Saturday, 18 June 2011

INDAHNYA AKHLAK TENTERA ISLAM!


Pada tahun 14H/639M tentera Islam memasuki kota Himsa dengan aman kerana penduduknya telah memilih jizyah daripada berperang.
Bayaran jizyah sebagaimana yang kita ketahui adalah imbalan kepada perlindungan yang diberikan oleh negara Islam untuk menjaga keselamatan orang-orang bukan Islam yang berada di bawah pemerintah mereka. Maka mereka pun hiduplah aman damai seperti biasa.

Pada masa yang sama pihak Rom telah mempersiapkan tentera yang kuat untuk merampas Himsa dari tangan umat Islam.

Menyedari perancangan tersebut ketua turus angkatan tentera Islam di Himsa, Abu 'Ubaidah bin al-Jarrah pun bermesyuarat dengan semua pegawai tentera. Mereka membuat keputusan untuk menarik kembali keluar tentera di Himsa untuk bergabung dengan
 pasukan tentera lain berdekatan dengan Semenanjung Tanah Arab. Abu 'Ubaidah bin al-Jarrah pun mengarahkan Habib bin Musalmah pegawai cukai untuk mengembalikan semula jizyah yang telah dikutip daripada penduduk Himsa kerana tentera Islam tidak lagi dapat menjamin keamanan di Himsa.

Namun penduduk Himsa menolak penyerahan kembali jizyah tersebut dan berkata, “Wahai orang-orang Islam! Kami lebih sukakan kamu berbanding orang-orang Rom sekalipun mereka sama agama dengan kami (Kristian). Kamu lebih menepati janji kepada kami, lebih baik layanan kepada kami dan lebih terhindar daripada kezaliman terhadap kami berbanding orang-orang Romawi".

Tindakan ini menyebabkan ramai penduduk Himsa yang tertawan dengan akhlak tentera Islam. Ramai dalam kalangan mereka yang memeluk Islam dan bergabung dengan tentera Islam sehinggalah Islam kembali bertapak semula di Himsa untuk sekian lama. Begitulah penghormatan dan kepercayaan yang tinggi penduduk Himsa terhadap umat Islam. Mereka lebih bersedia hidup di bawah kepimpinan umat Islam berbanding orang Rom yang seagama dengan mereka.

Semua ini dilakukan oleh umat Islam bukan kerana bermuka-muka atau sebagaimana perumpamaan ‘ada udang di sebalik batu’. Mereka melakukannya kerana menjunjung penuh perintah Allah SWT yang disampaikan menerusi junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Rasulullah SAW pernah berpesan kepada para sahabat dengan sabdanya, “Suatu masa nanti kamu akan membuka negeri Mesir. Apabila kamu membukanya maka berbaik-baiklah dengan penduduknya. Sesungguhnya mereka mempunyai hak dan kehormatan dan mempunyai hubungan kekeluargaan”. (Hadis Riwayat Muslim)

Maksud mempunyai hubungan kekeluargaan di sini adalah Hajar ibunda Nabi Ismail a.s adalah berketurunan Mesir. Hadis ini memberi isyarat kepada umat Islam untuk jangka masa yang sangat jauh. Pembukaan Mesir bukan berlaku semasa hayat baginda SAW. Namun kerana kepentingan hubungan kemanusiaan, baginda telah berpesan lebih awal kepada umat Islam. Hadis ini telah dijadikan sebagai pegangan semua umat Islam terutama para pemerintah dalam kalangan umat Islam. Ia dijadikan polisi yang wajib diikuti dan dijunjung tinggi. Semua tentera Islam pada masa dahulu memahami prinsip ini. Mereka bukan sahaja dilatih menggunakan senjata dan menggempur musuh, malah mereka juga dilatih supaya menghormati musuh sebagai manusia.

No comments:

Post a Comment