Pages

Thursday, 23 June 2011

ISLAM & PERASAAN TAKUT

Ketakutan adalah sifat yang diciptakan Allah SWT dalam diri manusia. Manusia dikurniakan akal dan wahyu untuk mengawal ketakutan. Jika dibiarkan tanpa sebarang ikatan, ketakutan akan menjadikan manusia lemah dan mudah ditewaskan oleh Syaitan.
Kerana takut, kita mengunci pintu rumah. Kerana takut kita menyimpan wang di bank. Kerana takut kita melakukan banyak lagi perkara untuk menghalau perasaan tersebut dalam kehidupan kita. Takut seumpama ini adalah lumrah dalam diri manusia. Bayangkan jika tiada sebarang ketakutan manusia akan lalai. Pencuri dan orang yang berniat jahat akan bermaharaja lela.
                Dalam Islam ada beberapa jenis ketakutan:
Pertama: Takut kepada jin, syaitan, sihir dan kuasa halus sehingga tunduk kepada mereka seolah-olah kuasa mereka mengatasi ketetapan Allah SWT. Ketakutan ini membawa kepada syirik.
(Na’uzubillah min zalik)
Kedua: Takut kepada musuh atau kepada orang yang lebih berkuasa sehingga mendorongnya melakukan perkara haram atau meninggalkan perkara yang wajib. Ketakutan ini dianggap maksiat atau penderhakaan kepada Allah dan RasulNya. (Na’uzubillah min zalik)
Ketiga: Takut kepada pencuri lalu mengunci pintu rumah atau takut kepada ular berbisa lalu menjauhi daripadanya dan seumpamanya. Ketakutan ini adalah harus bagi manusia.
Keempat: Takut kepada Allah Maha Berkuasa yang menyediakan neraka untuk orang yang melanggar perintahnya lalu dia melakukan ketaatan. Ketakutan jenis ini perlu dipupuk supaya hati manusia men jadi lembut dan tunduk kepada perintahNya.
                Oleh itu, ketakutan bukan perkara main-main. Ia adalah emosi yang boleh menyemai ketaatan dan taqarrub kepada Allah SWT atau mengundang penderhakaan, kesyirikan dan ketaatan kepada Syaitan.
                Hari ini, ramai manusia menggunakan emosi takut manusia untuk meraih keuntungan duniawi. Kegilaan penerbit drama dan filem menyajikan tema-tema hantu, saka dan seram dalam karya mereka adalah salah satu daripadanya. Semakin kuat kesan seram yang dihasilkan semakin beruntung penerbit, pengarah dan pelakonnya. Judul-judul seram timbul satu lepas satu. Semakin ‘catchy’ dan semakin menggamit penonton. Kisah hantu raya, saka, langsuir dan macam-macam lagi mula dihidupkan kembali pada zaman serba moden ini. Tidak timbul walau secebis kebimbangan dalam hati mereka bahawa suatu hari nanti akan lahir generasi yang penakut dan bacul hasil sajian karya mereka.
                Alangkah baiknya jika mereka menghasilkan karya yang dapat menimbulkan rasa takut kepada azab Allah yang Maha Menyakitkan. Betapa banyak pahala yang bakal diraih. Semakin ramai penonton semakin banyak pahala. Walau pun mungkin tidak ‘pecah panggung’, namun keberkatan daripada keuntungan yang sedikit itu pasti lebih baik daripada keuntungan yang banyak tetapi mengundang kemurkaan Allah SWT.

No comments:

Post a Comment