Coretan


REALITI ATAU FANTASI?
Pada suatu hari sebuah keluarga dari Kajang bersiar-siar di Bandaraya Shah Alam. Dengan berkenderaan sebuah mini mpv yang berusia hampir 7 tahun tanpa panduan GPS tiba-tiba laluan tersasar jauh hingga ke seksyen 7.


Sebaik sahaja kenderaan berwarna perak itu memasuki kawasan tersebut, mereka terpaku melihat kumpulan mahligai-mahligai gergasi tersergam Indah. Deretan kereta mewah melimpah keluar dari garaj. Porsche, Lamborghini, Jaguar, Bentley, Austin Martin.. sebut apa sahaja jenama kereta mewah yang mencapai jutaan RM. Sekeliling rumah dihiasi landscap indah hasil gabungan pelbagai konsep taman bunga timur dan barat.

Pendek kata semuanya cantik, besar dan mengagumkan. Pasti juru foto akan menala lensa mereka jika melewati di situ. “Mungkin sudah berkali-kali menjadi cover majalah-majalah dekorasi rumah dan laman..”, fikir si bapa yang sudah menjangkau usia 40 tahun itu.

Si ibu hanya mendiamkan diri, mungkin sedang memikirkan perkara yang sama.

“Luasnya tanah. Ini bukan 22 x 70 ni, entah-entah 1000 x 1000..”, fikir si bapa lagi.

 “Abah, seronoknya kalau kita ada rumah macam tu”, kata anak di bangku barisan belakang memecah kesunyian.

“Boleh main-main kat luar. Ada air terjun. Ada banyak pokok. Ada pondok (gazebo).. cantiiiik..”, sambung anak yang kedua tanda setuju.

Si bapa yang belum pernah merasai kenaikan pangkat sejak bekerja lebih 10 tahun yang lalu hanya meneguk air liur. Susah juga nak melayan anak-anak yang sudah pandai demand sekarang ni.  

“Kerja macam abah ni tak mampu buat rumah macam tu.. besar tu. Kalau kita masuk syurga kita dapat lebih besar daripada tu. Sebut saja nak apa, semua boleh dapat. Lebih daripada tu”, kata si bapa meyakinkan anak-anaknya. Apa lagi jawapan yang boleh difikirkan ketika itu...

Mungkin anda menganggap jawapan itu hanya sesuai untuk anak-anak sahaja. Namun, itulah jawapan untuk diri kita sendiri apabila melihat kekayaan orang lain. Kita mungkin tidak mencapainya. Berpadalah dengan apa yang kita miliki.

Kebahagiaan, kekayaan dan kemegahan yang hakiki bukan di dunia ini, tetapi di akhirat nanti. Mungkin ada yang beranggapan dunia ini realiti, akhirat masih fantasi. Memang benar kita menganggap akhirat hanya sekadar fantasi kerana kita belum sampai ke alam tersebut. Tetapi ingat, apabila kita sudah berada di alam akhirat kita akan dapati akhiratlah realiti, dunia hanya fantasi. Sehari di akhirat menyamai seribu tahun di dunia.

Sedarilah, setapak demi setapak kita sedang mengatur langkah ke alam akhirat dan setapak demi setapak kita sedang meninggalkan alam dunia. Realiti akan bertukar menjadi fantasi dan fantasi akan bertukar menjadi realiti.





KISAH BARA'AH (MESTI BACA)


Bara’ah telah selesai menghafaz al-Quran dengan bacaan bertajwid ketika berumur 10 tahun. Ibu bapanya mendapat ijazah kedoktoran. Mereka berpindah ke Arab Saudi untuk membina kehidupan di sana. Mereka sangat kuat beragama dan komitmen dengan ajaran-ajaran Islam. Bara’ah adalah kanak-kanak yang sangat pintar. Gurunya-gurunya amat mengaguminya.
Pada suatu hari ibunya mengalami sakit dalam perut. Setelah didiagnosis doktor mengesahkan beliau menghidap kanser pada tahap yang serius.
Si ibu berazam untuk memberitahu Bara’ah. Beliau bimbang suatu hari Bara’ah akan bangun tidur dan mendapati ibunya sudah tiada di sampingnya.
Si ibu berkata kepada anaknya yang berusia 10 tahun ketika itu: “Bara’ah! Ibu akan pergi ke syurga sebelummu. Ibu mahu Bara’ah baca al-Quran yang kamu hafaz setiap hari sehingga al-Quran akan menjaga hidup kamu”.
Kanak-kanak kecil itu tidak memahami apa yang cuba diberitahu ibunya itu. Tapi, Bara’ah dapat merasa kelainan pada ibunya sejak itu.
Tidak lama selepas itu, si ibu terpaksa berpindah ke hospital untuk menjalani rawatan. Setiap hari, Bara’ah menziarahi ibunya yang terlantar di katil hospital. Bara’ah akan membacakan al-Quran kepada ibunya hingga ke petang. Bara’ah pulang bersama bapanya setelah selesai kerjanya. Begitulah rutin harin Bara’ah. Sekolah, hospital dan rumah.
Pada suatu hari, si bapa menerima panggilan telefon dari hospital. Kedudukan si ibu sudah tenat. Si bapa dinasihatkan segera ke hospital. Si bapa pun mengambil Bara’ah di sekolahnya dan menuju ke hospital. Apabila sampai di hospital, si bapa meminta Bara’ah tunggu di dalam kereta. Si bapa mahu mendapat khabar tentang si ibu dengan pihak hospital.
Si bapa terus melintas jalan menuju ke hospital. Fikirannya tertanya-tanya apakah nasib isterinya yang disayanginya itu.
Tiba-tiba,……. Bangggggg! Sebuah kereta yang dipandu laju telah melanggar si bapa. Bara’ah menyaksikan si bapa terguling di atas jalan bergelumang dengan darah. Bara’ah hanya dapat memeluk bapanya dengan iringan tangisan dan raungan seorang anak kecil.
Kisah sedih Bara’ah belum berakhir. Kemalangan si bapa tidak diberitahu ke pada ibu Bara’ah. Namun begitu, tahap kesihatan si ibu semakin merosot. Setelah lima hari berjuang melawan kanser akhirnya si ibu menghembuskan nafas terakhirnya.
Hiduplah Bara’ah keseorangan sebagai anak yatim piatu. Rakan-rakan ibu bapa Bara’ah mencari dan menghubungi kaum kelaurga Bara’ah yang berada di Mesir untuk diambil tinggal bersama mereka.
Sudah menjadi takdir Ilahi, tidak lama selepas itu Bara’ah merasakan sakit dalam perutnya sama seperti al-marhum ibunya. Akhirnya pihak hospital mengesahkan dia menghidap kanser. Semua yang hadir terkejut dengan berita sedih itu. Namun Bara’ah tersenyum dan berkata: “Alhamdulillah, sekarang saya akan dapat bertemu baba dan mama”.
Kaum keluarganya terkejut dengan reaksi Bara’ah. Kanak-kanak kecil ini ditimpa musibah demi musibah, kemalangan demi kemalangan  namun dia bersabar dan redha dengan apa yang telah ditetapkan oleh Allah kepadanya.
Berita sedih Bara’ah tersebar luas. Seorang hartawan dari Arab Saudi yang dermawan menawarkan diri untuk membiayai kos rawatan Bara’ah. Akhirnya Bara’ah dihantar ke United Kingdom untuk menjalani rawatan lanjut.
Di UK, kanser terus menyerang Bara’ah. Kanser tidak mengenal kanak-kanak atau orang dewasa, orang yang baik atau yang jahat. Beberapa bahagian badan Bara’ah sudah rosak. Pakar perubatan membuat keputusan untuk memotong kakinya untuk menghindari kanser daripada terus merebak. Namun kanser terus merebak ke otaknya sehingga menyebabnya koma.
Sebelum koma stesen TV menerusi programnya ‘al-Hafiz’ menyiarkan siaran langsung perbualan telefon dengan Bara’ah. Bara’ah sempat membaca al-Quran dengan mendayu-dayu. Menitis air mata pengacara program al-Hafiz terharu dengan bacaan yang sungguh merdu dari seorang kanak-kanak yang sangat penyabar itu. (Sila lihat video yang kami uploadkan)
….. Tidak lama Bara’ah dalam keadaan koma, Bara’ah dijemput oleh Allah SWT yang Maha Pengasihani.
Al-Fatihah!

Sila Hayati Bacaan Bara'ah menerusi Link Youtube sebelah di bawah: