“Ustaz, nak berapa?”. Seorang penceramah agama yang baru
berjinak-jinak dengan aktiviti ceramah akan terkejut dengan soalan ini. Namun,
itulah hakikatnya yang berlaku di kota-kota. Sudah menjadi kebiasaan bagi sebahagian
penceramah ternama akan meletakkan ‘tanda harga’ bagi ceramah mereka. Harga
seseorang berdasarkan popularitinya. Malah ada yang sudah diketahui ‘harganya’
berdasarkan pengalaman-pengalaman sebelumnya. Walaupun harganya mungkin terlalu
tinggi, namun penganjur masih ada peluang mendapatkan harga yang lebih rendah menerusi amalan tawar-menawar,
sama ada terus dengan penceramah atau melalui pembantu peribadinya. Bunyinya
macam janggal, tetapi itulah realitinya.
Menyorot kembali hukum mengambil upah (ujrah) untuk mengajar
ilmu agama, para ulama mutakhir kebanyakan mazhab membenarkannya. Keharusan ini
berdasarkan keperluan pada zaman itu kerana ia merupakan sumber kehidupan bagi
para ilmuan. Pada zaman-zaman sebelumnya mereka kebiasaannya dibayar oleh
Baitul Mal, maka kebanyakan ulama tidak membenarkan upah utk mereka ketika itu.
Pada zaman ini kita mengguna pakai pandangan yang membenarkannya berdasarkan
keperluan dan situasi semasa dengan merujuk pandangan ulama mutakhir kebanyakan
mazhab.
Namun sejak akhir-akhir ini, terdapat sebahagian penceramah
agama yang tidak segan silu menentukan harga untuk ceramahnya. Mungkin ia
dianggap sebagai satu keperluan kerana jika tidak menentukannya mungkin
penganjur akan memberikannya sagu hati yang terlalu sedikit. “Kos minyak kereta
pun mungkin tak lepas”, kata seorang penceramah agama menggambarkan ketidak
prihatinan sebahagian penganjur.
Akhirnya wujud satu budaya yang kurang sihat dalam aktiviti
dakwah semasa. Sebahagian penceramah menggunakan pembantu peribadinya untuk
meletakkan harga yang mahal. Surau-surau yang memiliki sumber kewangan yang
terhad tak mungkin berpeluang mendapatkan penceramah yang hebat-hebat untuk aktiviti
mereka. Amalan mengenakan bayaran yang terlalu tinggi sebenarnya bercanggah
dengan konsep asal ujrah kepada guru-guru agama yang dibenarkan oleh
ulama-ulama dahulu. Mereka membenarkannya hanya atas dasar keperluan. Tetapi sekarang
ia sudah dijadikan satu mata pencarian dan sumber untuk menghimpun kekayaan. Walau
pun hukumnya tidak haram, tetapi ia bercanggah dengan amalan orang-orang soleh.
Ibarat seperti solat seorang lelaki tanpa berbaju. Sah menurut hukum fekah,
asalkan menutup antara pusat dan lutut serta kedua-duanya. Tetapi tidaklah
wajar seseorang itu bersolat dalam keadaan begitu.
Bagi masyarakat awam pula, mereka hendaklah bersederhana.
Sikap murah hati adalah sangat mulia, tetapi mestilah sesuai pada tempatnya. Jika
anda sayangi seseorang kerana ilmunya, bukan dengan cara memberikannya wang
yang banyak kepadanya. Berilah bayaran yang secukup dengan keperluannya dan
buktikan kasih sayang anda dengan mengamalkan apa yang disampaikan olehnya.
Ingatlah setiap apa yang anda lakukan atas tunjuk ajar seseorang, dia turut mendapat
pahala. Jika anda terlalu sayang dan meminatinya ajaklah lebih ramai orang
untuk mendengar ceramah, kuliah atau forumnya. Jika mereka melakukan apa yang
disampaikannya, dia turut mendapat pahala seumpama mereka.
Jangan membiasakannya dengan pemberian yang banyak, kelak
dibimbangi ia akan menjadi ketagihannya. Tidak semua orang yang bergelar ustaz ‘kebal’
dengan hambatan dan pesona dunia. Berilah secukupnya dengan mengambil kira
segenap aspek dan keperluannya.
Perlu diingatkan, masih ramai lagi ilmuan agama yang ikhlas
dalam menyampaikan dakwah mereka. Individu yang meletakkan bayaran yang tinggi
ini bukanlah mewakili bilangan majoriti mereka. Namun jika dibiarkan, amalan
ini akan merebak luas dan akan menjadi fenomena biasa yang sukar dibendung
suatu masa nanti.
No comments:
Post a Comment