Tuesday, 13 September 2011

TEPATKAH PENGGUNAAN ISTILAH 'MAKANAN SUNNAH'?

Perbuatan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dibahagikan kepada beberapa bahagian. Antaranya ialah perbuatan yang dikenali sebagai ‘al-jibilliyyah’ iaitu perbuatan yang dilakukan atas dasar sebagai manusia dan berdasarkan amalan atau budaya sekeliling. Contohnya ialah cara Rasulullah SAW berjalan, tidur, makan dan minum kecuali yang dinyatakannya sebagai suatu yang wajib atau sunat seperti bersugi dengan kayu ‘araak’ dan memakan dengan tangan kanan. Melakukan apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dalam kategori ini tidak dinamakan sunnah. Majoriti  ahli usul al-fiqh seperti yang dinyatakan oleh al-Amidi dan al-Syawkani menganggap ia termasuk dalam kategori harus (ibahah) sahaja.
Namun jika seseorang itu melakukannya atas dasar kecintaan kepada Rasulullah SAW sehingga mahu melakukan apa sahaja yang dilakukan baginda dia akan mendapat ganjaran pahala. Pahala itu diperolehi atas dasar  at-ta’assi (التأسي)  bukannya sunnah. Hal seumpama ini pernah dilakukan oleh sebahagian sahabat seperti Ibnu ‘Umar Radhiyallahu’anhuma. Nafi’ menceritakan bahawa Ibnu ‘Umar Radhiyallahu’anhuma mengikut segala perbuatan Rasulullah SAW. Beliau bersolat di mana tempat baginda bersolat. Beliau akan berhenti di bawah pohon tempat Rasulullah SAW berteduh, malah beliau sering menyirami pohon tersebut supaya ia tidak kering. Beliau juga melalui jalan-jalan yang dilalui Rasulullah SAW serta berhati-hati mengatur langkah untuk mengikut jejak langkahan unta tunggangan baginda.
Hal seumpama ini juga menjadi amalan para sahabat yang lain. Umpamanya al-Tirmizi meriwayatkan bahawa Abu Talut menceritakan pada suatu hari beliau memasuki rumah Anas bin Malik Radiyallahu’anhu. Ketika itu Anas sedang memakan labu. Anas berkata, “Wahai labu! Aku tidak suka memakanmu melainkan kerana Rasulullah SAW memakanmu”.
Begitulah kecintaan mereka kepada Rasulullah SAW yang tidak terhingga menyebabkan mereka mahu mengikut baginda dalam segenap aspek. Pastinya mereka akan memperolehi pahala atas dasar kecintaan yang mendalam seumpama itu.
Namun untuk mengatakan perbuatan itu sunnah ia adalah satu tindakan yang  tidak tepat. Lebih-lebih lagi dalam perkara yang tidak dipastikan ia dilakukan oleh Rasulullah SAW.
Umpamanya pada hari ini, heboh di sana sini pengeluar-pengeluar makanan tambahan mendakwa produk mereka adalah makanan sunnah. Lalu dicampurlah pelbagai makanan yang dimakan oleh Rasulullah dengan pelbagai kandungan dan didakwa sebagai makanan sunnah. Antara campuran tersebut ialah kismis, kurma madu, kurma ajwah, madu, buah tin, minyak zaitun, za’faran, habbatus sauda’ dan pelbagai lagi. Malah ada juga yang dicampurkannya dalam satu produk. Memang diakui semua itu ada sandarannya dan memiliki khasiat-khasiat tertentu sebagaimana yang terdapat dalam ilmu perubatan Islam. Tetapi tahukah berapa kali ia dimakan oleh Rasulullah SAW? Adakah semua itu dimakan sekaligus? Berapa kuantitinya? Semua ini perlu dihalusi jika ingin dikaitkan dengan Rasulullah SAW. Malah makanan-makanan tambahan ini sebahagiannya dijual dengan harga yang mahal-mahal. Adakah menjadi sunnah makan makanan yang mahal?
Penulis tidak menolak kebaikan makanan-makanan tersebut, malah sesiapa yang memakannya kerana cintakan Rasulullah SAW sebagaimana yang dilakukan oleh Ibn ‘Umar dan Anas bin Malik Radiyallahu’anhum, insyaAllah dia akan memperolehi ganjaran pahala. Selain itu, makanan-makanan tersebut juga mempunyai khasiat-khasiat dari sudut perubatan yang tidak boleh disangkan lagi jika ia diambil dalam kuantiti yang bersesuaian. Namun tindakan sebahagian pengeluar makanan kesihatan yang mendakwa ia sebagai ‘makanan sunnah’ adalah tidak tepat dan lebih berbentuk komersial. Lebih-lebih lagi ia dihasilkan dalam bentuk-bentuk yang tidak lagi menggambarkan keaslian makanan Rasulullah SAW sama ada dalam bentuk campuran atau ekstrak pelbagai kandungan. Wallahu a’lam.

2 comments: