Saturday, 11 May 2013
Friday, 8 February 2013
Haramkah Menyambut Mawlid?
Saya terpanggil untuk membincangkan
tajuk mawlid secara separa ilmiyyah memandangkan wujud polemik yang ketara
dalam masyarakat terutama menjelang bulan Rabi’ul Awwal setiap tahun. Satu
golongan mengharuskan dan satu golongan pula mengharamkannya bahkan sebahagian
daripada mereka menyesatkannya.
Hujah
mereka yang menolaknya: Rasulullah SAW tidak melakukannya, kenapa kita pula
melakukannya? Bukankah dasar hukum dalam Islam ialah al-Quran dan al-Sunnah? Hujah
yang simple. siapa sahaja mungkin ‘terpesona’ dengannya. Sifirnya ringkas. Tak
perlu belajar kaedah pengeluaran hukum (usul al-fiqh) secara mendalam. Mungkin
dalam beberapa minit sahaja orang awam pun boleh faham sifir seumpama itu.
Haram!
Bid’ah Dalalah! Sesat! Itulah kesimpulan hukum terhasil….
Sungguh
keras dan menakutkan hukum melakukan mawlid nabawi kalau berdasarkan pandangan
ini.
Sufyan al-Thawri pernah berkata:
Terjemahannya: Bukanlah agama itu
dengan kekerasan, siapapun mahir melakukannya, sebaliknya agama itu adalah
kelonggaran yang diambil dari orang yang dipercayai.
Saya
tidak berhajat untuk berhujah secara ilmiah kerana mungkin ia mengambil masa
saya sangat terbatas akhir-akhir ini. Saya hanya ingin membuka minda terutama
mereka yang terlalu keras sehingga menghukum sesat dalam isu ini.
Sedarkah anda
dengan menghukum begitu, anda mungkin akan menghukum orang yang jauh lebih
berilmu daripada anda? Malah sebahagian mereka yang terangkum dalam hukuman
keras anda itu adalah tokoh-tokoh utama dalam bidang hadith. Berikut
disenaraikan sebahagian kecil daripada ulama-ulama yang membenarkan mawlid
nabawi asalkan ia tidak mengandungi perkara-perkara yang haram dan bertentangan
dengan syarak. Antara mereka ialah:
- al-Imam al-Hafiz Abu al-Khattab ibn Dihyah (wafat 633H).
- al-Imam al-Hafiz Abu Syamah (wafat 665H) – Guru al-Imam al-Nawawi
- al-Imam al-Hafiz Ibn al-Jawzi (wafat 597H)
- al-‘Allamah Sadr al-Din Mawhub al-Jazari al-Syafii (wafat 665H)
- al-Hafiz Nasr al-Din al-Dimasyqi (wafat 842H)
- al-Imam al-Hafiz al-Nawawi (wafat 676H)
- al-Hafiz Ibn Kathir (wafat 774H) - Murid Ibn Taymiyyah.
- al-Imam Siraj al-Din al-Bulqini (wafat 805H)
- al-Hafiz al-‘Iraqi (wafat 808H) – Guru al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani.
- Syaikh al-Islam al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani (wafat 825H). Digelar sebagai “Amir al-Mu’minin fi al-Hadith” dan “Muhaddith al-Dunya”. Terkenal dengan karyanya Fath al-Bari ulasan kepada kitab Sahih al-Bukhari.
- al-Imam al-Hafiz al-Sakhawi (wafat 831H)
- al-Hafiz Ibn Hajar al-Haytami (wafat 975H)
Cukup
sekadar menyatakan contoh. Wajarkah tokoh seperti ini dihukum sesat? Kenapa
mereka berpandangan begitu?
Inilah persoalan yang perlu
ditekuni.
Tak patut sangat Ibnu Hajar tak
jumpa hadith berikut yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari
sedangkan beliaulah pengulas tersohor kepada kitab Sahih al-Bukhari?
Terjemahannya: Barangsiapa yang melakukan perkara baharu dalam urusan kami (agama) yang bukan berasal darinya, ia adalah tertolak.
Siapa tidak kenal al-Hafiz al-‘Iraqi
yang mentakhrijkan hadith-hadith dalam kitab Ihya’ Ulum al-Din dengan begitu
kritis. Siapakah dalam kalangan ahli hadith yang mampu menafikan ketokohan
mereka?
Saya tidak mengatakan semua
pandangan mereka betul kerana mereka bukan nabi dan rasul. Namun pandangan
mereka banyak yang lebih betul daripada pandangan kita dan perlu dikaji.
Bagaimana mereka memahami hadith tersebut, juga perlu dikaji…
Pasti ada penjelasan lain yang
difikirkan oleh tokoh sealim Ibn Hajar, al-‘Iraqi, Ibn Kathir dan lain-lain….
Oleh itu, jangan terlalu mudah
menghukum. Kaji pandangan mereka ini terlebih dahulu.
Keharusan mengadakan mawlid nabi tidak disepakati oleh semua
ulama mujtahid. Pengharamannya juga tidak disepakati oleh semua ulama mujtahid.
Justeru, ia bukanlah hukum yang di’ijma’kan. Ijma’ bermaksud persepakatan umat
ini selepas Nabi SAW terhadap sesuatu hukum Syarak (Ibn ‘Uthaimin, al-Usul Min
Ilm al-Usul. Hlm . 50)
Oleh kerana itu hukum mawlid nabawi bukanlah perkara yang
diijma’kan.
Kategori hukum yang tidak ijma’ ini samalah kedudukan dengan
hukum menyentuh mushaf, had membasuh kepala dalam wuduk, had tutupan aurat bagi
lelaki dan perempuan serta banyak lagi.
Kategori hukum jenis ini tidak dianggap qatie sebaliknya
zanni. Ia terbuka untuk dilakukan ijtihad. Oleh kerana para ulama mempunyai
kepelbagaian metode dalam menentukan hukum isu-isu yang bersifat zanni ini, hukum
yang terhasil juga berbeza-beza.
Bagaimana cara berinteraksi dengan hukum seumpama ini?
Ulama telah membuat satu formula sebagai panduan kepada kita
untuk menghadapinya. Formula ini dinyatakan oleh Ibn Qayyim al-Jawziyyah (murid
Ibn Taymiyyah) dalam karyanya I’lam al-Muwaqqi’in sebagai:
Terjemahannya: Jika dalam suatu isu itu tiada sunnah
(hadith) atau pun ijma’ dan dibenarkan ijtihad padanya, maka tidak diingkari
orang yang melakukannya sama ada dia mujtahid atau muqallid (bukan mujtahid).
Sebahagian ulama seperti al-Suyuti pula mempermudahkan
formula ini dalam kaedah yang masyhur:
Terjemahannya: Tidak diingkari dalam perkara khilaf hanya
diingkari dalam perkara yang diijma’kan (pengharamannya).
Oleh itu, sesiapa yang mengingkari perkara khilaf seumpama
mawlid nabi ini perlu menilai semula tindakan mereka. Mereka boleh sahaja
berpegang dengan pandangan mereka kerana metode pengeluaran hukum mereka memang
begitu (ini pun satu isu, tapi saya tidak berhajat membincangkannya di sini).
Tetapi janganlah mencerca golongan yang berpegang dengan pandangan sebaliknya.
Mungkin cara pengisian mawlid itu ada cacat dan celanya.
Umpamanya berarak dengan bercampur lelaki dan perempuan, berhibur secara
keterlaluan dengan alasan nasyid, mencampur adukkan dengan perbuatan khurafat
dan sebagainya…
Ini adalah isu yang berbeza. Jangan kerana marahkan seekor
nyamuk sebuah kelambu habis dibakar.
Daripada menghukum sesat sesuatu yang khilaf lebih baik
dicadangkan pengisian-pengisian terbaik untuk program mawlid. Umpamanya
mengadakan majlis pengajian hadith dan sirah sebagaimana yang dilakukan di masjid
al-Azhar, Mesir. Kebiasaannya mereka akan mentalaqqi kitab-kitab sirah. Saya
pernah melihat di dalam youtube majlis talaqqi kitab al-Mawrid al-Haniy fi al-Mawlid
al-Saniy karangan al-Hafiz al-‘Iraqi sempena mawlid. Kitab ini dibacakan dihadapan para Syeikh al-Hadith terkenal khususnya di Mesir.
Alangkah indahnya program seumpama ini ? Justeru, wajarkah ia dikatakan haram
apatah lagi sesat?
Fahamilah
persoalan khilaf ini sebagai satu khilaf. Janganlah memaksa pandangan anda ke
atas orang lain kerana kebenaran dalam masalah furu’ tidak semestinya satu. Hal
ini sudah dikupas lumat dalam kitab-kitab usul al-fiqh.
Wallahu
A’lam.
# Saya merujuk takrif ijma’ kepada kitab Ibn ‘Uthaimin bukan
kepada kitab-kitab usul al-fiqh yang jauh lebih muktabar kerana beliau adalah
ulama yang terkenal dengan manhaj salafi era ini. Ini adalah manhaj dalam
mujadalah.
Subscribe to:
Posts (Atom)