Friday, 9 September 2011

CCTV PALING CANGGIH TETAPI PERCUMA


CCTV adalah singkatan daripada closed circuit television iaitu sistem televisyen litar tertutup. Ia adalah satu sistem untuk menjaga keamanan. Sebenarnya CCTV tidak dapat mencegah salah laku dan jenayah secara terus dengan diri sendirinya. Kaitannya dengan penjagaan keamanan hanya boleh dilihat dari beberapa sudut, antaranya:
1. Untuk membantu penyiasatan jika berlaku jenayah.
2. Untuk dijadikan bukti.
3. Untuk menimbulkan rasa gerun kepada pesalah.
Keberkesanan CCTV dalam mencapai matlamat pertama dan kedua tidaklah mudah sebagaimana yang dijangkakan. Pesalah atau penjenayah boleh mengelak daripada dikenali hanya dengan memakai topeng atau topi keledar. Hal ini menyebabkan penyiasatan menggunakan CCTV sering kali menghadapi jalan buntu. Mungkin dalam kes lalu lintas, CCTV banyak membantu kerana kenderaan menggunakan nombor pendaftaran yang mudah dikesan. Namun pemantauan selama 24 jam tidak mampu dilakukan oleh manusia kecualilah setiap CCTV itu dipantau oleh dua orang manusia secara bergilir-gilir. Hal ini kebiasannya tidak berlaku kerana melibatkan pembaziran kos yang ketara. Kebiasaannya beberapa CCTV itu dipantau sekaligus oleh beberapa orang manusia. Paparan yang dilihat oleh pemantau juga dilakukan secara rotation antara CCTV-CCTV yang disambungkannya. Oleh itu kemungkinan pesalah akan terlepas daripada kawalan manusia amatlah tinggi. Kecualilah jika berlaku kes-kes jenayah yang mendesak supaya rakaman CCTV dimainkan semula. Jika begitu keadaannya, banyak kes-kes kecil yang diabaikan. Justeru bolehlah dikatakan walaupun CCTV beroperasi 24 jam, sebenarnya pemantauannya tidaklah sampai 24 jam.
            Untuk mencapai matlamat yang ketiga iaitu menimbulkan rasa gerun kepada pesalah juga terlalu sukar, kecuali dalam kes-kes lalu lintas sebagaimana yang dibincangkan sebelum ini. Kebiasaan pesalah terlepas dan sukar dikesan identitinya menyebabkan ia tidak digeruni melainkan oleh orang awam yang bukan penjenayah.
            Itulah kelebihan dan kekurangan CCTV. Belum lagi dilihat kepada kos yang perlu dikeluarkan untuk membeli dan menyelenggarakannya serta tahap ketahanannya.
            Sedarkah kita bahawa di sana ada satu sistem yang menyerupai CCTV tetapi berjuta kali lebih canggih daripadanya. Tiada manusia yang akan terlepas daripada rakaman dan pengesanan kesalahan. Malah ia digunakan bukan sekadar untuk mencari kesalahan manusia malah juga digunakan untuk mencari kebaikan. Sistem yang amat ampuh ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran al-Karim menerusi firman-Nya:
Ketika dua orang malaikat mencatat amal perbuatannya, seorang duduk di sebelah kanan dan yang lain duduk di sebelah kiri. Tiada suatu ucapanpun yang diucapkannya melainkan ada berdekatannya malaikat pengawas yang selalu hadir.
(Surah Qaf: 17-18)
            Itulah dua malaikat yang sentiasa mencatatkan amalan manusia siang dan malam tanpa terlelap walau sesaat. Sistem ini dijamin kualitinya oleh Allah SWT. Memadai dengan dua malaikat tersebut menimbulkan rasa gerun di dalam hati manusia jika dia benar-benar beriman kepada perkara-perkara ghaib. Manusia yang beriman yakin dengan tugas dua malaikat ini yang sedang berada berhampiran mereka sekarang ini. Mereka sedar segala catatan amalan tersebut akan diadili secara terperinci di hadapan Allah SWT.
            Ingatlah kegerunan yang terdapat dalam hati manusia itu bukan boleh diciptakan oleh manusia. Ciptalah alat secanggih mana dan guballah undang-undang seketat mana pun tetapi selagi ia tidak dapat menimbulkan kegerunan dalam diri manusia pasti alat dan undang-undang tersebut akan gagal.
            Lihatlah pada hari ini! Jenayah menjadi-jadi. Mencuri, merompak, merogol dan membunuh tak kira kecil atau besar sehingga bayi yang masih bertali pusat . . . entah apalah kesudahannya masyarakat kita. Pelbagai cara dan pendekatan telah diambil namun tidak kelihatan ia akan berakhir . . .  
            Hanya dengan kembali kepada hidayah Allah SWT sahaja dapat menyelesaikannya. Kembalilah kepada hukum dan undang-undang Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT lah yang mampu menimbulkan rasa kegerunan dalam hati manusia. Bukankah Allah SWT Maha Bijaksana dalam menentukan hukuman kepada manusia?  Firman Allah SWT yang bermaksud:
Laki-laki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai siksaan dari Allah. dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
(al-Maidah: 38)
            Artikel ini hanya sekadar membuat analogi antara dua sistem yang berbeza. Satu sistem keamanan (security) lahiriah dan satu lagi batiniah. Ia tidak menafikan kepentingan CCTV dn sumbangannya dalam menjamin  keselamatan dan keamanan. Namun, analogi ini dibuat untuk menimbulkan kesedaran dalam diri kita betapa canggihnya sistem keamanan Allah SWT dan betapa lemahnya sistem manusia. Justeru, kita mesti tunduk dan patuh kepada segala peraturan dan hukum-hukum Allah SWT. Apatahlagi hukum-hukum yang didatangkan dengan jelas di dalam al-Quran sebagaimana ayat 38 daripada surah al-Maidah yang lalu.

Tuesday, 6 September 2011

RAMADHAN DAN RUMAH TERBUKA

Bulan yang mulia dan penuh dengan keberkatan telah berlalu beberapa hari yang lalu. Bulan temasya ibadah ini telah menggamit ramai umat Islam untuk melangkah kaki ke rumah Allah. Pada siang hari diisi dengan ibadat berpuasa dan pada malam hari dipenuhi dengan solat berjamaah serta tarawih. Begitulah sekurang-kurangnya aktiviti biasa kebanyakan umat Islam dalam bulan yang mulia ini. Mereka yang lebih prihatin pula mengisi dengan pelbagai lagi aktiviti tambahan untuk meraih tawaran-tawaran Ilahi. Membaca al-Quran, beri’tikaf, bersedekah dan lain-lain lagi amalan menjadi pilihan mereka. Lailatul qadar menjadi buruan, keampunan dan keredhaan Allah menjadi impian.
                Saat seumpama itu sudah berlalu. Masjid dan surau surut seperti biasa. Semangat beribadat sudah tidak kelihatan lagi. Tumpuan sudah pun beralih arah kepada pesta-pesta makan minum yang sungguh meriah. Kalau pada bulan Ramadhan perut tenang berehat tanpa melakukan banyak kerja, pada bulan ini perut dikerah melakukan kerja yang amat keras. Pelbagai jenis makanan dan minuman disumbat tanpa henti-henti.
                Di sana rumah terbuka, di sini rumah terbuka… Banyak undangan yang perlu dipenuhi. Jiran, saudara, rakan sepejabat, bos dan lain-lain… berat hati menolak pelawaan yang seumpama ‘wajib’ itu.
                Wahai para pembaca budiman! Fenomena ini bukan asing bagi kita, terutama di bandar atau pinggir bandar. Apa pandangan para pembaca sekalian?
Adakah budaya ‘rumah terbuka’ yang berlaku sekarang satu budaya yang baik? Bolehkah ia menggantikan budaya ziarah yang dianjurkan oleh Islam?
Mari kita amati! Mungkin pembaca tidak bersetuju dengan pandangan saya.. abaikan jika ia salah. Kalau ia benar sila sampaikan kepada yang lain.
Pada hari ini budaya ‘rumah terbuka’ menjadi-jadi. Satu hari mungkin empat atau lima atau sepuluh buah rumah yang perlu kita hadir. Pelbagai aneka makanan dan minuman disajikan. Kadang-kadang sampai ke tahap membazir, Na’uzubillah min zalik. Ketahuilah pembaziran itu adalah saudara kepada Syaitan. Kalau bulan Ramadhan Syaitan tidak menghampiri manusia… tetapi pada bulan Syawal ada manusia yang amat rapat dengan Syaitan.
Ziarah pula tidak tercapai dengan ‘rumah terbuka’. Tuan rumah terlalu sibuk melayan tetamu. Tiada masa untuk berbicara panjang. Asalkan makan, bersalam dan bertanya khabar sepatah dua sudah cukup. Masih banyak buah rumah yang hendak dikunjungi. Tiba rumah yang keempat, kelima dan seterusnya, perut dah terlalu kenyang, badan sudah lesu, hati pun menjadi berat. Tapi oleh kerana yang menjemput itu kawan atau tuan, terpaksa juga berkorban… (belum tahu pengorbanan ini diberi ganjaran atau sebaliknya).
Ini keadaan bagi yang menghadiri ‘rumah terbuka’.
Bagi yang menganjurkan ‘rumah terbuka’ pun tidak kurang parahnya.
Kebiasaannya yang dijemput hanya orang-orang yang sedarjat dengan tuan rumah sahaja. Jarang sekali orang miskin termasuk dalam senarai. Ini adalah satu kesilapan yang kita tidak sedari.
Imam Muslim juga meriwayatkan sebuah hadis yang bermaksud: "Seburuk-buruk makanan (hidangan) ialah hidangan walimah (kenduri) yang dijemput orang kaya sahaja, sedangkan orang miskin tidak dijemput. Dan sesiapa tidak memenuhi jemputan (undangan), maka dia menderhakai Allah dan Rasul-Nya."
Adakah tuan rumah yang menganjurkan ‘rumah terbuka’ mengambil kira hal ini dalam undangan mereka. Adakah yang dijemput jiran, rakan sepejabat atau sedara mara yang sememangnya  sama taraf dengan mereka? Mereka ini sudah kekenyangan. Masih ramai lagi orang miskin yang tidak cukup makan. Jika makanan sebanyak itu diberikan kepada orang miskin pasti banyak pahala yang diperoleh… Di sinilah memahami keutamaan (fiqh al-awlawiyyat) memainkan peranan. Jika yang kenyang disuruh makan tetapi yang miskin diabaikan itu sudah menyongsang keutamaan…
Oleh itu! Fikir-fikirkanlah. Apakah yang lebih utama? Menganjurkan ‘rumah terbuka’ atau mengekalkan amalan ziarah? Jika ada yang mengatakan ziarah memerlukan masa yang panjang oleh itu dianjurkan rumah terbuka untuk menjimatkan masa, bolehkah ia diterima? Kadang-kadang rumah terbuka pun bertindih-tindih.. orang yang sama juga hadir…hari ini rumah kamu esok rumah saya pula… Kesian kepada orang miskin… tiada yang menjemput mereka. Sebelum hari raya kita diwajibkan membayar zakat fitrah kepada fakir miskin… agar kita ingat kepada mereka. Tetapi semasa ‘rumah terbuka’ ia ‘tertutup’ bagi mereka. Tiada siapa yang mencari mereka…jauh lagi untuk menjemput mereka.