Pages

Saturday, 18 June 2011

INDAHNYA AKHLAK TENTERA ISLAM!


Pada tahun 14H/639M tentera Islam memasuki kota Himsa dengan aman kerana penduduknya telah memilih jizyah daripada berperang.
Bayaran jizyah sebagaimana yang kita ketahui adalah imbalan kepada perlindungan yang diberikan oleh negara Islam untuk menjaga keselamatan orang-orang bukan Islam yang berada di bawah pemerintah mereka. Maka mereka pun hiduplah aman damai seperti biasa.

Pada masa yang sama pihak Rom telah mempersiapkan tentera yang kuat untuk merampas Himsa dari tangan umat Islam.

Menyedari perancangan tersebut ketua turus angkatan tentera Islam di Himsa, Abu 'Ubaidah bin al-Jarrah pun bermesyuarat dengan semua pegawai tentera. Mereka membuat keputusan untuk menarik kembali keluar tentera di Himsa untuk bergabung dengan

Friday, 17 June 2011

ADAKAH PERNIAGAAN ITU IBADAT?

Sebagai seorang muslim, kita hendaklah mengetahui apakah matlamat penciptaan manusia oleh Allah SWT? Tanpa mengetahui tujuan penciptaannya, manusia akan hilang arah tuju dalam kehidupannya. Lantas kehidupannya akan terumbang-ambing tanpa matlamat yang jelas. Untuk mengetahui matlamat penciptaan manusia, kita hendaklah bertanya kepada Allah SWT sendiri. Jawapan ini telah pun dimuatkan di dalam kalamNya Yang Maha Agung iaitu firmanNya yang bermaksud:
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.
(al-Dhariyat 51: 56)
Ayat suci al-Quran ini dengan jelas menyatakan bahawa matlamat penciptaan manusia adalah untuk beribadat kepada Allah SWT. Ibadat bermaksud 'kepatuhan yang dilaksanakan dengan rasa kehinaan diri dan dengan penuh takzim kepada Allah SWT'.  Di dalam bahasa Arab, hamba abdi dinamakan sebagai al-'abd kerana sebagai hamba dia menghinakan diri dan mengikut segala perintah tuannya.  Manusia pula dinamakan sebagai al-'abd kerana dia adalah makhluk yang hina dan mesti mengikut segala perintah Allah dan menjauhkan segala laranganNya. Ibadah pula adalah perbuatan menghina diri dan mentaati segala perintah yang dilakukan oleh seorang hamba kepada tuannya.
                Sebahagian ulama mentakrifkan ibadat sebagai setiap perkara yang disukai oleh Allah dan diredaiNya sama ada perkataan atau perbuatan, zahir atau batin.  Takrif ini memberi gambaran yang luas tentang konsep ibadat yang meliputi segala tindak tanduk manusia sama ada perbuatan, perkataan dan gerak hati. Justeru, Allah SWT menjadikan Islam sebagai cara hidup yang lengkap sesuai dengan prinsip hidup adalah ibadat. Ibadat meliputi hubungan antara manusia dengan Allah dan hubungan manusia sesama manusia. Hubungan manusia dengan manusia meliputi hubungan dalam bentuk perkahwinan, kepimpinan, kejiranan, perniagaan dan lain-lain.
                Ringkasnya, segala perbuatan...

Thursday, 16 June 2011

ISLAM AGAMA RAHMAT

Islam dan Bukan Islam
Sistem pemerintahan Islam tidak pernah mengabaikan hak bukan Islam. Momokan Islam sebagai agama yang ganas, teroris dan seumpamanya adalah label-label ciptaan barat yang iri hati dengan Islam. Hakikatnya, gambaran-gambaran seumpama itu adalah pendustaan semata-mata. Ia diada-adakan untuk menakutkan orang ramai dari mendekati Islam. Taktik kotor ini bukanlah baru dalam sejarah perkembangan Islam. Malah, mereka mungkin mempelajarinya daripada musuh-musuh Islam pada zaman Rasulullah SAW lagi. Setelah pembesar-pembesar Quraisy kehabisan idea untuk menghalang orang ramai daripada mendekati Rasulullah SAW, mereka menyebarkan fitnah kononnya baginda adalah seorang tukang sihir.
“Jangan dekati Muhammad, dia adalah seorang tukang sihir”, ujar mereka.
Ramai juga yang terpedaya dengan taktik kotor itu. Namun, lambat laun apabila mereka mengetahui hakikat sebenar. Mereka sedar Rasulullah SAW bukanlah tukang sihir sebaliknya seorang rasul yang berperibadi tinggi.
Taktik yang digunakan oleh pembesar Quraisy dan barat adalah sama cuba pendetailannya sahaja berbeza mengikut perkembangan zaman. Timur tengah yang dianggap sebagai ‘jantung’ kepada penganut Islam dianggap sebagai ‘sarang keganasan’. Kanak-kanak muslim Palestin digelar sebagai ‘teroris masa depan’ dan pelbagai lagi istilah yang dicanang menerusi media massa barat.
Samer Gustavo Jerez seorang bekas tentera Amerika yang berpangkat Sarjan pernah mendedahkan setiap tentera berpangkat sarjan atau yang lebih rendah wajib mengikuti rangkaian program latihan tertentu. Salah satu daripadanya adalah pendedahan mengenai terorisme. Program latihan itu dikendalikan oleh angkatan laut. Modul latihan diasaskan kepada sebuah filem berjudul American Expose terbitan Jack Anderson. Filem ini menggambarkan kaum Muslimin dan hanya kaum Muslim, sebagai teroris. Inilah salah satu daripada usaha barat untuk menyuburkan Islamphobia dalam kalangan masyarakat dunia. Akibatnya ramai juga orang bukan Islam yang terpedaya dengan label-label ini. Sebahagian mereka terus alah (allergic) dengan Islam dan bersikap prejudis dengan Islam. Fenomena ini berlaku kerana sebahagian daripada kalangan umat Islam masih ramai belum ‘mengenali’ Islam yang sebenar.
            Menerusi kesempatan ini, penulis akan membawa para pembaca untuk menelurusi hakikat sebenar prinsip Islam tentang orang bukan Islam. Gambaran sebenar hal ini penulis sajikan kepada pembaca menerusi prinsip-prinsip utama dalam Islam yang mengatur hubungan umat Islam dan bukan Islam.

Islam Melarang Sebarang Bentuk Penganiayaan
Islam mengharamkan sebarang bentuk penganiayaan terhadap manusia tanpa mengira muslim atau bukan muslim. Malah dalam Islam terdapat prinsip-prinsip khusus yang menghalang penganiayaan terhadap bukan Islam. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
Awas! Sesiapa yang menzalimi seorang mu’ahid, mengurangkan haknya, mengarahkannya melakukan sesuatu melebihi kemampuannya atau mengambil sesuatu daripadanya bukan dengan kerelaannya maka aku akan berhujah menentangnya pada hari kiamat nanti.
(Riwayat Abu Daud)
Maksud mu’ahid ialah orang bukan Islam yang tidak memerangi umat Islam. Mereka terbahagi kepada tiga kumpulan iaitu; pertama: Ahluz zimmah atau zimmi iaitu mereka yang berada di bawah pemerintahan Islam. Kedua: Ahlul hudnah iaitu mereka yang tinggal di negara mereka yang berdamai dengan negara Islam. Ketiga Ahlul Amn atau al-musta’min iaitu mereka yang berkunjung ke negara Islam sama ada sebagai peniaga, utusan diplomatik, pelancong atau urusan-urusan lain. Semua mereka ini tidak boleh dianiaya sebagaimana orang muslim.
Lihatlah sabda Rasulullah SAW ini. Ia adalah satu arahan yang mesti dilaksanakan oleh umat Islam dengan penuh ikhlas. Selagi ia arahan Rasulullah SAW ia wajib dipatuhi tanpa berbelah bahagi.
Buktinya, prinsip ini diikuti oleh para pemimpin Islam selepasnya. Sebagai contoh, khalifah yang terkenal dengan ketegasannya iaitu Umar bin al-Khattab r.a. pernah berwasiat ketika nazak akibat tikaman pengkhianat, “Aku berpesan kepada kamu, hendaklah kamu melaksanakan hak bukan Islam, mempertahankan nyawa mereka dan jangan dipaksakan ke atas mereka sesuatu yang tidak terdaya oleh mereka”.
Betapa pentingnya arahan Umar r.a. ini jika kita melihat kepada situasi dan saat ia diungkapkan. ‘Umar r.a. tidak mahu wujud situasi tegang antara umat Islam dan bukan Islam walaupun nyawa beliau berada dalam saat terancam. Di sinilah bezanya ‘Umar r.a. jika hendak kita bandingkan dengan sebahagian pemimpin umat Islam pada masa ini.
Lihat sahajalah tindakan pemimpin Libya Mu’ammar Qadhafi terhadap rakyatnya setelah kedudukannya terancam. Islam atau bukan Islam tidak menjadi persoalannya. Sesiapa sahaja yang cuba mengancam kedudukannya akan dihapuskan tanpa belas kasihan. Namun bolehkah ia dianggap sebagai mengiyakan tuduhan barat sebagai teroris Islam? Realitinya, Mu’ammar Qadhafi bukan bertindak atas nama Islam, sebaliknya beliau bertindak untuk menjaga kepentingan diri sendiri. Tiada seorang ulama pun yang menghalalkan perbuatan Mu’ammar yang jelas jauh terpesong daripada ajaran Islam.
Sekali lagi terbuka peluang yang luas untuk barat yang diterajui Amerika memainkan peranannya yang kotor. Amerika Syarikat sentiasa mencari ruang untuk mengambil kesempatan atas tiket ‘Polis Dunia’ yang dimiliknya. Kita berdoa supaya Allah SWT melindungi Libya dan umat Islam seluruh dunia.
Kita berdoa supaya tidak ada lagi pemimpin umat Islam yang seiras Mu’ammar Qadhafi lagi di atas muka bumi!

*Jika bersesuaian sila sebarkan tulisan ini di dalam laman web/blog anda. Jika anda sudi masukkan pautan dalam web/blog anda kepada blog: http://islamamatindah.blogspot.com