Sunday, 26 June 2011

DUNIA BUKAN SEGALA-GALANYA

Dunia adalah tempat untuk menguji manusia. Manusia hanya singgah sekejap di dunia sebelum berangkat ke akhirat. Dunia diibaratkan seumpama seb uah kapal yang berlabuh di suatu tempat untuk mendapatkan bekalan. Kapal tersebut akan bertolak bila-bila masa ke destinasi yang sangat jauh dan sangat penting.
                Semasa di persinggahan tersebut, setiap penumpang sepatutnya berusaha mencari bekalan untuk dibawa bersama. Malangnya, ramai yang terpesona dengan perhentian tersebut. Mereka banyak membuang masa dan tenaga untuk berseronok. Bagi penumpang yang berfikiran jauh, mereka berusaha bersungguh-sungguh mendapatkan bekalan sebanyak mungkin. Mereka juga sering menasihati penumpang-penumpang yang lain supaya mencari bekalan. Ada yang menerima nasihat tersebut, tetapi ramai juga yang memperlecehkannya.
“Tuuuut, tuuuuut . . .”, semboyan kapal berbunyi.
Waktu bertolak sudah tiba . . .
Semua penumpang menjadi kelam-kabut.
Pada masa itu, penumpang-penumpang yang tidak sempat mencari bekalan menyesal habis-habisan. Namun, penyesalan tidak bermakna lagi. Segala-galanya sudah berakhir. Masa yang diberikan disia-siakan begitu sahaja. Penderitaan sedang menunggu dalam perjalanan dan destinasi yang bakal dituju. Bukan sebarang penderitaan yang maha dahsyat dan tiada penyudahnya.
Itulah ibarat dunia yang kita berada di atasnya sekarang. Kita sering lalai dan terpesona dengan keseronokan di dalamnya. Jika kita tidak mencapai apa yang dihajati di atas dunia kita menjadi keluh-kesah. Tetapi kita jarang memikirkan hari akhirat yang kekal abadi. Apalah sangat rumah yang kita miliki, kenderaan yang kita banggakan, harta dan pangkat yang kita perolehi? Jika hendak dibandingkan dengan hari akhirat ia tidak bernilai satu sen pun. Tetapi itulah yang kita kejar, itulah yang kita sedang usahakan. Bila melewati sesebuah banglow yang tersergam megah, dihiasi dengan landskap yang indah, didereti  kereta-kereta mewah . . . hati kita berbisik, “alangkah seronoknya jika aku juga memilikinya”. . .
Sedarkah kita, syurga yang dijanjikan kepada orang yang beriman jauh lebih indah dan besar daripada banglow tersebut. Sebuah rumah di syurga lebih bernilai daripada dunia yang ada sekarang. Itu belum lagi dengan keindahan taman-tamannya. Cuba bayangkan!..... pasti tidak terbayang.
Oleh itu, apa lagi yang kita tunggu? Lakukan audit diri dan persiapan. Banyakkan amalan! Tingkatkan kualiti ketaatan! Hidup ini amat singkat! Bila-bila masa kita akan dijemput menemui tuhan sama ada sebagai kekasihNya atau musuhNya. (Ba’uzu billah min zalik)

No comments:

Post a Comment