Pada suatu hati, seorang lelaki meminta nasihat Basyar
bin al-Harith (seorang ulama) sebelum bertolak ke Mekah untuk menunaikan haji (untuk
kali kedua).
Basyar bertanya: “Berapakah belanja yang kamu
sediakan”.
Lelaki tersebut menjawab: “Dua ribu dirham”.
Basyar bertanya: “Kamu menunaikan haji ini kerana
mencari keredhaan Allah atau kerana rindu kepada Baitullah?”.
Lelaki tersebut menjawab: “Kerana mencari keredhaan
Allah”.
Basyar berkata: “Mahukan kamu mendapat keredhaan
Allah hanya dengan berada di rumahmu serta menginfaqkan dua ribu dirham itu?”.
Lelaki tersebut berkata: “Ya, saya akan lakukannya”.
Basyar berkata: “Pergi, berikan wang itu kepada pemiutang
untuk melunaskan hutangnya, si miskin untuk menguruskan dirinya, si suami untuk
menyara keluarganya, si penjaga untuk menggembirakan anak yatim jagaannya… Sesungguhnya
dengan memasukkan kegembiraan ke dalam hati orang muslim, membantu orang yang
memerlukan dan menolong orang yang kesempitan adalah lebih baik (afdal)
daripada seratus kali haji sunat”.
Lelaki tersebut berkata: “Tuan, hatiku tetap
meruntunku supaya pergi ke Mekah”.
Basyar tersenyum mendengar kata-kata lelaki tersebut.
Basyar bin al-Harith pun berkata kepada lelaki
tersebut: “Jika seseorang itu menghimpun harta daripada perniagaan yang tidak
suci dan syubhat, nescaya habis hartanya dek kerana nafsu keinginannya..”
Kisah
ini dinukilkan oleh Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi dalam kitabnya “Fi Fiqh
al-Awlawiyyat” bertujuan menempelak amalan sebahagian masyarakat muslim
Arab yang suka berbelanja untuk melakukan haji atau umrah sunat berkali-kali.
Beliau berpandangan wang yang dilaburkan itu lebih utama disedekahkan kepada
orang-orang Islam yang lebih memerlukan. Semoga kisah ini memberi pengajaran
yang berguna kepada masyarakat muslim di Malaysia juga. Hari ini ramai dalam
kalangan umat Islam sanggup berbelanja puluhan ribu untuk berpuasa di tanah
suci atau menunaikan umrah hampir setiap tahun. Malah ada yang menunaikan haji
berkali-kali… Alangkah baiknya jika wang sebanyak itu didermakan kepada
saudara-saudara kita yang lebih memerlukan … khususnya pada hari ini kepada
masyarakat Ronghiya di Burma, Syria, Palestin dan lain-lain lagi…
No comments:
Post a Comment