Saturday, 11 May 2013
Friday, 8 February 2013
Haramkah Menyambut Mawlid?
Saya terpanggil untuk membincangkan
tajuk mawlid secara separa ilmiyyah memandangkan wujud polemik yang ketara
dalam masyarakat terutama menjelang bulan Rabi’ul Awwal setiap tahun. Satu
golongan mengharuskan dan satu golongan pula mengharamkannya bahkan sebahagian
daripada mereka menyesatkannya.
Hujah
mereka yang menolaknya: Rasulullah SAW tidak melakukannya, kenapa kita pula
melakukannya? Bukankah dasar hukum dalam Islam ialah al-Quran dan al-Sunnah? Hujah
yang simple. siapa sahaja mungkin ‘terpesona’ dengannya. Sifirnya ringkas. Tak
perlu belajar kaedah pengeluaran hukum (usul al-fiqh) secara mendalam. Mungkin
dalam beberapa minit sahaja orang awam pun boleh faham sifir seumpama itu.
Haram!
Bid’ah Dalalah! Sesat! Itulah kesimpulan hukum terhasil….
Sungguh
keras dan menakutkan hukum melakukan mawlid nabawi kalau berdasarkan pandangan
ini.
Sufyan al-Thawri pernah berkata:
Terjemahannya: Bukanlah agama itu
dengan kekerasan, siapapun mahir melakukannya, sebaliknya agama itu adalah
kelonggaran yang diambil dari orang yang dipercayai.
Saya
tidak berhajat untuk berhujah secara ilmiah kerana mungkin ia mengambil masa
saya sangat terbatas akhir-akhir ini. Saya hanya ingin membuka minda terutama
mereka yang terlalu keras sehingga menghukum sesat dalam isu ini.
Sedarkah anda
dengan menghukum begitu, anda mungkin akan menghukum orang yang jauh lebih
berilmu daripada anda? Malah sebahagian mereka yang terangkum dalam hukuman
keras anda itu adalah tokoh-tokoh utama dalam bidang hadith. Berikut
disenaraikan sebahagian kecil daripada ulama-ulama yang membenarkan mawlid
nabawi asalkan ia tidak mengandungi perkara-perkara yang haram dan bertentangan
dengan syarak. Antara mereka ialah:
- al-Imam al-Hafiz Abu al-Khattab ibn Dihyah (wafat 633H).
- al-Imam al-Hafiz Abu Syamah (wafat 665H) – Guru al-Imam al-Nawawi
- al-Imam al-Hafiz Ibn al-Jawzi (wafat 597H)
- al-‘Allamah Sadr al-Din Mawhub al-Jazari al-Syafii (wafat 665H)
- al-Hafiz Nasr al-Din al-Dimasyqi (wafat 842H)
- al-Imam al-Hafiz al-Nawawi (wafat 676H)
- al-Hafiz Ibn Kathir (wafat 774H) - Murid Ibn Taymiyyah.
- al-Imam Siraj al-Din al-Bulqini (wafat 805H)
- al-Hafiz al-‘Iraqi (wafat 808H) – Guru al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani.
- Syaikh al-Islam al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani (wafat 825H). Digelar sebagai “Amir al-Mu’minin fi al-Hadith” dan “Muhaddith al-Dunya”. Terkenal dengan karyanya Fath al-Bari ulasan kepada kitab Sahih al-Bukhari.
- al-Imam al-Hafiz al-Sakhawi (wafat 831H)
- al-Hafiz Ibn Hajar al-Haytami (wafat 975H)
Cukup
sekadar menyatakan contoh. Wajarkah tokoh seperti ini dihukum sesat? Kenapa
mereka berpandangan begitu?
Inilah persoalan yang perlu
ditekuni.
Tak patut sangat Ibnu Hajar tak
jumpa hadith berikut yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari
sedangkan beliaulah pengulas tersohor kepada kitab Sahih al-Bukhari?
Terjemahannya: Barangsiapa yang melakukan perkara baharu dalam urusan kami (agama) yang bukan berasal darinya, ia adalah tertolak.
Siapa tidak kenal al-Hafiz al-‘Iraqi
yang mentakhrijkan hadith-hadith dalam kitab Ihya’ Ulum al-Din dengan begitu
kritis. Siapakah dalam kalangan ahli hadith yang mampu menafikan ketokohan
mereka?
Saya tidak mengatakan semua
pandangan mereka betul kerana mereka bukan nabi dan rasul. Namun pandangan
mereka banyak yang lebih betul daripada pandangan kita dan perlu dikaji.
Bagaimana mereka memahami hadith tersebut, juga perlu dikaji…
Pasti ada penjelasan lain yang
difikirkan oleh tokoh sealim Ibn Hajar, al-‘Iraqi, Ibn Kathir dan lain-lain….
Oleh itu, jangan terlalu mudah
menghukum. Kaji pandangan mereka ini terlebih dahulu.
Keharusan mengadakan mawlid nabi tidak disepakati oleh semua
ulama mujtahid. Pengharamannya juga tidak disepakati oleh semua ulama mujtahid.
Justeru, ia bukanlah hukum yang di’ijma’kan. Ijma’ bermaksud persepakatan umat
ini selepas Nabi SAW terhadap sesuatu hukum Syarak (Ibn ‘Uthaimin, al-Usul Min
Ilm al-Usul. Hlm . 50)
Oleh kerana itu hukum mawlid nabawi bukanlah perkara yang
diijma’kan.
Kategori hukum yang tidak ijma’ ini samalah kedudukan dengan
hukum menyentuh mushaf, had membasuh kepala dalam wuduk, had tutupan aurat bagi
lelaki dan perempuan serta banyak lagi.
Kategori hukum jenis ini tidak dianggap qatie sebaliknya
zanni. Ia terbuka untuk dilakukan ijtihad. Oleh kerana para ulama mempunyai
kepelbagaian metode dalam menentukan hukum isu-isu yang bersifat zanni ini, hukum
yang terhasil juga berbeza-beza.
Bagaimana cara berinteraksi dengan hukum seumpama ini?
Ulama telah membuat satu formula sebagai panduan kepada kita
untuk menghadapinya. Formula ini dinyatakan oleh Ibn Qayyim al-Jawziyyah (murid
Ibn Taymiyyah) dalam karyanya I’lam al-Muwaqqi’in sebagai:
Terjemahannya: Jika dalam suatu isu itu tiada sunnah
(hadith) atau pun ijma’ dan dibenarkan ijtihad padanya, maka tidak diingkari
orang yang melakukannya sama ada dia mujtahid atau muqallid (bukan mujtahid).
Sebahagian ulama seperti al-Suyuti pula mempermudahkan
formula ini dalam kaedah yang masyhur:
Terjemahannya: Tidak diingkari dalam perkara khilaf hanya
diingkari dalam perkara yang diijma’kan (pengharamannya).
Oleh itu, sesiapa yang mengingkari perkara khilaf seumpama
mawlid nabi ini perlu menilai semula tindakan mereka. Mereka boleh sahaja
berpegang dengan pandangan mereka kerana metode pengeluaran hukum mereka memang
begitu (ini pun satu isu, tapi saya tidak berhajat membincangkannya di sini).
Tetapi janganlah mencerca golongan yang berpegang dengan pandangan sebaliknya.
Mungkin cara pengisian mawlid itu ada cacat dan celanya.
Umpamanya berarak dengan bercampur lelaki dan perempuan, berhibur secara
keterlaluan dengan alasan nasyid, mencampur adukkan dengan perbuatan khurafat
dan sebagainya…
Ini adalah isu yang berbeza. Jangan kerana marahkan seekor
nyamuk sebuah kelambu habis dibakar.
Daripada menghukum sesat sesuatu yang khilaf lebih baik
dicadangkan pengisian-pengisian terbaik untuk program mawlid. Umpamanya
mengadakan majlis pengajian hadith dan sirah sebagaimana yang dilakukan di masjid
al-Azhar, Mesir. Kebiasaannya mereka akan mentalaqqi kitab-kitab sirah. Saya
pernah melihat di dalam youtube majlis talaqqi kitab al-Mawrid al-Haniy fi al-Mawlid
al-Saniy karangan al-Hafiz al-‘Iraqi sempena mawlid. Kitab ini dibacakan dihadapan para Syeikh al-Hadith terkenal khususnya di Mesir.
Alangkah indahnya program seumpama ini ? Justeru, wajarkah ia dikatakan haram
apatah lagi sesat?
Fahamilah
persoalan khilaf ini sebagai satu khilaf. Janganlah memaksa pandangan anda ke
atas orang lain kerana kebenaran dalam masalah furu’ tidak semestinya satu. Hal
ini sudah dikupas lumat dalam kitab-kitab usul al-fiqh.
Wallahu
A’lam.
# Saya merujuk takrif ijma’ kepada kitab Ibn ‘Uthaimin bukan
kepada kitab-kitab usul al-fiqh yang jauh lebih muktabar kerana beliau adalah
ulama yang terkenal dengan manhaj salafi era ini. Ini adalah manhaj dalam
mujadalah.
Wednesday, 1 August 2012
Bagaimanakah Cara Menzahirkan Kasih Sayang Anda Kepada Ulama
“Ustaz, nak berapa?”. Seorang penceramah agama yang baru
berjinak-jinak dengan aktiviti ceramah akan terkejut dengan soalan ini. Namun,
itulah hakikatnya yang berlaku di kota-kota. Sudah menjadi kebiasaan bagi sebahagian
penceramah ternama akan meletakkan ‘tanda harga’ bagi ceramah mereka. Harga
seseorang berdasarkan popularitinya. Malah ada yang sudah diketahui ‘harganya’
berdasarkan pengalaman-pengalaman sebelumnya. Walaupun harganya mungkin terlalu
tinggi, namun penganjur masih ada peluang mendapatkan harga yang lebih rendah menerusi amalan tawar-menawar,
sama ada terus dengan penceramah atau melalui pembantu peribadinya. Bunyinya
macam janggal, tetapi itulah realitinya.
Menyorot kembali hukum mengambil upah (ujrah) untuk mengajar
ilmu agama, para ulama mutakhir kebanyakan mazhab membenarkannya. Keharusan ini
berdasarkan keperluan pada zaman itu kerana ia merupakan sumber kehidupan bagi
para ilmuan. Pada zaman-zaman sebelumnya mereka kebiasaannya dibayar oleh
Baitul Mal, maka kebanyakan ulama tidak membenarkan upah utk mereka ketika itu.
Pada zaman ini kita mengguna pakai pandangan yang membenarkannya berdasarkan
keperluan dan situasi semasa dengan merujuk pandangan ulama mutakhir kebanyakan
mazhab.
Namun sejak akhir-akhir ini, terdapat sebahagian penceramah
agama yang tidak segan silu menentukan harga untuk ceramahnya. Mungkin ia
dianggap sebagai satu keperluan kerana jika tidak menentukannya mungkin
penganjur akan memberikannya sagu hati yang terlalu sedikit. “Kos minyak kereta
pun mungkin tak lepas”, kata seorang penceramah agama menggambarkan ketidak
prihatinan sebahagian penganjur.
Akhirnya wujud satu budaya yang kurang sihat dalam aktiviti
dakwah semasa. Sebahagian penceramah menggunakan pembantu peribadinya untuk
meletakkan harga yang mahal. Surau-surau yang memiliki sumber kewangan yang
terhad tak mungkin berpeluang mendapatkan penceramah yang hebat-hebat untuk aktiviti
mereka. Amalan mengenakan bayaran yang terlalu tinggi sebenarnya bercanggah
dengan konsep asal ujrah kepada guru-guru agama yang dibenarkan oleh
ulama-ulama dahulu. Mereka membenarkannya hanya atas dasar keperluan. Tetapi sekarang
ia sudah dijadikan satu mata pencarian dan sumber untuk menghimpun kekayaan. Walau
pun hukumnya tidak haram, tetapi ia bercanggah dengan amalan orang-orang soleh.
Ibarat seperti solat seorang lelaki tanpa berbaju. Sah menurut hukum fekah,
asalkan menutup antara pusat dan lutut serta kedua-duanya. Tetapi tidaklah
wajar seseorang itu bersolat dalam keadaan begitu.
Bagi masyarakat awam pula, mereka hendaklah bersederhana.
Sikap murah hati adalah sangat mulia, tetapi mestilah sesuai pada tempatnya. Jika
anda sayangi seseorang kerana ilmunya, bukan dengan cara memberikannya wang
yang banyak kepadanya. Berilah bayaran yang secukup dengan keperluannya dan
buktikan kasih sayang anda dengan mengamalkan apa yang disampaikan olehnya.
Ingatlah setiap apa yang anda lakukan atas tunjuk ajar seseorang, dia turut mendapat
pahala. Jika anda terlalu sayang dan meminatinya ajaklah lebih ramai orang
untuk mendengar ceramah, kuliah atau forumnya. Jika mereka melakukan apa yang
disampaikannya, dia turut mendapat pahala seumpama mereka.
Jangan membiasakannya dengan pemberian yang banyak, kelak
dibimbangi ia akan menjadi ketagihannya. Tidak semua orang yang bergelar ustaz ‘kebal’
dengan hambatan dan pesona dunia. Berilah secukupnya dengan mengambil kira
segenap aspek dan keperluannya.
Perlu diingatkan, masih ramai lagi ilmuan agama yang ikhlas
dalam menyampaikan dakwah mereka. Individu yang meletakkan bayaran yang tinggi
ini bukanlah mewakili bilangan majoriti mereka. Namun jika dibiarkan, amalan
ini akan merebak luas dan akan menjadi fenomena biasa yang sukar dibendung
suatu masa nanti.
Saturday, 28 July 2012
Memahami Keutamaan Dalam Beramal
Pada suatu hati, seorang lelaki meminta nasihat Basyar
bin al-Harith (seorang ulama) sebelum bertolak ke Mekah untuk menunaikan haji (untuk
kali kedua).
Basyar bertanya: “Berapakah belanja yang kamu
sediakan”.
Lelaki tersebut menjawab: “Dua ribu dirham”.
Basyar bertanya: “Kamu menunaikan haji ini kerana
mencari keredhaan Allah atau kerana rindu kepada Baitullah?”.
Lelaki tersebut menjawab: “Kerana mencari keredhaan
Allah”.
Basyar berkata: “Mahukan kamu mendapat keredhaan
Allah hanya dengan berada di rumahmu serta menginfaqkan dua ribu dirham itu?”.
Lelaki tersebut berkata: “Ya, saya akan lakukannya”.
Basyar berkata: “Pergi, berikan wang itu kepada pemiutang
untuk melunaskan hutangnya, si miskin untuk menguruskan dirinya, si suami untuk
menyara keluarganya, si penjaga untuk menggembirakan anak yatim jagaannya… Sesungguhnya
dengan memasukkan kegembiraan ke dalam hati orang muslim, membantu orang yang
memerlukan dan menolong orang yang kesempitan adalah lebih baik (afdal)
daripada seratus kali haji sunat”.
Lelaki tersebut berkata: “Tuan, hatiku tetap
meruntunku supaya pergi ke Mekah”.
Basyar tersenyum mendengar kata-kata lelaki tersebut.
Basyar bin al-Harith pun berkata kepada lelaki
tersebut: “Jika seseorang itu menghimpun harta daripada perniagaan yang tidak
suci dan syubhat, nescaya habis hartanya dek kerana nafsu keinginannya..”
Kisah
ini dinukilkan oleh Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi dalam kitabnya “Fi Fiqh
al-Awlawiyyat” bertujuan menempelak amalan sebahagian masyarakat muslim
Arab yang suka berbelanja untuk melakukan haji atau umrah sunat berkali-kali.
Beliau berpandangan wang yang dilaburkan itu lebih utama disedekahkan kepada
orang-orang Islam yang lebih memerlukan. Semoga kisah ini memberi pengajaran
yang berguna kepada masyarakat muslim di Malaysia juga. Hari ini ramai dalam
kalangan umat Islam sanggup berbelanja puluhan ribu untuk berpuasa di tanah
suci atau menunaikan umrah hampir setiap tahun. Malah ada yang menunaikan haji
berkali-kali… Alangkah baiknya jika wang sebanyak itu didermakan kepada
saudara-saudara kita yang lebih memerlukan … khususnya pada hari ini kepada
masyarakat Ronghiya di Burma, Syria, Palestin dan lain-lain lagi…
Sunday, 18 March 2012
Manusia dan Angan-angan
Daripada Abdullah (Ibnu Mas’ud) R.’A katanya: Rasulullah SAW membuat satu garisan berbentuk segi empat. Kemudian baginda menggariskan satu garisan dari tengah sehingga keluar dari rajah segi empat tersebut. Kemudian Baginda membuat garisan kecil dari garisan tengah tersebut.
Baginda bersabda; "Ini adalah (gambaran) manusia. Garisan segi empat ini ialah ajal maut yang melingkungi manusia. Garisan yang terkeluar itu ialah angan-angannya. Garis-garis kecil pula adalah musibah dan ranjau kehidupannya. Jika terlepas dari yang ini, yang lain pula menggigitnya, jika terlepas dari yang ini, yang lain pula menggigitnya. (Hadith Riwayat al-Bukhari)
Begitulah gambaran manusia dan angan-angannya yang selalunya panjang dan tiada kesudahan. Nasihat yang digambarkan oleh Rasulullah SAW ini sangat penting untuk kita menyedari hakikat kematian. Walaupun seseorang itu sering tidak terlepas dengan musibah dan ranjau kehidupan, tetapi angan-angannya sentiasa panjang. Malah angan-angannya sering terkeluar daripada batasan kehidupannya. Hinggakan apabila manusia mencapai usia yang sangat tua tetapi angan-angannya tetap panjang. Jika manusia membiarkan angan-angan menguasai dirinya dia akan terus leka dan tidak membuat persediaan untuk kehidupan abadi selepas kematian. Inilah hakikat angan-angan manusia. Oleh itu, tidak hairanlah jika kita sering melihat orang yang sudah tua kerepot pun masih jauh daripada masjid, kurang ibadat tetapi lebih berminat menghimpunkan harta. Maaf walau pun contoh yang dipilih di sini ialah 'si tua kerepot' tetapi tidak bermakna kita yang belum lagi 'kerepot' masih lagi boleh berangan-angan panjang....
Batasi angan-angan kita dengan sering mengingati mati.
Thursday, 26 January 2012
Hamba Allah Full Time
Lumrahnya sebagai insan biasa, apabila celik sahaja mata kita daripada tidur, kita akan bertindak mengikut matlamat yang kita gariskan. Matlamat-matlamat itu ada yang paling utama dan ada yang sampingan. Cuba kita fikirkan, apakah matlamat utama kita?
Hari ini ramai orang yang menjadikan matlamat utamanya adalah kerjaya. Apa sahaja yang berada di luar lingkungan kerjayanya adalah matlamat sampingan. “Tiada kerja, tiada wang..tiada wang macam mana nak hidup? Anak isteri nak makan apa? Rumah, kereta dan bil-bil siapa nak tanggung?...”. Pendek kata kerjayalah yang paling penting. Tiada yang lebih penting daripada itu. Apa-apa sahaja yang menjejaskan kerjaya mesti dielakkan. Kerjaya mesti menjadi keutamaan. Kalau boleh graf prestasi kerjaya biar sentiasa menegak seperti jarum jam pukul 12.
Itulah mindset kebanyakan kita. Kita diajar dengan kerjaya semenjak dari kecil. Mula-mula kita ditanam dengan membayangkan cita-cita yang melangit. Kemudian kita disuruh belajar untuk membina masa hadapan. Kalau tak pandai belajar kononnya susah dapat kerja. Belajar dianggap sama erti dengan kerjaya.
Tidak salah memasang cita-cita pada usia muda. Tidak salah mengidamkan kerjaya yang baik. Tetapi janganlah tersasar daripada matlamat asal kita. Bukankah kita telah berjanji dengan Allah SWT suatu masa dahulu? Kita telah berikrar bahawa Allah Tuhan kita yang satu-satunya. Kita adalah hamba Allah. Matlamat hidup kita adalah memperhambakan diri kepada-Nya. Firman Allah SWT yang bermaksud:
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (Adh-Dhariyat: 56)
Sedarlah! Kita adalah hamba Allah sepenuh masa (full time). Tugas hakiki kita ialah menjadikan seluruh kehidupan kita sebagai ibadah. Kerja kita ibadah, makan minum kita ibadah, memberi nafkah ibadah dan segala-galanya adalah ibadah. Jika kita menjadikannya sebagai matlamat hidup kita akan hidup dengan penuh keselesaan. Pastinya kita tidak akan terlibat dengan najis rasuah, amalan membodek, mengampu, mengejar pangkat, curi tulang, menipu dan sebagainya. Mungkin sebelum ini kita banyak melakukan kesalahan. Itu lumrah insan biasa. Namun jika matlamat hidup kita jelas, kita akan berusaha memperbaiki diri kita. Meningkatkan KPI amalan kita seiring dengan bertambahnya usia kita sehari demi sehari.
Mari kita memaling ke belakang! Banyakkah amalan kita sebelum ini? Atau banyakkah juga dosa dan keterlanjuran kita sebelum ini? Adakah usia kita yang sudah berlalu 30 atau 40 tahun yang lalu boleh menjadi bekal selesa kita untuk bertemu Maha Pencipta Yang Maha Berkuasa lagi Maha Detail Hisabnya? Solat, puasa, zakat, haji yang kita lakukan adakah sempurna atau banyak cacat celanya? Banyakkah harta yang kita sumbangkan untuk kebaikan, atau lebih banyak kita gunakan untuk kemewahan kita? Berapa titiskah air mata yang kita curahkan untuk meratapi dosa yang kita lakukan di hadapan Allah SWT?...
Mari kita melihat pula ke hadapan! Berapa tahun lagi kita akan hidup? Siapa yang dapat menjamin kita akan hidup 10 atau 20 tahun lagi? Bukankah ramai rakan sebaya kita yang terlebih dahulu pergi bertemu Allah SWT (Semoga Allah merahmati mereka). Jika kita menyedari hakikat ini marilah sama-sama kita memperbaiki diri dengan menjadikan seluruh kehidupan kita sebagai ibadat.
Persoalannya, bagaimana hendak menjadikan seluruh kehidupan kita sebagai ibadat? Bagaimana hendak melaksanakan tugas kita sebagai hamba Allah full time, apakah manualnya?...
Manualnya tidak terdapat di kedai atau pasaraya tetapi banyak didapati di pusat-pusat pengajian atau lebih mudah di masjid dan surau. Biasanya percuma tidak dikenakan bayaran. Oleh itu, bermula saat ini kunjungilah masjid dan surau. Kita akan dapat manual itu dengan percuma melalui kuliah, ceramah dan tazkirah. Jika kita jarang menjejakkan kaki ke tempat-tempat tersebut mulakan dari sekarang. Setiap langkah kita akan diangkat satu darjat dan dihapuskan dosa-dosa kecil. Lumrahnya di masjid dan surau kita akan bertemu dengan insan-insan yang baik. Mungkin ada seorang dua yang kurang baik peri lakunya tetapi yakinlah di luar sana lebih ramai lagi insan yang lebih jauh jahat dan buruk akhlaknya.
Mari sama-sama kita fikir dan amalkan!
Thursday, 29 December 2011
Facebook Lubuk Pahala Atau Sarang Dosa
Facebook ialah medium sosial atas talian terkini yang mendapat sambutan menggalakkan masyarakat dunia. Orang muda, orang tua, malah kanak-kanak pun memiliki akaun facebook. Namun, facebook ibarat sebilah pisau, boleh digunakan untuk kebaikan atau keburukan. Kita boleh menggunakan facebook untuk mencari rakan yang sudah lama tidak bertemu, bertanya khabar, meminta pendapat, memberi pendapat, malah memberi tazkirah pun boleh. Semuanya percuma.
Bayangkan jika seseorang itu mengajak kepada satu kebaikan di dalam facebook, kemudian ia diikuti oleh rakannya, kemudian rakannya ‘suka’ (like) statusnya, kemudian diikuti pula oleh orang lain... Alangkah banyaknya pahala yang dikaut! Menariknya orang yang menekan like pun akan mendapat pahala juga sama sepertinya. Kita tidak perlu berhempas pulas untuk mencari idea. Hanya dengan menekan butang like untuk kebaikan kita sudah menjana pahala. Mudah bukan?
Namun facebook juga boleh digunakan untuk tujuan sebaliknya. Ada yang mengajak ke arah kejahatan, menguploadkan foto-foto yang mendedahkan aurat, menfitnah dan menghina. Facebook juga boleh dijadikan alat untuk menipu, mengugut dan melakukan seribu satu jenayah yang tidak tergambar oleh kita.
Ada yang tidak mengajak kepada kejahatan tetapi menunjukkan-nunjukkan kemegahan dan kemewahan yang dicapai. Beli handbeg masuk dalam facebook, beli cincin masuk dalam facebook, beli tudung masuk dalam facebook, dapat itu masuk dalam facebook, dapat ini masuk dalam facebook.... Kemudian tunggu komen, pujian dan macam-macam. Dibimbangi perbuatan seumpama ini akan menjerumuskan seseorang kepada sifat riya' atau menunjuk-nunjuk (Na’uzubillah min zalik).
Oleh itu, bertindaklah dengan bijak. Janganlah menggunakan facebook melainkan untuk tujuan yang suci. Jika anda bertindak demikian memang anda amat berhak menggunakan facebook. Buatlah dua, tiga atau sepuluh akaun facebook atau tubuhlah beberapa group dalam facebook, atau sekurang-kurangnya tekan butang like untuk kebaikan... anda sudah menjana pahala, pahala, dan pahala
Imam At-Tirmidhi meriwayat sebuah hadith:
Maksudnya: Al-Hikmah (Kebijaksanaan) adalah barang yang hilang dari orang mukmin, maka di mana saja ia dapati, dia adalah orang yang paling berhak terhadapnya. (Riwayat At-Tirmizi dan beliau berkata hadith ini gharib).
Friday, 4 November 2011
Jika Anda Menghafaz al-Quran!...
- Jika anda menghafaz sehari 1 ayat al-Quran anda dapat menghafaz al-Quran selama 17 tahun, 7 bulan dan 9 hari,
- Jika anda menghafaz sehari 2 ayat al-Quran anda dapat menghafaz al-Quran selama 8 tahun, 9 bulan dan 18 hari
- Jika anda menghafaz sehari 3 ayat al-Quran anda dapat menghafaz al-Quran selama 5 tahun, 10 bulan dan 13 hari
- Jika anda menghafaz sehari 4 ayat al-Quran anda dapat menghafaz al-Quran selama 4 tahun, 4 bulan dan 24 hari
- Jika anda menghafaz sehari 5 ayat al-Quran anda dapat menghafaz al-Quran selama 3 tahun, 6 bulan dan 7 hari
- Jika anda menghafaz sehari 6 ayat al-Quran anda dapat menghafaz al-Quran selama 2 tahun, 11 bulan dan 4 hari
- Jika anda menghafaz sehari 7 ayat al-Quran anda dapat menghafaz al-Quran selama 2 tahun, 6 bulan dan 3 hari
- Jika anda menghafaz sehari 8 ayat al-Quran anda dapat menghafaz al-Quran selama 2 tahun, 2 bulan dan 12 hari,
- Jika anda menghafaz sehari 9 ayat al-Quran anda dapat menghafaz al-Quran selama 1 tahun, 11 bulan dan 12 hari,
- Jika anda menghafaz sehari 10 ayat al-Quran anda dapat menghafaz al-Quran selama 1 tahun, 9 bulan dan 3 hari,
- Jika anda menghafaz sehari 11 ayat al-Quran anda dapat menghafaz al-Quran selama 1 tahun, 7 bulan dan 6 hari,
- Jika anda menghafaz sehari 12 ayat al-Quran anda dapat menghafaz al-Quran selama 1 tahun, 5 bulan dan 15 hari,
- Jika anda menghafaz sehari 13 ayat al-Quran anda dapat menghafaz al-Quran selama 1 tahun, 4 bulan dan 6 hari,
- Jika anda menghafaz sehari 14 ayat al-Quran anda dapat menghafaz al-Quran selama 1 tahun dan 3 bulan,
- Jika anda menghafaz sehari 15 ayat al-Quran anda dapat menghafaz al-Quran selama 1 tahun, 2 bulan dan 1 hari
- Jika anda menghafaz sehari 16 ayat al-Quran anda dapat menghafaz al-Quran selama 1 tahun, 1 bulan dan 6 hari
- Jika anda menghafaz sehari 17 ayat al-Quran anda dapat menghafaz al-Quran selama 1 tahun dan 10 bulan,
- Jika anda menghafaz sehari 18 ayat al-Quran anda dapat menghafaz al-Quran selama 11 bulan dan 19 hari,
- Jika anda menghafaz sehari 19 ayat al-Quran anda dapat menghafaz al-Quran selama 11 bulan dan 1 hari,
- Jika anda menghafaz sehari 20 ayat al-Quran anda dapat menghafaz al-Quran selama 10 bulan dan 16 hari,
- Jika anda menghafaz sehari 0 ayat al-Quran anda tidak dapat menghafaz al-Quran sepanjang hidup anda.
Diterjemahkan daripada laman web: http://www.tahasoft.com/vb/t1601.html
Wednesday, 12 October 2011
Detik Keislaman Prof. Dr. Maurice Bucaille Pakar Gastroentorologi Perancis
PADA pertengahan tahun 1975, Perancis yang ketika itu di bawah pemerintahan Presiden Francisco Mitterand menawarkan kerajaan Mesir bantuan untuk meneliti, mempelajari dan menganalisis mumia Firaun, Ramsess II yang sangat terkenal.
Firaun yang dikatakan hidup di zaman Nabi Musa yang akhirnya mati tenggelam dalam Laut Merah ketika mengejar Musa dan para pengikut baginda yang melarikan diri daripada kekejamannya.
Mesir menyambut baik tawaran itu dan membenarkan mumia itu diterbangkan ke Paris. Malah ketika sampai di sana kedatangan mumia itu disambut dengan pesta dan keramaian.
Ini termasuklah apabila Mitterand dan para pemimpin Perancis yang lain tunduk hormat ketika mumia itu dibawa lalu di hadapan mereka.
Mumia itu kemudiannya diletakkan di ruang khas di Pusat Arkeologi Perancis. Di situ ia bakal diperiksa sekali gus membongkar rahsianya oleh para pakar, doktor bedah dan autopsi Perancis yang dipimpin oleh doktor yang sangat terkenal, Prof. Dr. Maurice Bucaille.
Bucaille seorang pakar bedah kenamaan Perancis yang dilahirkan di Pont-L’Eveque pada 19 Julai 1920. Memulakan kerjaya di bidang perubatan am dan pada tahun 1945 beliau diiktiraf sebagai pakar di bidang gastroentorologi.
Ramai kerabat diraja dan keluarga pemimpin dunia menggunakan khidmat Dr. Bucaille, termasuk Raja Faisal Arab Saudi dan pemimpin Mesir, Anwar Sadat.
Lalu kesempatan beliau untuk membedah dan menyiasat mumia Firaun, mengerah seluruh tenaga dan mindanya untuk menguak misteri di sebalik penyebab kematian raja Mesir kuno itu.
Ternyata, hasilnya sangat mengejutkan. Dr. Bucaille menemukan sisa-sisa garam yang masih melekat pada jasad mumia tersebut sebagai bukti terbesar bahawa Firaun itu mati akibat tenggelam di dalam laut. Iaitu jasadnya segera dikeluarkan dari laut, ‘dirawat’ segera dan dijadikan mumia supaya jasad itu kekal awet.
Namun penemuan itu menimbulkan persoalan yang sangat besar kepada Dr. Bucaille. Bagaimana jasad tersebut masih dalam keadaan sangat baik berbanding jasad-jasad yang lazimnya tenggelam dan dikeluarkan daripada laut?
Lalu beliau menyiapkan sebuah laporan akhir yang diyakininya sebagai penemuan baru, iaitu proses menyelamatkan mayat Firaun dari laut dan kaedah pengawetannya.
Laporan tersebut diterbitkan dengan tajuk; Mumia Firaun: Sebuah Penelitian Perubatan Moden (judul asalnya; Les Momies Des Pharaons Et La Midecine). Ekoran penerbitan laporan itu, Dr Bucaille dianugerah penghargaan tertinggi kerajaan iaitu Le Prix Diane Potier-Boes (Penghargaan Dalam Sejarah) oleh Academie Frantaise dan anugerah Prix General daripada Academie Nationale De Medicine, Perancis.
Namun seorang rakan sempat membisikkan kepada Dr. Bucaille bahawa penemuan ini sebenarnya bukan sesuatu yang baru.
“Jangan tergesa-gesa kerana sesungguhnya umat Islam telah berbicara mengenai peristiwa Firaun yang mati lemas dan mayatnya dipelihara sehingga hari ini!”
Namun kata-kata itu ditentang keras oleh Dr. Bucaille kerana beliau menganggap sangat mustahil. Baginya membongkar sesebuah misteri yang lama tidak mungkin dapat diketahui kecuali dengan perkembangan teknologi moden, peralatan dan makmal canggih yang mutakhir dan tepat.
Kisah Firaun dalam al-Quran
Hakikatnya Dr. Bucaille menjadi serba salah dan bingung apabila diberitahu bahawa al-Quran yang diyakini dan dipercayai oleh umat Islam telahpun meriwayatkan kisah tenggelamnya Firaun dan kemudian mayatnya diselamatkan.
Beliau semakin tertanya-tanya, bagaimana perkara seperti itu dapat diterima oleh akal kerana mumia itu baru sahaja ditemui sekitar tahun 1898. Sedangkan al-Quran telah ada di tangan umat Islam sejak ribuan tahun sebelumnya.
Sambil mata tidak lepas memandang mumia Firauan yang terbujur di hadapannya, Dr. Bucaille terus tertanya-tanya bagaimana al-Quran dapat membicarakan kisah Firaun yang jasadnya diselamatkan dari hancur sejak ribuan tahun lalu.
“Apakah masuk akal di hadapanku ini adalah Firaun yang cuba menangkap Musa (Nabi)? Apakah masuk akal Muhammad (Nabi) mengetahui hal sejarah ini? Pada hal kejadian Musa dikejar Firaun telah berlaku sebelum al-Quran diturunkan,” bicara hatinya sendirian.
Lalu beliau mendapatkan kitab Injil yang di dalamnya hanya membicarakan Firaun yang tenggelam di tengah laut saat mengejar Nabi Musa tetapi tidak diceritakan mengenai mayat Firaun.
Sementara dalam Kitab Perjanjian Lama (Injil Lama) pula yang diceritakan dalam kitab itu hanyalah: “Air (laut) pun kembali seperti sebuah lautan yang berombak dan beralun, menenggelamkan kereta-kereta (chariot) kuda, pasukan berkuda dan seluruh bala tentera Firaun tanpa ada seorang pun yang berjaya menyelamatkan diri. Tetapi anak-anak Israel dapat menyelamatkan diri atas daratan kering di tengah-tengah laut itu”. (Exodus 14:28 dan Psalm 136:15)
Dr. Bucaille sangat terkejut kerana tidak ada disebut langsung mengenai apa yang terjadi seterusnya kepada mayat Firaun selepas tenggelam itu.
Ini menjadikan beliau semakin kebingungan.
Apabila mumia dikembalikan semula ke Mesir, Dr. Bucaille terus mendapatkan kepastian mengenai mumia itu. Lalu beliau memutuskan untuk bertemu dengan para ilmuwan Islam mengenai sejarah Nabi Musa, kekejaman Firaun sehinggalah Bani Israel meninggalkan Mesir dan dikejar Firaun dengan seluruh bala tentera di belakang mereka.
Maka salah seorang mereka terus bangun dan membaca ayat al-Quran berhubung sejarah tersebut untuk Dr. Bucaille mendengarkannya sendiri:
“Maka pada hari ini Kami selamatkan badan kamu supaya kamu dapat menjadi pelajaran bagi orang-orang yang datang sesudah kamu dan sesungguhnya kebanyakan manusia lengah dari tanda-tanda kekuasaan Kami. (Yunus: 92).”
Apabila mendengar ayat ini, hati Dr. Bucaille benar-benar tersentuh. Beliau akhirnya mengakui kebenaran ayat itu kerana ia dapat diterima akal dan memberikan satu inspirasi serta dorongan kepada sains untuk maju meneroka lebih jauh lagi.
Lalu dengan hati yang begitu bergetaran dalam menahan sebak dan keharuan, beliau pun bangun dan dengan suara yang lantang berkata: “Sesungguhnya aku masuk Islam dan beriman dengan al-Quran ini.”
Tidak sekadar beliau mengakui kebenaran dan memeluk Islam tetapi beliau kemudiannya pulang ke Perancis dengan menggali seluruh isi al-Quran.
Akhirnya beliau berjaya menerbitkan buku yang sangat mengejutkan seluruh dunia dan sehingga kini telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa pada tahun 1976, iaitu The Bible, the Qur’an, and Science : The Holy Scriptures Examined in the Light of Modern Knowledge.
Melalui buku ini, Dr. Bucaille yang kemudiannya dikenali sebagai Dr. Yahya Maurice Bucaille berjaya membuktikan bahawa al-Quran adalah selari dengan fakta-fakta sains sementara kitab Injil adalah sebaliknya.
“Al-Quran yang di dalamnya diceritakan segala penjelasan mengenai fenomena alam semula jadi yang sangat bertepatan dengan sains moden,” katanya.
Beliau memberikan kesimpulan bahawa tidak syak lagi al-Quran benar-benar kalam Allah.
(Dipetik daripada Utusan Online, Susunan SITI AINIZA KAMSARI)
Thursday, 15 September 2011
SENTUHAN KALBU
Sebahagian daripada kita mungkin sedang berfikir: tengahari ini nak makan di restoran mana? Masakan restoran mana paling sedap?
Menu apa menarik?.. Masakan Thai? Utara? Selatan? Padang? Arab? Mamak?...
Isteri di rumah pula mungkin sedang memikirkan, “Nak masak apa untuk suami dan anak-anak malam ni?”…
“Apa lagi resepi dalam buku masakan yang belum dicuba?”….
Suami pula sedang merancang, “Hujung minggu ni banyak sungguh undangan rumah terbuka. Mana satu nak kensel (cancel)?”…
Mungkin itulah yang difikirkan oleh kebanyakan daripada kita.
Nun di sana lain pula…
“Makanan sudah berkurangan. Cukupkah untuk hari ini?”…
“Kalaulah ada segelas air kosong, boleh dibasahkan teguk yang sangat kering ini”.
“Ya Allah! Berilah kepada anak-anak ku walau sebuku roti…Aku sudah tidak tahan melihat mereka yang sedang merintih kelaparan”.
Inilah rintihan rakan-rakan kita di kem-kem pelarian Somalia saat ini. Kebuluran telah mencengkam hidup mereka. Peperangan pula telah meruntun keamanan daripada mereka.
“Ibu! perutku terlalu sakit”
“Ibu! Lapar”
“Ibu dahaga”
Itulah rintihan biasa anak-anak Somalia ketika ini. Hanya linangan air mata sahaja yang dapat menjawab rintihan-rintihan itu. Tiada daya lagi bagi si ibu untuk memenuhi permintaan anak-anaknya yang sangat berat itu. Kematian akibat kebuluran sudah menjadi biasa bagi mereka.
Seorang ibu yang sarat mengandung telah meninggalkan kampung halamannya. Keluar mencari bantuan makanan dan perubatan. Setelah 10 hari berjalan berbekalkan sedikit makanan kudrat si ibu semakin lemah. Si ibu mendirikan khemah daripada ranting-ranting dan bahan buangan yang layak dipanggil sampah. Apakan daya itulah kemampuan si ibu yang terlalu daif itu. Dia melahirkan anaknya di situ dengan bantuan mereka yang senasib dengannya. Keesokan harinya barulah dia mendapat bantuan perubatan daripada salah satu NGO dari Malaysia! Situasi yang sangat memilukan bagi si ibu dan si bayi yang baru dilahirkan ini. Bukan itu yang diharapkan oleh si ibu untuk cahaya matanya itu. Tilam yang empuk, losyen, bedak, lampin pakai buang dan pakaian bayi berjenama…mungkin itu yang menyambut kebanyakan bayi kita di Malaysia.
Namun, siapakah yang dapat memahami penderitaan yang dialami mereka? Siapakah yang mempedulikan mereka?...
Pepatah Melayu pernah mengungkapkan ‘berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul”. Memang tepat sekali pepatah ini. Mereka yang pernah mengalami penderitaan sahaja yang lebih menyelami erti penderitaan. Rupa-rupanya sebelum sampai bantuan dari NGO-NGO Malaysia, bantuan rakyat Palestin sebanyak USD 2 juta terlebih dahulu sampai. Malah dalam satu siri serangan regim Israel terhadap rakyat Palestin baru-bari ini, seorang kanak-kanak lelaki terbunuh. Di dalam saku-sakunya penuh dengan wang siling. Apabila diselidiki rakannya yang selamat daripada serangan tersebut, dia menceritakan bahawa wang itu dikumpul olehnya sekian lama untuk didermakan kepada umat Islam di Somalia. Allahu Akbar! Terasa kerdilnya kita. Seorang kanak yang miskin, hidup dalam dunia peperangan, tidak memiliki apa-apa tapi memiliki jiwa yang sangat besar dan mulia…
Di manakah kita?
Subscribe to:
Posts (Atom)