengadu kepada Rasulullah SAW tentang hatinya yang keras. Rasulullah SAW bersabda, “Usaplah kepala anak yatim dan beri makan kepada orang miskin”.

Hadirkanlah Bayangan Kematian dalam Kehidupanmu!
Al-Daqqaq berkata: Sesiapa yang banyak mengingati mati maka dia akan dimuliakan dengan tiga perkara: menyegerakan taubat, hati yang qana’ah (berpada dengan apa yang ada) dan semangat beribadat. Sesiapa yang lupakan mati maka dia akan dihukum dengan tiga perkara: menangguhkan-nagguhkan taubat, tidak redha dengan apa yang dimiliki dan malas beribadah.
(Hadith riwayat Ahmad)

Kelebihan Membantu Ibu Tunggal

Sabda Rasulullah SAW, “Orang yang membantu ibu-ibu tunggal dan fakir miskin seumpama berjihad fi sabilillah atau seumpama orang yang berpuasa pada siang hari dan berqiamullail pada malam hari”.
(Hadith Ini Disepakati oleh al-Bukhari dan Muslim)

Jangan Risau Jika Anda Tidak Kaya
Sabda Rasulullah SAW: Aku melihat ke dalam syurga, aku dapati ramai penghuninya orang miskin. Aku melihat ke dalam neraka, aku dapati ramai penghuninya orang kaya.
(Hadith Riwayat al-Bukhari)