Tuesday 19 July 2011

SUSAHKAH NAK JADI IKHLAS?

Sesungguhnya solatku dan amalan-amalan sunatku, malah hidupku dan matiku hanyalah semata-mata untuk Allah Tuhan Semesta Alam”. Ini adalah maksud kepada doa iftitah yang kita baca:
إنَّ صَلاَتِيْ وَنُسُكِيْ وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِيْ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِيْن
Doa yang kita baca pada permulaan solat ini adalah akujanji kita kepada Allah SWT. Paling kurang satu hari kita membacanyanya 5 kali. Tiada akujanji di atas dunia ini yang dilakukan oleh manusia berkali-kali sebagaimana di atas. Namun, apakah erti akujanji ini?
                Akujanji ini adalah ikrar untuk menjadikan seluruh kehidupan ini bermula daripada sebesar-besar ibadat iaitu solat sehingga amalan-amalan sunat, malah segala perlakuan dalam kehidupan kita ditujukan kepada Allah SWT. Inilah konsep ibadat yang luas dalam Islam. Makan minum, tidur bangun, suka benci, kerja rehat dan sebut apa sahaja yang kita lakukan boleh menjadi ibadat atau sebaliknya. Cuma ada dua syarat utama yang mesti dipenuhi. Satu syarat zahir iaitu mestilah dilakukan mengikut kehendak Syarak. Satu lagi syarat batin iaitu mestilah dilakukan semata-mata kerana Allah SWT. Pada kali ini saya akan fokuskan kepada syarat kedua ini iaitu ikhlas.
Kalimah ikhlas senang disebut, tetapi tidak semudah itu untuk dilakukan. Namun ia bukanlah satu perkara yang sangat berat kerana Islam tidak memerintahkan manusia melakukan perkara-perkara yang sangat berat. Kita sering mendengar orang biasa berkata, “Kalau nak semua ikhlas susah la hidup…”. Ini adalah satu statement yang salah dan mungkin merbahaya.
Pertama: Ikhlas adalah syarat kepada semua perkara yang kita lakukan. Memang kita kena ikhlas dalam semua perkara. Itu adalah perintah Allah SWT. Mungkin orang yang berkata begitu tidak memahami konsep ikhlas sebenarnya. Ikhlas bukan bererti tak boleh mengambil keuntungan dunia dalam perlakuan kita. Berniaga dan bekerja sebagai contohnya. Mendapatkan keuntungan atau gaji bulanan tidak menafikan keikhlasan jika seseorang itu menyemat dalam sanubarinya tujuan dia melakukannya untuk menyara keluarga. Tetapi jika ia menjadikannya sebagai matlamat yang satu-satunya dia akan mudah melanggar batas-batas syarak. Menipu, merasuah dan lain-lain lagi akan menjadi amalan jika tiada keikhlasan dalam diri seseorang.
Kedua: Statement ini menggambarkan terlalu sukar untuk menjadi insan yang ikhlas. Seolah-olah tiada kehidupan bagi orang yang ikhlas di atas dunia ini. Sedangkan Islam bukanlah agama yang sukar. Islam tidak memerintahkan umatnya supaya ikhlas jika ikhlas itu terlalu sukar. Islam tidak memaksa orang yang tidak mampu berdiri supaya bersolat berdiri. Islam membenarkan dia solat dalam keadaan duduk malah dalam keadaan berbaring jika itulah yang termampu dilakukannya. Cuma biasanya orang yang boleh berdiri pun tak mahu bersolat. Puasa, zakat, haji dan sebagainya semua itu tidaklah terlalu berat kerana ia masih dalam kemampuan insan biasa. Jika seseorang itu tidak mampu maka Islam menyediakan jalan keluar baginya.
Ketiga: Statement ini menggambarkan seolah-olah ikhlas perlu pilih-pilih. Mungkin solat, puasa, haji dan sebagainya sesuai untuk ikhlas. Tapi kalau dalam bab ‘cari makan’ contohnya tak relevan lagi tajuk ikhlas. Ini adalah pemahaman yang sempit terhadap skop ibadat. Seolah-olah itu sahaja ibadat. Kegiatan ekonomi, politik, sosial dan sebagainya bukan ibadat, jadi ikhlas adalah tajuk kedua dalam bidang-bidang tersebut. Ini adalah satu kefahaman yang salah. Islam tiada memisahkan juzuk-juzuk dalam kehidupan manusia. Islam adalah cara hidup. Tiada satu saat pun dalam kehidupan manusia yang tiada perhitungan dosa pahala. Setiap nafas, setiap sen dan setiap tenaga yang digunakan semuanya akan dibawa ke akhirat dalam bentuk ‘kod’ dosa pahala dan halal haram. Jadi semua perkara yang kita lakukan mesti dan wajib dilakukan dalam keadaan ikhlas.
Cuma bagaimana nak ikhlas?... Saya memohon kepada Allah SWT supaya diberi kekuatan untuk menjawab persoalan ini pada masa yang akan datang…Amiin Ya Rabbal ‘Alamin

1 comment: