Pages

Thursday, 30 June 2011

BAHAYA PERKATAAN "KALAU"


K
ita sering mendengar seseorang yang melakukan sesuatu kesilapan di dalam hidupnya menyalahkan dirinya dengan mengulang-ulang perkataan ‘kalau’. Contohnya dia berkata, “Kalaulah saya tak suruh anak saya ke kedai tadi dia tidak akan ditimpa kemalangan!”. Kata-kata seumpama ini tidak patut diungkapkan oleh seseorang yang beriman dengan qada’ dan qadar.  Qada’ dan qadar adalah ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT yang tidak boleh diubah lagi. Namun ia hanya diketahui oleh Allah SWT. Manusia hendaklah berusaha dan menerima segala yang telah berlaku dengan redha. Apa yang dirancang oleh manusia kadang-kadang berlaku sebaliknya. Manusia tiada kuasa untuk menentukannya. Oleh itu, dia tidak wajar mempersoal lagi apa yang telah berlaku, sebaliknya menjadikannya sebagai pengajaran dan mengaku kekuasaan Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW:
المؤمن القوي خير وأحب إلى الله من المؤمن الضعيف. وفي كلٍّ خير. احرص على ما ينفعك. واستعن بالله ولا تعجز. فإن أصابك شيء فلا تقل لو إني فعلت كذا وكذا. ولكن قل قدر الله وما شاء فعل. فإن لو تفتح عمل الشيطان.
Maksudnya: Orang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih disukai oleh Allah berbanding orang mukmin yang lemah. Dalam setiap perkara ada kebaikan. Perhatikan apa yang memberi keabikan kepada kamu. Mohonlah pertolongan daripada Allah dan janganlah berasa lemah. Jika kamu ditimpa sesuatu (masalah) janganlah kamu berkata, “Kalau aku melakukan ini dan ini (nescaya tidak berlaku masalah ini). Tetapi katakanlah, “Allah telah menetapkan apa yang dikehendakiNya. Sesungguhnya ungkapan ‘kalau’ membuka ruang kepada Syaitan (untuk menyesatkan).
(Riwayat Ibnu Majah)
                Manusia tidak dapat mengubah segala perkara yang sudah berlaku. Dia hendaklah menerima takdir dengan hati terbuka. Jangan menggunakan ungkapan "jika aku tidak melakukan begitu.." kerana ia melemahkan hati bahkan keimanan seseorang kepada qada' dan qadar Allah SWT. Perkara yang telah berlaku hendaklah dijadikan iktibar untuk memperbaiki diri. Jika perkara yang telah dilakukannya itu adalah musibah, dia hendaklah mengelakkan dirinya daripada mengulangi kesalahan yang sama pada masa akan datang. Jika perkara yang telah dilakukannya itu adalah dosa atau maksiat dia hendaklah menyesal dan menjauhinya pada masa akan datang.
                Syaitan sentiasa mengambil peluang atas kelemahan manusia. Syaitan akan cuba menghasut manusia supaya buruk sangka kepada Allah SWT. Apabila manusia mengandai-andaikan dia sesuatu perkara akan berubah jika dia tidak melakukan sesuatu perkara yang sudah dilakukannya, pegangannya dengan konsep qada' dan qadar sudah goyah.  Tindakan seumpama ini amat berbahaya dan ia adalah salah satu sifat golongan munafiqin sebagaimana yang terdapat di dalam al-Quran al-Karim yang bermaksud:
Kemudian sesudah (kamu mengalami kejadian) yang mendukacitakan itu, Allah menurunkan kepada kamu perasaan aman tenteram, iaitu rasa mengantuk yang meliputi segolongan dari kamu (yang teguh imannya lagi ikhlas), sedang segolongan yang lain yang hanya mementingkan diri sendiri, menyangka terhadap Allah Dengan sangkaan yang tidak benar, seperti sangkaan orang-orang jahiliyah. Mereka (orang-orang munafiqun) berkata: "Adakah bagi kita sesuatu bahagian dari pertolongan kemenangan yang dijanjikan itu?" Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya perkara (yang telah dijanjikan) itu semuanya tertentu bagi Allah, (Dia lah sahaja Yang berkuasa melakukannya menurut peraturan Yang ditetapkanNya)". mereka sembunyikan dalam hati mereka apa yang mereka tidak nyatakan kepadamu. Mereka berkata (sesama sendiri): "Kalaulah ada sedikit bahagian kita dari pertolongan yang dijanjikan itu, tentulah (orang-orang) kita tidak terbunuh di tempat ini?" Katakanlah (Wahai Muhammad): "Kalau kamu berada di rumah kamu sekalipun nescaya keluarlah juga orang-orang yang telah ditakdirkan (oleh Allah) akan terbunuh itu ke tempat mati masing-masing". Dan (Apa Yang berlaku di medan perang Uhud itu) dijadikan oleh Allah untuk menguji apa yang ada dalam dada kamu, dan untuk membersihkan apa yang ada dalam hati kamu. dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui akan Segala (isi hati) yang ada di dalam dada.
(Surah Al 'Imran 3: 154)
                Sebagai seorang manusia, kita hendaklah mengakui kelemahan yang ada pada diri kita. Antara kelemahan tersebut ialah tidak mampu untuk mengetahui apa yang akan berlaku esok hari, malah sebentar lagi. Kita hanya merancang dan mengandaikan apa yang akan berlaku berdasarkan perancangan yang dibuat. Selebihnya kita hendaklah menyerahkan segala-galanya kepada ketentuan Allah SWT yang Maha Mengetahui apa yang telah ditentukanNya. Marilah kita perhatikan bagaimana al-Quran al-Karim telah membawa kisah yang menunjukkan kelemahan dan kecetekan ilmu pengetahuan yang ada pada manusia dalam bentuk yang amat menarik ini.
Di dalam surah al-Kahfi, Allah SWT menceritakan kepada kita tentang kisah Nabi Musa dan Khidr 'Alayhimassalam. Kemudian kisah ini telah didetailkan melalui hadith Rasulullah S.A.W sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim. Secara mafhumnya, ketika Nabi Musa berucap kepada kaumnya tentang nikmat-nikmat Allah dan ujian-ujiannya, Nabi Musa berkata, "Aku tidak tidak ketahui terdapat orang yang lebih tinggi pengetahunnya daripadaku pada masa ini". Lalu Allah mewahyukan kepadanya: Ada seorang lelaki yang lebih ilmunya daripada kamu.” Nabi Musa pun berkata, "Ya Allah, tunjukkan aku siapakah lelaki tersebut". Dipendekkan cerita akhirnya, Nabi Musa pun menghadap Khidr untuk berguru kepadanya. Nabi Musa pun menyatakan hasratnya untuk mempelajari ilmu daripada Khidr. Khidr menyatakan, "Kamu pasti tidak akan menahan sabar kerana kamu tidak mengetahui tentang perkara yang diperintahkan aku melakukannya". Nabi Musa tetap ingin meneruskan hajatnya dan akhirnya Khidr pun mengalah dan mensyaratkan supaya Nabi Musa tidak bertanya tentang perkara yang akan dilakukannya. Mereka berdua pun melakukan perjalan. Sepanjang perjalanan tersebut berlaku beberapa perkara aneh yang dilakukan oleh Khidr. Yang pertama, beliau membocorkan perahu milik orang miskin, kedua membunuh seorang pemuda dan ketiga membangun tembok yang hampir runtuh tanpa meminta upah padahal di bandar itu penduduknya amat bengis terhadap mereka berdua. Perbuatan Khidr jika dilihat dengan mata kasar amat menggusarkan hati Nabi Musa. Beliau sedih dan terkejut menyaksikan perbuatan Khidr itu. Musa menegur Khidr supaya dia menerangkan hikmah di sebalik peristiwa itu. Khidr berasa sampailah waktu perpisahannya dengan Musa.
Khidr menjelaskan segala hikmah di sebalik tindakan beliau melalui firman Allah bermaksud: “Adapun perahu itu, ia adalah kepunyaan orang miskin bekerja di laut. Oleh itu, aku bocor dengan tujuan mencacatkan. Kerana di belakang mereka ada seorang raja mahu merampas setiap perahu yang tidak cacat.
Adapun pemuda itu, kedua ibu bapanya adalah orang beriman, maka kami bimbang bahawa ia akan mendesak mereka melakukan perbuatan zalim dan kufur.
Oleh itu, kami berharap supaya Tuhan menggantikan bagi mereka anak yang lebih baik darinya, yang bersih jiwanya dan mesra kasih sayangnya. Adapun tembok itu, ia dimiliki oleh dua orang anak yatim di bandar itu yang di bawahnya ada harta terpendam dan bapa mereka pula orang yang soleh.
Maka, Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai suatu rahmat dari Tuhan, dan aku tidak melakukannya menurut pemikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan maksud dan tujuan perkara-perkara yang engkau (Musa) tidak dapat bersabar mengenainya.” (Surah al-Kahfi 18: 79-82).
Demikianlah rahsia ilmu Allah yang maha luas dan maha dalam. Tiada seorang makhluk pun boleh memahami semua dengan tepat. Qada dan qadar Allah itu semuanya baik belaka. Itulah pilihan Allah untuk kita.

No comments:

Post a Comment