Pages

Friday, 17 June 2011

ADAKAH PERNIAGAAN ITU IBADAT?

Sebagai seorang muslim, kita hendaklah mengetahui apakah matlamat penciptaan manusia oleh Allah SWT? Tanpa mengetahui tujuan penciptaannya, manusia akan hilang arah tuju dalam kehidupannya. Lantas kehidupannya akan terumbang-ambing tanpa matlamat yang jelas. Untuk mengetahui matlamat penciptaan manusia, kita hendaklah bertanya kepada Allah SWT sendiri. Jawapan ini telah pun dimuatkan di dalam kalamNya Yang Maha Agung iaitu firmanNya yang bermaksud:
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.
(al-Dhariyat 51: 56)
Ayat suci al-Quran ini dengan jelas menyatakan bahawa matlamat penciptaan manusia adalah untuk beribadat kepada Allah SWT. Ibadat bermaksud 'kepatuhan yang dilaksanakan dengan rasa kehinaan diri dan dengan penuh takzim kepada Allah SWT'.  Di dalam bahasa Arab, hamba abdi dinamakan sebagai al-'abd kerana sebagai hamba dia menghinakan diri dan mengikut segala perintah tuannya.  Manusia pula dinamakan sebagai al-'abd kerana dia adalah makhluk yang hina dan mesti mengikut segala perintah Allah dan menjauhkan segala laranganNya. Ibadah pula adalah perbuatan menghina diri dan mentaati segala perintah yang dilakukan oleh seorang hamba kepada tuannya.
                Sebahagian ulama mentakrifkan ibadat sebagai setiap perkara yang disukai oleh Allah dan diredaiNya sama ada perkataan atau perbuatan, zahir atau batin.  Takrif ini memberi gambaran yang luas tentang konsep ibadat yang meliputi segala tindak tanduk manusia sama ada perbuatan, perkataan dan gerak hati. Justeru, Allah SWT menjadikan Islam sebagai cara hidup yang lengkap sesuai dengan prinsip hidup adalah ibadat. Ibadat meliputi hubungan antara manusia dengan Allah dan hubungan manusia sesama manusia. Hubungan manusia dengan manusia meliputi hubungan dalam bentuk perkahwinan, kepimpinan, kejiranan, perniagaan dan lain-lain.
                Ringkasnya, segala perbuatan...
 dan tingkah laku manusia yang mengikut segala peraturan yang digariskan oleh Allah SWT adalah dianggap sebagai ibadat. Setiap ibadah pula akan diberi ganjaran oleh Allah SWT dalam bentuk keberkatan di dunia dan pahala di akhirat. Menariknya di dalam Islam, semua perbuatan manusia walau sekecil mana sekalipun akan dikira ibadat jika ia dilakukan mengikut lunas-lunas syarak. Bahkan perbuatan yang dilakukan atas kehendak naluri kemanusiaan pun akan dikira sebagai ibadat jika memenuhi ciri-ciri tersebut. Sebagai contohnya Rasulullah SAW pernah bersabda:
Dan pada kemaluan seseorang kamu (bersetubuh antara suami isteri) pun adalah sedekah. Mereka bertanya: Ya Rasulullah! Adakah apabila salah seorang kami memenuhi syahwatnya pun dia diberi pahala? Baginda bersabda: Bagaimana pandangan kamu kalau dia memenuhi syahwatnya pada tempat haram, adakah dia berdosa? Maka demikian jugalah apabila dia melepaskannya pada tempat yang halal, bukankah dia  memperoleh pahala?
(Hadith Riwayat Muslim )
                Jelas kepada kita di dalam hadith ini bahawa perbuatan bersetubuh antara suami isteri pun akan diberi ganjaran pahala. Kalau begitu keaadannya, maka bagaimana pula ganjaran terhadap perbuatan-perbuatan lain yang lebih besar? Sebagai contohnya perniagaan. Seseorang yang berniaga akan mendapat pahala ibadat jika dia menjalankan perniagaan tersebut mengikut lunas-lunas Islam. Selain itu juga, dengan membuka perniagaan dia telah membantu masyarakat untuk memenuhi keperluan dan kehendak kehidupan mereka. Di sini dia memperoleh ganjaran yang lain pula. Malah perniagaan seorang muslim jika dilihat dari skop yang lebih luas adalah salah satu aktiviti untuk meningkatkan tahap ekonomi umat Islam. Maka dia akan memperoleh pahala yang lebih banyak. Jika jenis perniagaan seumpamanya adalah perniagaan yang dimonopoli oleh bukan muslim pada satu-satu tempat, maka kewujudannya dianggap sebagai memenuhi kehendak fardu kifayah. Malah jika tiada langsung jenis perniagaan tersebut di satu-satu tempat walaupun dalam kalangan bukan muslim, maka kewujudannya dianggap sebagai fardu ain. Pastinya dia akan mendapat keuntungan yang lebih banyak di dunia dan pahala yang lebih berganda di akhirat.
                Itulah keseimbangan antara dunia dan akhirat yang terdapat dalam Islam. Jika seseorang yang ingin membuka perniagaan dia sepatutnya mencari jenis perniagaan yang kurang saingan dalam  kalangan rakan-rakan peniaga yang lain. Hasilnya dia akan mendapat pelanggan yang lebih ramai dan keuntungan yang lebih banyak. Pada masa yang sama dia akan mendapat ganjaran pahala yang berlipat kali ganda kerana perniagaannya telah memberi khidmat kepada bilangan pelanggan yang lebih besar. Teori 'lebih ramai pelanggan, lebih banyak keuntungan dan lebih besar pahala' hendaklah menjadi pegangan semua peniaga muslim. Jika perkara ini dilakukan, maka tidak akan timbul masalah kekurangan pelanggan dan keuntungan atau masalah iri hati dalam kalangan para peniaga. Ini belum lagi ditambah dengan keindahan akhlak dalam perniagaan yang dianjurkan oleh Islam. Jika seorang peniaga muslim menghayati dan mengamalkan segala etika tersebut, dia akan lebih disukai oleh pelanggan dan dicucuri rahmat oleh Allah dalam bentuk keuntungan dan ganjaran pahala, In sya’ Allah.

Ibadat Umum Dan Ibadat Khusus

Ibadat terbahagi kepada dua jenis; ibadat khusus dan ibadat umum. Ibadat khusus ialah ibadat yang telah ditentukan bentuknya secara rigid oleh Allah SWT. Ia tidak boleh ditambah dan diubah suai oleh manusia kerana ia tidak bersifat logik pada akal manusia. Sebagai contohnya solat, puasa, haji, zakat, membaca al-Quran, berzikir dan seumpamanya. Seseorang tidak boleh mengubah bentuk ibadat khusus yang telah diperolehi melalui wahyu iaitu al-Quran dan al-Hadith. Sebagai contoh jika seorang itu mengurangkan bilangan solat maghrib kepada dua rakaat atau menukarkan bacaan al-Fatihah dengan bacaan-bacaan lain, solatnya tidak sah dan perbuatannya adalah bid'ah serta haram. Pendek kata akal dan logik manusia tidak boleh 'mengusik' ketentuan ibadat khusus. Ia mestilah dilaksanakan sebagaimana diterima daripada Rasululullah SAW, walaupun zaman sudah berubah dengan pesat.
                Ibadat umum pula ialah segala tindak tanduk manusia yang tertakluk kepada logik dan adat. Ia lebih merujuk kepada hubungan antara sesama manusia seperti perkahwinan, kekeluargaan, kehartaan, perundangan dan lain-lain. Walaupun kita katakan tertakluk kepada logik, namun kita hendaklah ingat bahawa Islam ada menyediakan garis panduan hukum yang jelas kepada ibadat-ibadat umum tersebut. Jika garis panduan hukum tersebut tidak diikuti, hukum tetap sama dengan ibadat khusus kerana ia tidak dianggap sah dan hukumnya boleh membawa kepada haram. Sebagai contohnya; seseorang itu bebas berniaga apa sahaja barangan yang hendak diniagakan. Dia juga bebas apa sahaja model perniagaan yang ada berdasarkan kepada keadaan dan keperluan semasa. Namun, dia tidak boleh menjual barangan yang diharamkan seperti dadah, arak dan sebagainya. Dia juga tidak boleh memberi kredit dalam bentuk riba kepada para pelanggan dan sebagai.
                Oleh itu, ibadat khusus agak berbentuk rigid dan tidak boleh diubahsuai mengikut selera dan keperluan semasa. Kaedah yang dipakai dalam ibadat khusus ini ialah 'sesuatu penambahan dalam ibadat khusus adalah haram melainkan jika ia dinyatakan di dalam al-Quran dan al-Sunnah'. Sementara di dalam ibadat umum pula kaedah yang boleh kita pakai ialah, 'sesuatu penambahan atau inovasi di dalam ibadat umum adalah dialu-alukan, asalkan tidak bercanggah dengan kehendak al-Quran dan al-Sunnah'. Sebagai seorang peniaga, dia perlu melakukan inovasi di dalam perniagaannya untuk menarik lebih ramai pelanggan, tetapi pada masa yang sama dia hendaklah menjaga batas-batas syarak. Umpamanya seorang peniaga restoran yang mahu menarik lebih ramai pelanggan boleh menawarkan pelbagai jenis menu yang baru dan menarik dan boleh mengubah suai restorannya dengan memilih apa sahaja konsep termasuk dari barat. Namun pada masa yang sama dia tidak boleh menawarkan menu-menu yang tidak halal, menggantung gambar-gambar wanita cantik dan mendedahkan aurat, atau menyediakan ruang untuk berkaraoke dan seumpamanya.
                Jika seseorang peniaga melakukan perkara-perkara tersebut berkemungkinan dia akan memperoleh keuntungan yang berlipat kali ganda, namun ia bukanlah ibadat malah akan mendapat dosa juga berkali-kali ganda. Justeru sebagai peniaga muslim dia hendaklah mempelajari apakah hukum halal dan haram di dalam perniagaan supaya dia tidak tersasar dalam mengejar keuntungan dan impian. Semoga buku yang anda tatapi ini dapat memenuhi sebahagian besar daripada apa yang setiap peniaga muslim hajati iaitu mengaut laba di dunia dan menggandakan pahala di akhirat.

Fardhu Ain Dan Fardhu Kifayah
Konsep fardu ain dan fardu kifayah bukanlah perkara asing dalam kehidupan seorang muslim. Namun, sedihnya sebahagian besar daripada kita hanya memahami fardu ain dan fardu kifayah dalam konteks ibadat khusus terutamanya solat. Sebenarnya konsep fardu ain dan fardu kifayah ini umum dan banyak berkait dengan ibadat umum.
                Fardu ain ialah sesuatu perkara yang terletak kefarduannya ke atas setiap individu yang mencukupi syaratnya. Contohnya mempelajari ilmu-ilmu yang membolehkan seseorang melakukan solat, puasa, zakat dan haji. Sebagai seorang muslim wajib ke atasnya secara fardu ain mempelajari semua perkara tersebut sekadar membolehkannya melaksanakan perkara-perkara tersebut. Jika dia gagal melakukannya dia akan memperoleh dosa dan kemurkaan daripada Allah SWT. Tetapi jika dia melakukannya dia akan memperoleh pahala yang besar di sisi Allah SWT.
                Sementara mendalami ilmu-ilmu tersebut sehingga mengetahui dalil-dalil pensyariatannya, mengetahui setiap hukum dan perbincangan ulama secara detail, ia dikelaskan sebagai fardu kifayah. Maksud fardu kifayah ialah jika ia dilaksanakan oleh sebahagian orang, maka kewajipannya akan gugur daripada semua orang di dalam kumpulan tersebut. Tetapi jika ia tidak dilaksanakan di dalam sesuatu kumpulan masyarakat maka semua ahli masyarakat tersebut akan menanggung dosa.
                Sekarang mari kita aplikasikan konsep fardu ain dan fardu kifayah di dalam perniagaan. Sebagai seorang muslim, menjadi fardu ain terhadapnya untuk mendapatkan sumber makanan yang halal. Oleh itu menjadi fardu kifayah ke atas anggota masyarakat tersebut menyediakan sebuah kedai yang menjual sumber makanan yang halal. Jika di dalam sebuah masyarakat terdapat kedai yang menjual barangan makanan halal yang dapat memenuhi keperluan masyarakat setempat, bermakna fardu kifayah tersebut sudah terlaksana. Tetapi jika kewujudan kedai tersebut tidak dapat memenuhi keperluan masyarakat bermakna tuntutan fardu kifayah belum lagi terlaksana. Oleh itu, menjadi kewajipan kepada masyarakat tersebut untuk mewujudkan kedai tersebut sehingga dapat memenuhi keperluan mereka. Sementara itu, jika di dalam sesebuah masyarakat hanya terdapat seorang yang berkemampuan untuk mewujudkan kedai yang memenuhi keperluan msyarakat, menjadi fardu ain ke atasnya untuk melakukannya. Kesimpulannya, mewujudkan kedai yang menjual barangan halal (berdasarkan contoh ini) adalah menjadi keutamaan dalam bidang perniagaan. Sama ada kedai tersebut diwujudkan oleh individu atau secara kolektif dalam sesebuah masyarakat itu tidak menjadi persoalannya.
                Bagi seorang muslim yang peka tentang perkara ini, dia akan membuat kajian terlebih dahulu sebelum membuat keputusan jenis perniagaan yang menjadi keutamaannya. Bermakna dia perlu mengetahui apakah keperluan masyarakat? Berapakah bilangan pelanggan yang dianggarkan? Adakah sudah wujud perniagaan seumpamanya ditempat tersebut? Adakah kedai tersebut sudah dapat memenuhi keperluan masyarakat? Inilah analisis-analisis yang perlu dilakukan oleh peniaga yang mementingkan persoalan fardu ain dan fardu kifayah dalam perniagaan. Inilah juga parameter-parameter yang digunakan untuk mengkaji keperluan pasaran dan mengira pulangan dari perlaburan atau return on investment (ROI). Jika semua analisis menunjukkan dia tidak perlu menjalankan perniagaan di tempat tersebut, dia mungkin perlu menukarkan jenis perniagaannya atau menukar lokasi yang lebih bersesuaian. Kaedah yang telah kita nyatakan iaitu 'lebih ramai pelanggan, lebih banyak keuntungan dan lebih besar pahala' mestilah menjadi keutamaannya, nescaya perniagaannya lebih baik dan berkat.

*Jika bersesuaian sila sebarkan tulisan ini di dalam laman web/blog anda. Jika anda sudi masukkan pautan dalam web/blog anda kepada blog: http://islamamatindah.blogspot.com

No comments:

Post a Comment