Tuesday, 6 September 2011

RAMADHAN DAN RUMAH TERBUKA

Bulan yang mulia dan penuh dengan keberkatan telah berlalu beberapa hari yang lalu. Bulan temasya ibadah ini telah menggamit ramai umat Islam untuk melangkah kaki ke rumah Allah. Pada siang hari diisi dengan ibadat berpuasa dan pada malam hari dipenuhi dengan solat berjamaah serta tarawih. Begitulah sekurang-kurangnya aktiviti biasa kebanyakan umat Islam dalam bulan yang mulia ini. Mereka yang lebih prihatin pula mengisi dengan pelbagai lagi aktiviti tambahan untuk meraih tawaran-tawaran Ilahi. Membaca al-Quran, beri’tikaf, bersedekah dan lain-lain lagi amalan menjadi pilihan mereka. Lailatul qadar menjadi buruan, keampunan dan keredhaan Allah menjadi impian.
                Saat seumpama itu sudah berlalu. Masjid dan surau surut seperti biasa. Semangat beribadat sudah tidak kelihatan lagi. Tumpuan sudah pun beralih arah kepada pesta-pesta makan minum yang sungguh meriah. Kalau pada bulan Ramadhan perut tenang berehat tanpa melakukan banyak kerja, pada bulan ini perut dikerah melakukan kerja yang amat keras. Pelbagai jenis makanan dan minuman disumbat tanpa henti-henti.
                Di sana rumah terbuka, di sini rumah terbuka… Banyak undangan yang perlu dipenuhi. Jiran, saudara, rakan sepejabat, bos dan lain-lain… berat hati menolak pelawaan yang seumpama ‘wajib’ itu.
                Wahai para pembaca budiman! Fenomena ini bukan asing bagi kita, terutama di bandar atau pinggir bandar. Apa pandangan para pembaca sekalian?
Adakah budaya ‘rumah terbuka’ yang berlaku sekarang satu budaya yang baik? Bolehkah ia menggantikan budaya ziarah yang dianjurkan oleh Islam?
Mari kita amati! Mungkin pembaca tidak bersetuju dengan pandangan saya.. abaikan jika ia salah. Kalau ia benar sila sampaikan kepada yang lain.
Pada hari ini budaya ‘rumah terbuka’ menjadi-jadi. Satu hari mungkin empat atau lima atau sepuluh buah rumah yang perlu kita hadir. Pelbagai aneka makanan dan minuman disajikan. Kadang-kadang sampai ke tahap membazir, Na’uzubillah min zalik. Ketahuilah pembaziran itu adalah saudara kepada Syaitan. Kalau bulan Ramadhan Syaitan tidak menghampiri manusia… tetapi pada bulan Syawal ada manusia yang amat rapat dengan Syaitan.
Ziarah pula tidak tercapai dengan ‘rumah terbuka’. Tuan rumah terlalu sibuk melayan tetamu. Tiada masa untuk berbicara panjang. Asalkan makan, bersalam dan bertanya khabar sepatah dua sudah cukup. Masih banyak buah rumah yang hendak dikunjungi. Tiba rumah yang keempat, kelima dan seterusnya, perut dah terlalu kenyang, badan sudah lesu, hati pun menjadi berat. Tapi oleh kerana yang menjemput itu kawan atau tuan, terpaksa juga berkorban… (belum tahu pengorbanan ini diberi ganjaran atau sebaliknya).
Ini keadaan bagi yang menghadiri ‘rumah terbuka’.
Bagi yang menganjurkan ‘rumah terbuka’ pun tidak kurang parahnya.
Kebiasaannya yang dijemput hanya orang-orang yang sedarjat dengan tuan rumah sahaja. Jarang sekali orang miskin termasuk dalam senarai. Ini adalah satu kesilapan yang kita tidak sedari.
Imam Muslim juga meriwayatkan sebuah hadis yang bermaksud: "Seburuk-buruk makanan (hidangan) ialah hidangan walimah (kenduri) yang dijemput orang kaya sahaja, sedangkan orang miskin tidak dijemput. Dan sesiapa tidak memenuhi jemputan (undangan), maka dia menderhakai Allah dan Rasul-Nya."
Adakah tuan rumah yang menganjurkan ‘rumah terbuka’ mengambil kira hal ini dalam undangan mereka. Adakah yang dijemput jiran, rakan sepejabat atau sedara mara yang sememangnya  sama taraf dengan mereka? Mereka ini sudah kekenyangan. Masih ramai lagi orang miskin yang tidak cukup makan. Jika makanan sebanyak itu diberikan kepada orang miskin pasti banyak pahala yang diperoleh… Di sinilah memahami keutamaan (fiqh al-awlawiyyat) memainkan peranan. Jika yang kenyang disuruh makan tetapi yang miskin diabaikan itu sudah menyongsang keutamaan…
Oleh itu! Fikir-fikirkanlah. Apakah yang lebih utama? Menganjurkan ‘rumah terbuka’ atau mengekalkan amalan ziarah? Jika ada yang mengatakan ziarah memerlukan masa yang panjang oleh itu dianjurkan rumah terbuka untuk menjimatkan masa, bolehkah ia diterima? Kadang-kadang rumah terbuka pun bertindih-tindih.. orang yang sama juga hadir…hari ini rumah kamu esok rumah saya pula… Kesian kepada orang miskin… tiada yang menjemput mereka. Sebelum hari raya kita diwajibkan membayar zakat fitrah kepada fakir miskin… agar kita ingat kepada mereka. Tetapi semasa ‘rumah terbuka’ ia ‘tertutup’ bagi mereka. Tiada siapa yang mencari mereka…jauh lagi untuk menjemput mereka.

No comments:

Post a Comment