Sebahagian daripada kita mungkin sedang berfikir: tengahari ini nak makan di restoran mana? Masakan restoran mana paling sedap?
Menu apa menarik?.. Masakan Thai? Utara? Selatan? Padang? Arab? Mamak?...
Isteri di rumah pula mungkin sedang memikirkan, “Nak masak apa untuk suami dan anak-anak malam ni?”…
“Apa lagi resepi dalam buku masakan yang belum dicuba?”….
Suami pula sedang merancang, “Hujung minggu ni banyak sungguh undangan rumah terbuka. Mana satu nak kensel (cancel)?”…
Mungkin itulah yang difikirkan oleh kebanyakan daripada kita.
Nun di sana lain pula…
“Makanan sudah berkurangan. Cukupkah untuk hari ini?”…
“Kalaulah ada segelas air kosong, boleh dibasahkan teguk yang sangat kering ini”.
“Ya Allah! Berilah kepada anak-anak ku walau sebuku roti…Aku sudah tidak tahan melihat mereka yang sedang merintih kelaparan”.
Inilah rintihan rakan-rakan kita di kem-kem pelarian Somalia saat ini. Kebuluran telah mencengkam hidup mereka. Peperangan pula telah meruntun keamanan daripada mereka.
“Ibu! perutku terlalu sakit”
“Ibu! Lapar”
“Ibu dahaga”
Itulah rintihan biasa anak-anak Somalia ketika ini. Hanya linangan air mata sahaja yang dapat menjawab rintihan-rintihan itu. Tiada daya lagi bagi si ibu untuk memenuhi permintaan anak-anaknya yang sangat berat itu. Kematian akibat kebuluran sudah menjadi biasa bagi mereka.
Seorang ibu yang sarat mengandung telah meninggalkan kampung halamannya. Keluar mencari bantuan makanan dan perubatan. Setelah 10 hari berjalan berbekalkan sedikit makanan kudrat si ibu semakin lemah. Si ibu mendirikan khemah daripada ranting-ranting dan bahan buangan yang layak dipanggil sampah. Apakan daya itulah kemampuan si ibu yang terlalu daif itu. Dia melahirkan anaknya di situ dengan bantuan mereka yang senasib dengannya. Keesokan harinya barulah dia mendapat bantuan perubatan daripada salah satu NGO dari Malaysia! Situasi yang sangat memilukan bagi si ibu dan si bayi yang baru dilahirkan ini. Bukan itu yang diharapkan oleh si ibu untuk cahaya matanya itu. Tilam yang empuk, losyen, bedak, lampin pakai buang dan pakaian bayi berjenama…mungkin itu yang menyambut kebanyakan bayi kita di Malaysia.
Namun, siapakah yang dapat memahami penderitaan yang dialami mereka? Siapakah yang mempedulikan mereka?...
Pepatah Melayu pernah mengungkapkan ‘berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul”. Memang tepat sekali pepatah ini. Mereka yang pernah mengalami penderitaan sahaja yang lebih menyelami erti penderitaan. Rupa-rupanya sebelum sampai bantuan dari NGO-NGO Malaysia, bantuan rakyat Palestin sebanyak USD 2 juta terlebih dahulu sampai. Malah dalam satu siri serangan regim Israel terhadap rakyat Palestin baru-bari ini, seorang kanak-kanak lelaki terbunuh. Di dalam saku-sakunya penuh dengan wang siling. Apabila diselidiki rakannya yang selamat daripada serangan tersebut, dia menceritakan bahawa wang itu dikumpul olehnya sekian lama untuk didermakan kepada umat Islam di Somalia. Allahu Akbar! Terasa kerdilnya kita. Seorang kanak yang miskin, hidup dalam dunia peperangan, tidak memiliki apa-apa tapi memiliki jiwa yang sangat besar dan mulia…
Di manakah kita?