Thursday 26 January 2012

Hamba Allah Full Time

Lumrahnya sebagai insan biasa, apabila celik sahaja mata kita daripada tidur, kita akan bertindak mengikut matlamat yang kita gariskan. Matlamat-matlamat itu ada yang paling utama dan ada yang sampingan. Cuba kita fikirkan, apakah matlamat utama kita?

Hari ini ramai orang yang menjadikan matlamat utamanya adalah kerjaya. Apa sahaja yang berada di luar lingkungan kerjayanya adalah matlamat sampingan. “Tiada kerja, tiada wang..tiada wang macam mana nak hidup? Anak isteri nak makan apa? Rumah, kereta dan bil-bil siapa nak tanggung?...”. Pendek kata kerjayalah yang paling penting. Tiada yang lebih penting daripada itu. Apa-apa sahaja yang menjejaskan kerjaya mesti dielakkan. Kerjaya mesti menjadi keutamaan. Kalau boleh graf prestasi kerjaya biar sentiasa menegak seperti jarum jam pukul 12.

Itulah mindset kebanyakan kita. Kita diajar dengan kerjaya semenjak dari kecil. Mula-mula kita ditanam dengan membayangkan cita-cita yang melangit. Kemudian kita disuruh belajar untuk membina masa hadapan. Kalau tak pandai belajar kononnya susah dapat kerja. Belajar dianggap sama erti dengan kerjaya.

Tidak salah memasang cita-cita pada usia muda. Tidak salah mengidamkan kerjaya yang baik. Tetapi janganlah tersasar daripada matlamat asal kita. Bukankah kita telah berjanji dengan Allah SWT suatu masa dahulu? Kita telah berikrar bahawa Allah Tuhan kita yang satu-satunya. Kita adalah hamba Allah. Matlamat hidup kita adalah memperhambakan diri kepada-Nya. Firman Allah SWT yang bermaksud:

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (Adh-Dhariyat: 56)

Sedarlah! Kita adalah hamba Allah sepenuh masa (full time). Tugas hakiki kita ialah menjadikan seluruh kehidupan kita sebagai ibadah. Kerja kita ibadah, makan minum kita ibadah, memberi nafkah ibadah dan segala-galanya adalah ibadah. Jika kita menjadikannya sebagai matlamat hidup kita akan hidup dengan penuh keselesaan. Pastinya kita tidak akan terlibat dengan najis rasuah, amalan membodek, mengampu, mengejar pangkat, curi tulang, menipu dan sebagainya. Mungkin sebelum ini kita banyak melakukan kesalahan. Itu lumrah insan biasa. Namun jika matlamat hidup kita jelas, kita akan berusaha memperbaiki diri kita. Meningkatkan KPI amalan kita seiring dengan bertambahnya usia kita sehari demi sehari.

Mari kita memaling ke belakang! Banyakkah amalan kita sebelum ini? Atau banyakkah juga dosa dan keterlanjuran kita sebelum ini? Adakah usia kita yang sudah berlalu 30 atau 40 tahun yang lalu boleh menjadi bekal selesa kita untuk bertemu Maha Pencipta Yang Maha Berkuasa lagi Maha Detail Hisabnya? Solat, puasa, zakat, haji yang kita lakukan adakah sempurna atau banyak cacat celanya? Banyakkah harta yang kita sumbangkan untuk kebaikan, atau lebih banyak kita gunakan untuk kemewahan kita? Berapa titiskah air mata yang kita curahkan untuk meratapi dosa yang kita lakukan di hadapan Allah SWT?...

Mari kita melihat pula ke hadapan! Berapa tahun lagi kita akan hidup? Siapa yang dapat menjamin kita akan hidup 10 atau 20 tahun lagi? Bukankah ramai rakan sebaya kita yang terlebih dahulu pergi bertemu Allah SWT (Semoga Allah merahmati mereka). Jika kita menyedari hakikat ini marilah sama-sama kita memperbaiki diri dengan menjadikan seluruh kehidupan kita sebagai ibadat.

Persoalannya, bagaimana hendak menjadikan seluruh kehidupan kita sebagai ibadat? Bagaimana hendak melaksanakan tugas kita sebagai hamba Allah full time, apakah manualnya?...

Manualnya tidak terdapat di kedai atau pasaraya tetapi banyak didapati di pusat-pusat pengajian atau lebih mudah di masjid dan surau. Biasanya percuma tidak dikenakan bayaran. Oleh itu, bermula saat ini kunjungilah masjid dan surau. Kita akan dapat manual itu dengan percuma melalui kuliah, ceramah dan tazkirah. Jika kita jarang menjejakkan kaki ke tempat-tempat tersebut mulakan dari sekarang. Setiap langkah kita akan diangkat satu darjat dan dihapuskan dosa-dosa kecil. Lumrahnya di masjid dan surau kita akan bertemu dengan insan-insan yang baik. Mungkin ada seorang dua yang kurang baik peri lakunya tetapi yakinlah di luar sana lebih ramai lagi insan yang lebih jauh jahat dan buruk akhlaknya.

Mari sama-sama kita fikir dan amalkan!