Thursday 29 December 2011

Facebook Lubuk Pahala Atau Sarang Dosa



Facebook ialah medium sosial atas talian terkini yang mendapat sambutan menggalakkan masyarakat dunia. Orang muda, orang tua, malah kanak-kanak pun memiliki akaun facebook. Namun, facebook ibarat sebilah pisau, boleh digunakan untuk kebaikan atau keburukan. Kita boleh menggunakan facebook untuk mencari rakan yang sudah lama tidak bertemu, bertanya khabar, meminta pendapat, memberi pendapat, malah memberi tazkirah pun boleh. Semuanya percuma.

Bayangkan jika seseorang itu mengajak kepada satu kebaikan di dalam facebook, kemudian ia diikuti oleh rakannya, kemudian rakannya ‘suka’ (like) statusnya, kemudian diikuti pula oleh orang lain... Alangkah banyaknya pahala yang dikaut! Menariknya orang yang menekan like pun akan mendapat pahala juga sama sepertinya. Kita tidak perlu berhempas pulas untuk mencari idea. Hanya dengan menekan butang like untuk kebaikan kita sudah menjana pahala. Mudah bukan?


Namun facebook juga boleh digunakan untuk tujuan sebaliknya. Ada yang mengajak ke arah kejahatan, menguploadkan foto-foto yang mendedahkan aurat, menfitnah dan menghina. Facebook juga boleh dijadikan alat untuk menipu, mengugut dan melakukan seribu satu jenayah yang tidak tergambar oleh kita.


Ada yang tidak mengajak kepada kejahatan tetapi menunjukkan-nunjukkan kemegahan dan kemewahan yang dicapai. Beli handbeg masuk dalam facebook, beli cincin masuk dalam facebook, beli tudung masuk dalam facebook, dapat itu masuk dalam facebook, dapat ini masuk dalam facebook.... Kemudian tunggu komen, pujian dan macam-macam. Dibimbangi perbuatan seumpama ini akan menjerumuskan seseorang kepada sifat riya' atau menunjuk-nunjuk (Na’uzubillah min zalik).


Oleh itu, bertindaklah dengan bijak. Janganlah menggunakan facebook melainkan untuk tujuan yang suci. Jika anda bertindak demikian memang anda amat berhak menggunakan facebook. Buatlah dua, tiga atau sepuluh akaun facebook atau tubuhlah beberapa group dalam facebook, atau sekurang-kurangnya tekan butang like untuk kebaikan... anda sudah menjana pahala, pahala, dan pahala


Imam At-Tirmidhi meriwayat sebuah hadith:
Maksudnya: Al-Hikmah (Kebijaksanaan) adalah barang yang hilang dari orang mukmin, maka di mana saja ia dapati, dia adalah orang yang paling berhak terhadapnya. (Riwayat At-Tirmizi dan beliau berkata hadith ini gharib).

Friday 4 November 2011

Jika Anda Menghafaz al-Quran!...



  • Jika anda menghafaz sehari 1 ayat al-Quran anda dapat menghafaz al-Quran selama 17 tahun, 7 bulan dan 9 hari,
  • Jika anda menghafaz sehari  2 ayat al-Quran anda dapat menghafaz al-Quran selama 8 tahun, 9 bulan dan 18 hari
  • Jika anda menghafaz sehari  3 ayat al-Quran anda dapat menghafaz al-Quran selama 5 tahun, 10 bulan dan 13 hari
  • Jika anda menghafaz sehari  4 ayat al-Quran anda dapat menghafaz al-Quran selama 4 tahun, 4 bulan dan 24 hari
  • Jika anda menghafaz sehari  5 ayat al-Quran anda dapat menghafaz al-Quran selama 3 tahun, 6 bulan dan 7 hari
  • Jika anda menghafaz sehari  6 ayat al-Quran anda dapat menghafaz al-Quran selama 2 tahun, 11 bulan dan 4 hari
  • Jika anda menghafaz sehari  7 ayat al-Quran anda dapat menghafaz al-Quran selama 2 tahun, 6 bulan dan 3 hari
  • Jika anda menghafaz sehari  8 ayat al-Quran anda dapat menghafaz al-Quran selama 2 tahun, 2 bulan dan 12 hari,
  • Jika anda menghafaz sehari  9 ayat al-Quran anda dapat menghafaz al-Quran selama 1 tahun, 11 bulan dan 12 hari,
  • Jika anda menghafaz sehari  10 ayat al-Quran anda dapat menghafaz al-Quran selama 1 tahun, 9 bulan dan 3 hari,
  • Jika anda menghafaz sehari  11 ayat al-Quran anda dapat menghafaz al-Quran selama 1 tahun, 7 bulan dan 6 hari,
  • Jika anda menghafaz sehari  12 ayat al-Quran anda dapat menghafaz al-Quran selama 1 tahun, 5 bulan dan 15 hari,
  • Jika anda menghafaz sehari  13 ayat al-Quran anda dapat menghafaz al-Quran selama 1 tahun, 4 bulan dan 6 hari,
  • Jika anda menghafaz sehari  14 ayat al-Quran anda dapat menghafaz al-Quran selama 1 tahun dan 3 bulan,
  • Jika anda menghafaz sehari  15  ayat al-Quran anda dapat menghafaz al-Quran selama 1 tahun, 2 bulan dan 1 hari
  • Jika anda menghafaz sehari  16  ayat al-Quran anda dapat menghafaz al-Quran selama 1 tahun, 1 bulan dan 6 hari
  • Jika anda menghafaz sehari  17  ayat al-Quran anda dapat menghafaz al-Quran selama 1 tahun dan 10 bulan,
  • Jika anda menghafaz sehari  18  ayat al-Quran anda dapat menghafaz al-Quran selama 11 bulan dan 19 hari,
  • Jika anda menghafaz sehari  19  ayat al-Quran anda dapat menghafaz al-Quran selama 11 bulan dan 1 hari,
  • Jika anda menghafaz sehari  20  ayat al-Quran anda dapat menghafaz al-Quran selama 10 bulan dan 16 hari,
  • Jika anda menghafaz sehari  0  ayat al-Quran anda tidak dapat menghafaz al-Quran sepanjang hidup anda.

Diterjemahkan daripada laman web: http://www.tahasoft.com/vb/t1601.html


Wednesday 12 October 2011

Detik Keislaman Prof. Dr. Maurice Bucaille Pakar Gastroentorologi Perancis

PADA pertengahan tahun 1975, Perancis yang ketika itu di bawah pemerintahan Presiden Francisco Mitterand menawarkan kerajaan Mesir bantuan untuk meneliti, mempelajari dan menganalisis mumia Firaun, Ramsess II yang sangat terkenal.
Firaun yang dikatakan hidup di zaman Nabi Musa yang akhirnya mati tenggelam dalam Laut Merah ketika mengejar Musa dan para pengikut baginda yang melarikan diri daripada kekejamannya.
Mesir menyambut baik tawaran itu dan membenarkan mumia itu diterbangkan ke Paris. Malah ketika sampai di sana kedatangan mumia itu disambut dengan pesta dan keramaian.
Ini termasuklah apabila Mitterand dan para pemimpin Perancis yang lain tunduk hormat ketika mumia itu dibawa lalu di hadapan mereka.
Mumia itu kemudiannya diletakkan di ruang khas di Pusat Arkeologi Perancis. Di situ ia bakal diperiksa sekali gus membongkar rahsianya oleh para pakar, doktor bedah dan autopsi Perancis yang dipimpin oleh doktor yang sangat terkenal, Prof. Dr. Maurice Bucaille.
Bucaille seorang pakar bedah kenamaan Perancis yang dilahirkan di Pont-L’Eveque pada 19 Julai 1920. Memulakan kerjaya di bidang perubatan am dan pada tahun 1945 beliau diiktiraf sebagai pakar di bidang gastroentorologi.
Ramai kerabat diraja dan keluarga pemimpin dunia menggunakan khidmat Dr. Bucaille, termasuk Raja Faisal Arab Saudi dan pemimpin Mesir, Anwar Sadat.
Lalu kesempatan beliau untuk membedah dan menyiasat mumia Firaun, mengerah seluruh tenaga dan mindanya untuk menguak misteri di sebalik penyebab kematian raja Mesir kuno itu.
Ternyata, hasilnya sangat mengejutkan. Dr. Bucaille menemukan sisa-sisa garam yang masih melekat pada jasad mumia tersebut sebagai bukti terbesar bahawa Firaun itu mati akibat tenggelam di dalam laut. Iaitu jasadnya segera dikeluarkan dari laut, ‘dirawat’ segera dan dijadikan mumia supaya jasad itu kekal awet.
Namun penemuan itu menimbulkan persoalan yang sangat besar kepada Dr. Bucaille. Bagaimana jasad tersebut masih dalam keadaan sangat baik berbanding jasad-jasad yang lazimnya tenggelam dan dikeluarkan daripada laut?
Lalu beliau menyiapkan sebuah laporan akhir yang diyakininya sebagai penemuan baru, iaitu proses menyelamatkan mayat Firaun dari laut dan kaedah pengawetannya.
Laporan tersebut diterbitkan dengan tajuk; Mumia Firaun: Sebuah Penelitian Perubatan Moden (judul asalnya; Les Momies Des Pharaons Et La Midecine). Ekoran penerbitan laporan itu, Dr Bucaille dianugerah penghargaan tertinggi kerajaan iaitu Le Prix Diane Potier-Boes (Penghargaan Dalam Sejarah) oleh Academie Frantaise dan anugerah Prix General daripada Academie Nationale De Medicine, Perancis.
Namun seorang rakan sempat membisikkan kepada Dr. Bucaille bahawa penemuan ini sebenarnya bukan sesuatu yang baru.
“Jangan tergesa-gesa kerana sesungguhnya umat Islam telah berbicara mengenai peristiwa Firaun yang mati lemas dan mayatnya dipelihara sehingga hari ini!”
Namun kata-kata itu ditentang keras oleh Dr. Bucaille kerana beliau menganggap sangat mustahil. Baginya membongkar sesebuah misteri yang lama tidak mungkin dapat diketahui kecuali dengan perkembangan teknologi moden, peralatan dan makmal canggih yang mutakhir dan tepat.

Kisah Firaun dalam al-Quran

Hakikatnya Dr. Bucaille menjadi serba salah dan bingung apabila diberitahu bahawa al-Quran yang diyakini dan dipercayai oleh umat Islam telahpun meriwayatkan kisah tenggelamnya Firaun dan kemudian mayatnya diselamatkan.
Beliau semakin tertanya-tanya, bagaimana perkara seperti itu dapat diterima oleh akal kerana mumia itu baru sahaja ditemui sekitar tahun 1898. Sedangkan al-Quran telah ada di tangan umat Islam sejak ribuan tahun sebelumnya.
Sambil mata tidak lepas memandang mumia Firauan yang terbujur di hadapannya, Dr. Bucaille terus tertanya-tanya bagaimana al-Quran dapat membicarakan kisah Firaun yang jasadnya diselamatkan dari hancur sejak ribuan tahun lalu.
“Apakah masuk akal di hadapanku ini adalah Firaun yang cuba menangkap Musa (Nabi)? Apakah masuk akal Muhammad (Nabi) mengetahui hal sejarah ini? Pada hal kejadian Musa dikejar Firaun telah berlaku sebelum al-Quran diturunkan,” bicara hatinya sendirian.
Lalu beliau mendapatkan kitab Injil yang di dalamnya hanya membicarakan Firaun yang tenggelam di tengah laut saat mengejar Nabi Musa tetapi tidak diceritakan mengenai mayat Firaun.
Sementara dalam Kitab Perjanjian Lama (Injil Lama) pula yang diceritakan dalam kitab itu hanyalah: “Air (laut) pun kembali seperti sebuah lautan yang berombak dan beralun, menenggelamkan kereta-kereta (chariot) kuda, pasukan berkuda dan seluruh bala tentera Firaun tanpa ada seorang pun yang berjaya menyelamatkan diri. Tetapi anak-anak Israel dapat menyelamatkan diri atas daratan kering di tengah-tengah laut itu”. (Exodus 14:28 dan Psalm 136:15)
Dr. Bucaille sangat terkejut kerana tidak ada disebut langsung mengenai apa yang terjadi seterusnya kepada mayat Firaun selepas tenggelam itu.

Ini menjadikan beliau semakin kebingungan.
Apabila mumia dikembalikan semula ke Mesir, Dr. Bucaille terus mendapatkan kepastian mengenai mumia itu. Lalu beliau memutuskan untuk bertemu dengan para ilmuwan Islam mengenai sejarah Nabi Musa, kekejaman Firaun sehinggalah Bani Israel meninggalkan Mesir dan dikejar Firaun dengan seluruh bala tentera di belakang mereka.
Maka salah seorang mereka terus bangun dan membaca ayat al-Quran berhubung sejarah tersebut untuk Dr. Bucaille mendengarkannya sendiri:

“Maka pada hari ini Kami selamatkan badan kamu supaya kamu dapat menjadi pelajaran bagi orang-orang yang datang sesudah kamu dan sesungguhnya kebanyakan manusia lengah dari tanda-tanda kekuasaan Kami. (Yunus: 92).”
Apabila mendengar ayat ini, hati Dr. Bucaille benar-benar tersentuh. Beliau akhirnya mengakui kebenaran ayat itu kerana ia dapat diterima akal dan memberikan satu inspirasi serta dorongan kepada sains untuk maju meneroka lebih jauh lagi.
Lalu dengan hati yang begitu bergetaran dalam menahan sebak dan keharuan, beliau pun bangun dan dengan suara yang lantang berkata: “Sesungguhnya aku masuk Islam dan beriman dengan al-Quran ini.”
Tidak sekadar beliau mengakui kebenaran dan memeluk Islam tetapi beliau kemudiannya pulang ke Perancis dengan menggali seluruh isi al-Quran.
Akhirnya beliau berjaya menerbitkan buku yang sangat mengejutkan seluruh dunia dan sehingga kini telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa pada tahun 1976, iaitu The Bible, the Qur’an, and Science : The Holy Scriptures Examined in the Light of Modern Knowledge.
Melalui buku ini, Dr. Bucaille yang kemudiannya dikenali sebagai Dr. Yahya Maurice Bucaille berjaya membuktikan bahawa al-Quran adalah selari dengan fakta-fakta sains sementara kitab Injil adalah sebaliknya.
“Sains dan Islam umpama saudara kembar yang tidak boleh berpisah. Ini kerana dalam Injil terdapat pelbagai kesilapan dari aspek saintifik tetapi tiada sedikitpun kesilapan seperti itu ada dalam al-Quran.
“Al-Quran yang di dalamnya diceritakan segala penjelasan mengenai fenomena alam semula jadi yang sangat bertepatan dengan sains moden,” katanya.
Beliau memberikan kesimpulan bahawa tidak syak lagi al-Quran benar-benar kalam Allah.

(Dipetik daripada Utusan Online, Susunan SITI AINIZA KAMSARI)


Thursday 15 September 2011

SENTUHAN KALBU

Sebahagian daripada kita mungkin sedang berfikir: tengahari ini nak makan di restoran mana? Masakan restoran mana paling sedap?
Menu apa menarik?.. Masakan Thai? Utara? Selatan? Padang? Arab? Mamak?...
Isteri di rumah pula mungkin sedang memikirkan, “Nak masak apa untuk suami dan anak-anak malam ni?”…
“Apa lagi resepi dalam buku masakan yang belum dicuba?”….
Suami pula sedang merancang, “Hujung minggu ni banyak sungguh undangan rumah terbuka. Mana satu nak kensel (cancel)?”…
Mungkin itulah yang difikirkan oleh kebanyakan daripada kita.


Nun di sana lain pula…
“Makanan sudah berkurangan. Cukupkah untuk hari ini?”…
“Kalaulah ada segelas air kosong, boleh dibasahkan teguk yang sangat kering ini”.
“Ya Allah! Berilah kepada anak-anak ku walau sebuku roti…Aku sudah tidak tahan melihat mereka yang sedang merintih kelaparan”.
Inilah rintihan rakan-rakan kita di kem-kem pelarian Somalia saat ini. Kebuluran telah mencengkam hidup mereka. Peperangan pula telah meruntun keamanan daripada mereka.
“Ibu! perutku terlalu sakit”
“Ibu! Lapar”
“Ibu dahaga”
Itulah rintihan biasa anak-anak Somalia ketika ini. Hanya linangan air mata sahaja yang dapat menjawab rintihan-rintihan itu. Tiada daya lagi bagi si ibu untuk memenuhi permintaan anak-anaknya yang sangat berat itu. Kematian akibat kebuluran sudah menjadi biasa bagi mereka.
Seorang ibu yang sarat mengandung telah meninggalkan kampung halamannya. Keluar mencari bantuan makanan dan perubatan. Setelah 10 hari berjalan berbekalkan sedikit makanan kudrat si ibu semakin lemah. Si ibu mendirikan khemah daripada ranting-ranting dan bahan buangan yang layak dipanggil sampah. Apakan daya itulah kemampuan si ibu yang terlalu daif itu. Dia melahirkan anaknya di situ dengan bantuan mereka yang senasib dengannya. Keesokan harinya barulah dia mendapat bantuan perubatan daripada salah satu NGO dari Malaysia! Situasi yang sangat memilukan bagi si ibu dan si bayi yang baru dilahirkan ini. Bukan itu yang diharapkan oleh si ibu untuk cahaya matanya itu. Tilam yang empuk, losyen, bedak, lampin pakai buang dan pakaian bayi berjenama…mungkin itu yang menyambut kebanyakan bayi kita di Malaysia.
                Namun, siapakah yang dapat memahami penderitaan yang dialami mereka? Siapakah yang mempedulikan mereka?...
                Pepatah Melayu pernah mengungkapkan ‘berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul”. Memang tepat sekali pepatah ini. Mereka yang pernah mengalami penderitaan sahaja yang lebih menyelami erti penderitaan. Rupa-rupanya sebelum sampai bantuan dari NGO-NGO Malaysia, bantuan rakyat Palestin sebanyak USD 2 juta terlebih dahulu sampai. Malah dalam satu siri serangan regim Israel terhadap rakyat Palestin baru-bari ini, seorang kanak-kanak lelaki terbunuh. Di dalam saku-sakunya penuh dengan wang siling.  Apabila diselidiki rakannya yang selamat daripada serangan tersebut, dia menceritakan bahawa wang itu dikumpul olehnya sekian lama untuk didermakan kepada umat Islam di Somalia. Allahu Akbar!  Terasa kerdilnya kita. Seorang kanak yang miskin, hidup dalam dunia peperangan, tidak memiliki apa-apa tapi memiliki jiwa yang sangat besar dan mulia…
Di manakah kita?
                 

Tuesday 13 September 2011

TEPATKAH PENGGUNAAN ISTILAH 'MAKANAN SUNNAH'?

Perbuatan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dibahagikan kepada beberapa bahagian. Antaranya ialah perbuatan yang dikenali sebagai ‘al-jibilliyyah’ iaitu perbuatan yang dilakukan atas dasar sebagai manusia dan berdasarkan amalan atau budaya sekeliling. Contohnya ialah cara Rasulullah SAW berjalan, tidur, makan dan minum kecuali yang dinyatakannya sebagai suatu yang wajib atau sunat seperti bersugi dengan kayu ‘araak’ dan memakan dengan tangan kanan. Melakukan apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dalam kategori ini tidak dinamakan sunnah. Majoriti  ahli usul al-fiqh seperti yang dinyatakan oleh al-Amidi dan al-Syawkani menganggap ia termasuk dalam kategori harus (ibahah) sahaja.
Namun jika seseorang itu melakukannya atas dasar kecintaan kepada Rasulullah SAW sehingga mahu melakukan apa sahaja yang dilakukan baginda dia akan mendapat ganjaran pahala. Pahala itu diperolehi atas dasar  at-ta’assi (التأسي)  bukannya sunnah. Hal seumpama ini pernah dilakukan oleh sebahagian sahabat seperti Ibnu ‘Umar Radhiyallahu’anhuma. Nafi’ menceritakan bahawa Ibnu ‘Umar Radhiyallahu’anhuma mengikut segala perbuatan Rasulullah SAW. Beliau bersolat di mana tempat baginda bersolat. Beliau akan berhenti di bawah pohon tempat Rasulullah SAW berteduh, malah beliau sering menyirami pohon tersebut supaya ia tidak kering. Beliau juga melalui jalan-jalan yang dilalui Rasulullah SAW serta berhati-hati mengatur langkah untuk mengikut jejak langkahan unta tunggangan baginda.
Hal seumpama ini juga menjadi amalan para sahabat yang lain. Umpamanya al-Tirmizi meriwayatkan bahawa Abu Talut menceritakan pada suatu hari beliau memasuki rumah Anas bin Malik Radiyallahu’anhu. Ketika itu Anas sedang memakan labu. Anas berkata, “Wahai labu! Aku tidak suka memakanmu melainkan kerana Rasulullah SAW memakanmu”.
Begitulah kecintaan mereka kepada Rasulullah SAW yang tidak terhingga menyebabkan mereka mahu mengikut baginda dalam segenap aspek. Pastinya mereka akan memperolehi pahala atas dasar kecintaan yang mendalam seumpama itu.
Namun untuk mengatakan perbuatan itu sunnah ia adalah satu tindakan yang  tidak tepat. Lebih-lebih lagi dalam perkara yang tidak dipastikan ia dilakukan oleh Rasulullah SAW.
Umpamanya pada hari ini, heboh di sana sini pengeluar-pengeluar makanan tambahan mendakwa produk mereka adalah makanan sunnah. Lalu dicampurlah pelbagai makanan yang dimakan oleh Rasulullah dengan pelbagai kandungan dan didakwa sebagai makanan sunnah. Antara campuran tersebut ialah kismis, kurma madu, kurma ajwah, madu, buah tin, minyak zaitun, za’faran, habbatus sauda’ dan pelbagai lagi. Malah ada juga yang dicampurkannya dalam satu produk. Memang diakui semua itu ada sandarannya dan memiliki khasiat-khasiat tertentu sebagaimana yang terdapat dalam ilmu perubatan Islam. Tetapi tahukah berapa kali ia dimakan oleh Rasulullah SAW? Adakah semua itu dimakan sekaligus? Berapa kuantitinya? Semua ini perlu dihalusi jika ingin dikaitkan dengan Rasulullah SAW. Malah makanan-makanan tambahan ini sebahagiannya dijual dengan harga yang mahal-mahal. Adakah menjadi sunnah makan makanan yang mahal?
Penulis tidak menolak kebaikan makanan-makanan tersebut, malah sesiapa yang memakannya kerana cintakan Rasulullah SAW sebagaimana yang dilakukan oleh Ibn ‘Umar dan Anas bin Malik Radiyallahu’anhum, insyaAllah dia akan memperolehi ganjaran pahala. Selain itu, makanan-makanan tersebut juga mempunyai khasiat-khasiat dari sudut perubatan yang tidak boleh disangkan lagi jika ia diambil dalam kuantiti yang bersesuaian. Namun tindakan sebahagian pengeluar makanan kesihatan yang mendakwa ia sebagai ‘makanan sunnah’ adalah tidak tepat dan lebih berbentuk komersial. Lebih-lebih lagi ia dihasilkan dalam bentuk-bentuk yang tidak lagi menggambarkan keaslian makanan Rasulullah SAW sama ada dalam bentuk campuran atau ekstrak pelbagai kandungan. Wallahu a’lam.

Monday 12 September 2011

PENTINGKAH ILMU TASAWWUF?

Orang berilmu terbahagi kepada tiga kumpulan:
1. al-‘Alim Bi Amrillah (Berilmu Tentang Perintah Allah)
2. al-‘Alim BilLah (Berilmu Tentang Allah)
3. al-‘Alim Bi Amrillah wa  BilLah (Berilmu Tentang Perintah Allah dan Allah)

Al-‘Alim Bi Amrillah memahami tentang perintah Allah. Sebagai contoh dia memahami Allah SWT memerintahkan kepadanya solat, memahami perintah tersebut dengan detail dari segi dalil dan perinciannya secara zahir. Tetapi apabila bersolat dia tidak khusyuk di dalam solat justeru tidak memahami maqasid-maqasid (hikmah solat) dan kenapa dia perlu bersolat. Tidak memahami unsur-unsur kerohanian di dalam solat yang meliputi pengabdian dan ketundukan sebagai hamba kepada Allah. Lantas dia selesai melakukan solat tanpa memberi kesan-kesan apa pada dirinya. Hubungannya dengan Allah dan manusia masih di tahap yang sama. Kebiasaannya golongan ini keras hatinya dan terlalu merasakan pandangannya benar dan suka bertelagah. Mereka suka menyerang pandangan orang lain dan merendah-rendahkan orang lain.
                Al-‘Alim Billah pula hanya duduk berzikir tanpa mendalami ilmu agama sehingga menyebabkan mereka terus berada dalam keadaan jahil.
                al-‘Alim Bi Amrillah wa BilLah pula bersolat dalam keadaan memahami pendetailan tentang hukum hakam solat serta menjiwai solatnya, mengetahui hikmah-hikmah difardhukan solat dan menyelami unsur-unsur kerohanian di dalam solat, lantas dia akan khusyuk di dalam solat. Hatinya sentiasa mengingati Allah dalam segala urusan kehidupannya. Inilah orang alim yang sebenarnya yang kita dambakan kewujudannya dalam masyarakat.
                Oleh sebab itu, Imam al-Ghazali telah menghasilkan kitab Ihya’ ‘Ulumiddin yang bermaksud menghidupkan ilmu-ilmu agama. Beliau berpandangan manusia pada masa itu hanya memahami ilmu agama secara zahir sehingga menyebabkan seolah-olah ilmu agama itu mati. Lantas beliau cuba meniupkan roh ke dalam ilmu agama terutamanya fiqh (fekah) di dalam karyanya Ihya’ ‘Ulumiddin. Justeru, kita dapati beliau menulis tajuk-tajuk ilmu fiqh beliau seperti Bab fi Asrar as-Solah (Bab Tentang Rahsia-rahsia solat), Bab fi Asrar as-Sawm (Bab tentang Rahsia-rahsia Puasa)…dsb.
                Di sinilah pentingnya ilmu akhlak atau pun tasawwuf dalam kehidupan. Tanpa mempelajari ilmu tersebut, jiwa kita akan menjadi kosong walau pun bersolat, berpuasa dan berzakat dsb. Oleh sebab itu kita dapati ulama fiqh silam kebiasaannya tidak meninggalkan unsur ketasawwufan dalam karya mereka. Sebagai contoh walaupun mereka membincangkan bab solat, mereka juga memasukkan unsur pahala, khusyuk dan sebagainya dalam karya mereka. Berbeza dengan karyawan fiqh zaman ini yang kelihatan membincangkan sesuatu hukum secara ilmiah tetapi kering-kontang. Sedangkan jika kita melihat Imam al-Nawawi sebagai contoh, beliau adalah seorang faqih menghasilkan kitab-kitab utama dalam mazhab Syafie seperti Minhaj al-Talibin dan al-Majmu’, namun beliau juga menghasilkan kitab Riyadhussolihin, al-Azkar dll.
                Untuk melihat dengan lebih mudah lagi perbezaan orang yang mengetahui fiqh semata-mata tanpa memahami tasawwuf ialah solat. Seorang yang bersolat tanpa memakai baju tetap dihukum sah di dalam fiqh kerana menutup aurat. Namun wajarkah kita bersolat di hadapan Malik al-Muluk (Raja Segala Raja) dalam keadaan tidak berbaju? Adakah Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad bin Hanbal yang mengatakan sah solat tanpa berbaju juga bersolat tanpa baju? … Begitulah pentingnya akhlak dan tasawwuf dalam ibadah dan kehidupan.
(Sebahagian besar daripada artikel ini adalah ringkasan kepada kuliah pengajian Riyadussolihin oleh Syeikh Dr Usamah Sayyid. Selebihnya adalah huraian hamba sendiri. Wallahu’alam)

Friday 9 September 2011

CCTV PALING CANGGIH TETAPI PERCUMA


CCTV adalah singkatan daripada closed circuit television iaitu sistem televisyen litar tertutup. Ia adalah satu sistem untuk menjaga keamanan. Sebenarnya CCTV tidak dapat mencegah salah laku dan jenayah secara terus dengan diri sendirinya. Kaitannya dengan penjagaan keamanan hanya boleh dilihat dari beberapa sudut, antaranya:
1. Untuk membantu penyiasatan jika berlaku jenayah.
2. Untuk dijadikan bukti.
3. Untuk menimbulkan rasa gerun kepada pesalah.
Keberkesanan CCTV dalam mencapai matlamat pertama dan kedua tidaklah mudah sebagaimana yang dijangkakan. Pesalah atau penjenayah boleh mengelak daripada dikenali hanya dengan memakai topeng atau topi keledar. Hal ini menyebabkan penyiasatan menggunakan CCTV sering kali menghadapi jalan buntu. Mungkin dalam kes lalu lintas, CCTV banyak membantu kerana kenderaan menggunakan nombor pendaftaran yang mudah dikesan. Namun pemantauan selama 24 jam tidak mampu dilakukan oleh manusia kecualilah setiap CCTV itu dipantau oleh dua orang manusia secara bergilir-gilir. Hal ini kebiasannya tidak berlaku kerana melibatkan pembaziran kos yang ketara. Kebiasaannya beberapa CCTV itu dipantau sekaligus oleh beberapa orang manusia. Paparan yang dilihat oleh pemantau juga dilakukan secara rotation antara CCTV-CCTV yang disambungkannya. Oleh itu kemungkinan pesalah akan terlepas daripada kawalan manusia amatlah tinggi. Kecualilah jika berlaku kes-kes jenayah yang mendesak supaya rakaman CCTV dimainkan semula. Jika begitu keadaannya, banyak kes-kes kecil yang diabaikan. Justeru bolehlah dikatakan walaupun CCTV beroperasi 24 jam, sebenarnya pemantauannya tidaklah sampai 24 jam.
            Untuk mencapai matlamat yang ketiga iaitu menimbulkan rasa gerun kepada pesalah juga terlalu sukar, kecuali dalam kes-kes lalu lintas sebagaimana yang dibincangkan sebelum ini. Kebiasaan pesalah terlepas dan sukar dikesan identitinya menyebabkan ia tidak digeruni melainkan oleh orang awam yang bukan penjenayah.
            Itulah kelebihan dan kekurangan CCTV. Belum lagi dilihat kepada kos yang perlu dikeluarkan untuk membeli dan menyelenggarakannya serta tahap ketahanannya.
            Sedarkah kita bahawa di sana ada satu sistem yang menyerupai CCTV tetapi berjuta kali lebih canggih daripadanya. Tiada manusia yang akan terlepas daripada rakaman dan pengesanan kesalahan. Malah ia digunakan bukan sekadar untuk mencari kesalahan manusia malah juga digunakan untuk mencari kebaikan. Sistem yang amat ampuh ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran al-Karim menerusi firman-Nya:
Ketika dua orang malaikat mencatat amal perbuatannya, seorang duduk di sebelah kanan dan yang lain duduk di sebelah kiri. Tiada suatu ucapanpun yang diucapkannya melainkan ada berdekatannya malaikat pengawas yang selalu hadir.
(Surah Qaf: 17-18)
            Itulah dua malaikat yang sentiasa mencatatkan amalan manusia siang dan malam tanpa terlelap walau sesaat. Sistem ini dijamin kualitinya oleh Allah SWT. Memadai dengan dua malaikat tersebut menimbulkan rasa gerun di dalam hati manusia jika dia benar-benar beriman kepada perkara-perkara ghaib. Manusia yang beriman yakin dengan tugas dua malaikat ini yang sedang berada berhampiran mereka sekarang ini. Mereka sedar segala catatan amalan tersebut akan diadili secara terperinci di hadapan Allah SWT.
            Ingatlah kegerunan yang terdapat dalam hati manusia itu bukan boleh diciptakan oleh manusia. Ciptalah alat secanggih mana dan guballah undang-undang seketat mana pun tetapi selagi ia tidak dapat menimbulkan kegerunan dalam diri manusia pasti alat dan undang-undang tersebut akan gagal.
            Lihatlah pada hari ini! Jenayah menjadi-jadi. Mencuri, merompak, merogol dan membunuh tak kira kecil atau besar sehingga bayi yang masih bertali pusat . . . entah apalah kesudahannya masyarakat kita. Pelbagai cara dan pendekatan telah diambil namun tidak kelihatan ia akan berakhir . . .  
            Hanya dengan kembali kepada hidayah Allah SWT sahaja dapat menyelesaikannya. Kembalilah kepada hukum dan undang-undang Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT lah yang mampu menimbulkan rasa kegerunan dalam hati manusia. Bukankah Allah SWT Maha Bijaksana dalam menentukan hukuman kepada manusia?  Firman Allah SWT yang bermaksud:
Laki-laki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai siksaan dari Allah. dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
(al-Maidah: 38)
            Artikel ini hanya sekadar membuat analogi antara dua sistem yang berbeza. Satu sistem keamanan (security) lahiriah dan satu lagi batiniah. Ia tidak menafikan kepentingan CCTV dn sumbangannya dalam menjamin  keselamatan dan keamanan. Namun, analogi ini dibuat untuk menimbulkan kesedaran dalam diri kita betapa canggihnya sistem keamanan Allah SWT dan betapa lemahnya sistem manusia. Justeru, kita mesti tunduk dan patuh kepada segala peraturan dan hukum-hukum Allah SWT. Apatahlagi hukum-hukum yang didatangkan dengan jelas di dalam al-Quran sebagaimana ayat 38 daripada surah al-Maidah yang lalu.

Tuesday 6 September 2011

RAMADHAN DAN RUMAH TERBUKA

Bulan yang mulia dan penuh dengan keberkatan telah berlalu beberapa hari yang lalu. Bulan temasya ibadah ini telah menggamit ramai umat Islam untuk melangkah kaki ke rumah Allah. Pada siang hari diisi dengan ibadat berpuasa dan pada malam hari dipenuhi dengan solat berjamaah serta tarawih. Begitulah sekurang-kurangnya aktiviti biasa kebanyakan umat Islam dalam bulan yang mulia ini. Mereka yang lebih prihatin pula mengisi dengan pelbagai lagi aktiviti tambahan untuk meraih tawaran-tawaran Ilahi. Membaca al-Quran, beri’tikaf, bersedekah dan lain-lain lagi amalan menjadi pilihan mereka. Lailatul qadar menjadi buruan, keampunan dan keredhaan Allah menjadi impian.
                Saat seumpama itu sudah berlalu. Masjid dan surau surut seperti biasa. Semangat beribadat sudah tidak kelihatan lagi. Tumpuan sudah pun beralih arah kepada pesta-pesta makan minum yang sungguh meriah. Kalau pada bulan Ramadhan perut tenang berehat tanpa melakukan banyak kerja, pada bulan ini perut dikerah melakukan kerja yang amat keras. Pelbagai jenis makanan dan minuman disumbat tanpa henti-henti.
                Di sana rumah terbuka, di sini rumah terbuka… Banyak undangan yang perlu dipenuhi. Jiran, saudara, rakan sepejabat, bos dan lain-lain… berat hati menolak pelawaan yang seumpama ‘wajib’ itu.
                Wahai para pembaca budiman! Fenomena ini bukan asing bagi kita, terutama di bandar atau pinggir bandar. Apa pandangan para pembaca sekalian?
Adakah budaya ‘rumah terbuka’ yang berlaku sekarang satu budaya yang baik? Bolehkah ia menggantikan budaya ziarah yang dianjurkan oleh Islam?
Mari kita amati! Mungkin pembaca tidak bersetuju dengan pandangan saya.. abaikan jika ia salah. Kalau ia benar sila sampaikan kepada yang lain.
Pada hari ini budaya ‘rumah terbuka’ menjadi-jadi. Satu hari mungkin empat atau lima atau sepuluh buah rumah yang perlu kita hadir. Pelbagai aneka makanan dan minuman disajikan. Kadang-kadang sampai ke tahap membazir, Na’uzubillah min zalik. Ketahuilah pembaziran itu adalah saudara kepada Syaitan. Kalau bulan Ramadhan Syaitan tidak menghampiri manusia… tetapi pada bulan Syawal ada manusia yang amat rapat dengan Syaitan.
Ziarah pula tidak tercapai dengan ‘rumah terbuka’. Tuan rumah terlalu sibuk melayan tetamu. Tiada masa untuk berbicara panjang. Asalkan makan, bersalam dan bertanya khabar sepatah dua sudah cukup. Masih banyak buah rumah yang hendak dikunjungi. Tiba rumah yang keempat, kelima dan seterusnya, perut dah terlalu kenyang, badan sudah lesu, hati pun menjadi berat. Tapi oleh kerana yang menjemput itu kawan atau tuan, terpaksa juga berkorban… (belum tahu pengorbanan ini diberi ganjaran atau sebaliknya).
Ini keadaan bagi yang menghadiri ‘rumah terbuka’.
Bagi yang menganjurkan ‘rumah terbuka’ pun tidak kurang parahnya.
Kebiasaannya yang dijemput hanya orang-orang yang sedarjat dengan tuan rumah sahaja. Jarang sekali orang miskin termasuk dalam senarai. Ini adalah satu kesilapan yang kita tidak sedari.
Imam Muslim juga meriwayatkan sebuah hadis yang bermaksud: "Seburuk-buruk makanan (hidangan) ialah hidangan walimah (kenduri) yang dijemput orang kaya sahaja, sedangkan orang miskin tidak dijemput. Dan sesiapa tidak memenuhi jemputan (undangan), maka dia menderhakai Allah dan Rasul-Nya."
Adakah tuan rumah yang menganjurkan ‘rumah terbuka’ mengambil kira hal ini dalam undangan mereka. Adakah yang dijemput jiran, rakan sepejabat atau sedara mara yang sememangnya  sama taraf dengan mereka? Mereka ini sudah kekenyangan. Masih ramai lagi orang miskin yang tidak cukup makan. Jika makanan sebanyak itu diberikan kepada orang miskin pasti banyak pahala yang diperoleh… Di sinilah memahami keutamaan (fiqh al-awlawiyyat) memainkan peranan. Jika yang kenyang disuruh makan tetapi yang miskin diabaikan itu sudah menyongsang keutamaan…
Oleh itu! Fikir-fikirkanlah. Apakah yang lebih utama? Menganjurkan ‘rumah terbuka’ atau mengekalkan amalan ziarah? Jika ada yang mengatakan ziarah memerlukan masa yang panjang oleh itu dianjurkan rumah terbuka untuk menjimatkan masa, bolehkah ia diterima? Kadang-kadang rumah terbuka pun bertindih-tindih.. orang yang sama juga hadir…hari ini rumah kamu esok rumah saya pula… Kesian kepada orang miskin… tiada yang menjemput mereka. Sebelum hari raya kita diwajibkan membayar zakat fitrah kepada fakir miskin… agar kita ingat kepada mereka. Tetapi semasa ‘rumah terbuka’ ia ‘tertutup’ bagi mereka. Tiada siapa yang mencari mereka…jauh lagi untuk menjemput mereka.

Friday 5 August 2011

Seandainya Rasul Tercinta Bersama Kita

Lirik Dan Terjemahan Nasyid لَوْ كَانَ بَيْنَنَا الحَبِيب



لَوْ كَانَ بَيْنَنَا الحَبِيبْ
Seandainya al-Habib (Rasulullah tercinta) bersama kita
لَدَنَا الْقَاصِي والقَرِيبْ
Yang jauh dan yang dekat pasti akan datang
مِنْ طَيْبَةٍ قَبْلَ المَغِيبْ
Ke Tayba sebelum terbenamnya sang suria
طَالِبًا قُرْبَ الحَبِيبْ
Untuk hampir kepada Rasul tercinta
بِقُرْبِهِ النَفْسُ تَطِيبْ
Dengan mendekati baginda, jiwa akan suci
وَتَدْعُو الله فَيُجِيبْ
Apabila jiwa yang suci memohon kepada Allah, nescaya Dia akan perkenankannya
اَنْوَارُ طَهَ لاتَغِيبْ
Cahaya ‘Taha’ yang tidak akan padam
بَلِّغْنَا لِقَاهُ يَامُجِيبْ
Ya Allah Yang Memperkenankan Permintaan! Perkenankan pertemuan kami dengan Rasul tercinta. 
فَدَتْكَ رُوحِي يَاحَبِيبْ
Jiwaku ku korban demi mu wahai Rasul tercinta
مُحَمَّدٌ مُكْرِمُ الْغَرِيبْ
Muhammad (r) yang memuliakan orang asing (yang tidak dikenali)
بِقُرْبِكَ الرُوحُ تَطِيبْ
Dengan mendekatimu roh akan jernih
يَا رَحْمَةً لِلْعَلَمِينَ
Wahai pembawa rahmat ke seluruh alam!
Format PDF

Tuesday 19 July 2011

SUSAHKAH NAK JADI IKHLAS?

Sesungguhnya solatku dan amalan-amalan sunatku, malah hidupku dan matiku hanyalah semata-mata untuk Allah Tuhan Semesta Alam”. Ini adalah maksud kepada doa iftitah yang kita baca:
إنَّ صَلاَتِيْ وَنُسُكِيْ وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِيْ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِيْن
Doa yang kita baca pada permulaan solat ini adalah akujanji kita kepada Allah SWT. Paling kurang satu hari kita membacanyanya 5 kali. Tiada akujanji di atas dunia ini yang dilakukan oleh manusia berkali-kali sebagaimana di atas. Namun, apakah erti akujanji ini?
                Akujanji ini adalah ikrar untuk menjadikan seluruh kehidupan ini bermula daripada sebesar-besar ibadat iaitu solat sehingga amalan-amalan sunat, malah segala perlakuan dalam kehidupan kita ditujukan kepada Allah SWT. Inilah konsep ibadat yang luas dalam Islam. Makan minum, tidur bangun, suka benci, kerja rehat dan sebut apa sahaja yang kita lakukan boleh menjadi ibadat atau sebaliknya. Cuma ada dua syarat utama yang mesti dipenuhi. Satu syarat zahir iaitu mestilah dilakukan mengikut kehendak Syarak. Satu lagi syarat batin iaitu mestilah dilakukan semata-mata kerana Allah SWT. Pada kali ini saya akan fokuskan kepada syarat kedua ini iaitu ikhlas.

Monday 4 July 2011

TEORI EINSTEIN MENGIYAKAN ISRAK MIKRAJ?

Mari kita sama-sama renungi salah satu juzuk daripada peristiwa Israk Mikraj iaitu ‘masa’. Peristiwa Israk Mikraj berlaku hanya sebentar. Ada riwayat yang menceritakan apabila Rasulullah SAW kembali dari Israk Mikraj, baginda dapati tempat tidurnya masih lagi terasa panas. Para sahabat yang sentiasa berada di sisi Rasulullah SAW pun tidak menyedari sesuatu yang pelik berlaku pada malam tersebut.
                Anehnya! Dalam peristiwa Israk Mikraj, Rasulullah SAW telah dibedah dadanya oleh Malaikat, bersolat di Masjidil Aqsa, kemudian menaiki ke langit, Sidratul muntaha dan diperlihatkan dengan pelbagai perkara yang kita sama-sama ketahui dalam peristiwa besar ini. Pasti secara logiknya ia akan memakan masa yang lama. Mungkin empat atau lima jam atau lebih (tanpa mengira masa perjalanannya yang jauh). Tetapi kenapakah tempat tidur Rasulullah SAW masih terasa kepanasan, seolah-olah ia berlaku dalam masa seminit dua sahaja????
                Logik pemikiran biasa mengatakan ia adalah mustahil. Namun, tahukah anda Albert Einstien  ilmuwan berbangsa Yahudi (bangsa yang anti-Islam) dengan teori relatifnya mengiyakan hakikat ini. Teori beliau menganggap masa adalah bersifat relatif yang berkaitan dengan masa dan jarak serta daya graviti…sukar untuk penulis jelaskan perkara ini lebih-lebih lagi penulis bukan seorang ahli fizik. Mudahnya kita terus melihat contoh yang dibawa beliau…

Thursday 30 June 2011

BAHAYA PERKATAAN "KALAU"


K
ita sering mendengar seseorang yang melakukan sesuatu kesilapan di dalam hidupnya menyalahkan dirinya dengan mengulang-ulang perkataan ‘kalau’. Contohnya dia berkata, “Kalaulah saya tak suruh anak saya ke kedai tadi dia tidak akan ditimpa kemalangan!”. Kata-kata seumpama ini tidak patut diungkapkan oleh seseorang yang beriman dengan qada’ dan qadar.  Qada’ dan qadar adalah ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT yang tidak boleh diubah lagi. Namun ia hanya diketahui oleh Allah SWT. Manusia hendaklah berusaha dan menerima segala yang telah berlaku dengan redha. Apa yang dirancang oleh manusia kadang-kadang berlaku sebaliknya. Manusia tiada kuasa untuk menentukannya. Oleh itu, dia tidak wajar mempersoal lagi apa yang telah berlaku, sebaliknya menjadikannya sebagai pengajaran dan mengaku kekuasaan Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW:
المؤمن القوي خير وأحب إلى الله من المؤمن الضعيف. وفي كلٍّ خير. احرص على ما ينفعك. واستعن بالله ولا تعجز. فإن أصابك شيء فلا تقل لو إني فعلت كذا وكذا. ولكن قل قدر الله وما شاء فعل. فإن لو تفتح عمل الشيطان.
Maksudnya: Orang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih disukai oleh Allah berbanding orang mukmin yang lemah. Dalam setiap perkara ada kebaikan. Perhatikan apa yang memberi keabikan kepada kamu. Mohonlah pertolongan daripada Allah dan janganlah berasa lemah. Jika kamu ditimpa sesuatu (masalah) janganlah kamu berkata, “Kalau aku melakukan ini dan ini (nescaya tidak berlaku masalah ini). Tetapi katakanlah, “Allah telah menetapkan apa yang dikehendakiNya. Sesungguhnya ungkapan ‘kalau’ membuka ruang kepada Syaitan (untuk menyesatkan).
(Riwayat Ibnu Majah)
                Manusia tidak dapat mengubah segala perkara yang sudah berlaku. Dia hendaklah menerima takdir dengan hati terbuka. Jangan menggunakan ungkapan "jika aku tidak melakukan begitu.." kerana ia melemahkan hati bahkan keimanan seseorang kepada qada' dan qadar Allah SWT. Perkara yang telah berlaku hendaklah dijadikan iktibar untuk memperbaiki diri. Jika perkara yang telah dilakukannya itu adalah musibah, dia hendaklah mengelakkan dirinya daripada mengulangi kesalahan yang sama pada masa akan datang. Jika perkara yang telah dilakukannya itu adalah dosa atau maksiat dia hendaklah menyesal dan menjauhinya pada masa akan datang.
                Syaitan sentiasa mengambil peluang atas kelemahan manusia. Syaitan akan cuba menghasut manusia supaya buruk sangka kepada Allah SWT. Apabila manusia mengandai-andaikan dia sesuatu perkara akan berubah jika dia tidak melakukan sesuatu perkara yang sudah dilakukannya, pegangannya dengan konsep qada' dan qadar sudah goyah.  Tindakan seumpama ini amat berbahaya dan ia adalah salah satu sifat golongan munafiqin sebagaimana yang terdapat di dalam al-Quran al-Karim yang bermaksud:

Sunday 26 June 2011

DUNIA BUKAN SEGALA-GALANYA

Dunia adalah tempat untuk menguji manusia. Manusia hanya singgah sekejap di dunia sebelum berangkat ke akhirat. Dunia diibaratkan seumpama seb uah kapal yang berlabuh di suatu tempat untuk mendapatkan bekalan. Kapal tersebut akan bertolak bila-bila masa ke destinasi yang sangat jauh dan sangat penting.
                Semasa di persinggahan tersebut, setiap penumpang sepatutnya berusaha mencari bekalan untuk dibawa bersama. Malangnya, ramai yang terpesona dengan perhentian tersebut. Mereka banyak membuang masa dan tenaga untuk berseronok. Bagi penumpang yang berfikiran jauh, mereka berusaha bersungguh-sungguh mendapatkan bekalan sebanyak mungkin. Mereka juga sering menasihati penumpang-penumpang yang lain supaya mencari bekalan. Ada yang menerima nasihat tersebut, tetapi ramai juga yang memperlecehkannya.
“Tuuuut, tuuuuut . . .”, semboyan kapal berbunyi.
Waktu bertolak sudah tiba . . .